Skip to content

Tidak sia-siakan peluang – Adam AF2,Raja Farah

2 June, 2009

Adam, Raja Farah rebut setiap kesempatan yang terbuka di depan mata selagi usia masih muda


MINGGU lalu industri hiburan menyambut kehadiran seorang lagi juara Akademi Fantasia bagi musim ketujuhnya (AF7), Mohd Hafiz Mohd Suip, 19, sekali gus semakin bertambah bilangan bintang kelahiran program realiti TV.

Persaingan juga semakin sengit apabila peminat dunia seni mempunyai lebih ramai pilihan siapakah bintang yang benar-benar layak digelar penyanyi dan penghibur.

Seperti kelazimannya, setiap kali muncul bintang baru AF, bintang lama semakin dilupakan atau nama mereka terus melalui zaman suram kecuali hanya beberapa nama saja yang masih bertahan hingga hari ini. Itupun bersama kegigihan dan usaha keras berterusan memahat nama di hati peminat supaya tidak terpinggir dan dilupakan begitu saja.

Selain Asmawi Ani atau Mawi yang masih ‘bertaring’ hingga hari ini sekalipun tidak setajam dua atau tiga tahun lalu, Mohd Aizam Mat Saman atau Adam, 25, dari AF2 pula terus berusaha mempertahankan namanya agar tidak tenggelam dibawa arus populariti bintang baru yang tumbuh bak cendawan selepas hujan. Supaya peminat tidak bosan dengan dirinya, Adam mencari pembaharuan dan menyuntik pen-jenamaan baru pada karier seninya.

Begitupun, Adam masih bernasib baik apabila produk nyanyiannya mendapat sentuhan daripada KRU Studios. Kini dia harus semakin laju memacu kerjaya seninya, selain membuktikan kepada peminat, walaupun Maestro Talent & Management (Maestro) yang sudah tinggal nama dan sejarah manis, namun bagi Adam, dia tidak semestinya turut terkubur dan memberi laluan mudah kepada bintang sedia ada membenam bakatnya!

Adam yang sinonim dengan bakat nyanyian, tarian lincah dan berjinak sebagai pelakon, kini dia melangkah setapak lagi apabila bergelar pengarah drama.

“Akhirnya saya buat keputusan untuk bergerak sendiri supaya cita-cita tercapai. Menyanyi dan berlakon saya sudah buat, akhirnya saya beranikan diri untuk mengarah drama pula. Dalam hidup ini kita harus berani mencuba, barulah kita tahu sejauh mana kemampuan diri. Bersama tunjuk ajar daripada mereka yang lebih senior, Wira Malam: Bisikan Naga akan menemui penonton di Astro Ria, berkemungkinan Jun ini,” kata Adam.

Telefilem bergenre aksi dan menampilkan super hero itu adalah terbitan Curio Communications. Selain Adam sebagai tunjang utama, pelakon lain ialah Mimie (finalis MyStarz LG2), Faizal Hussain dan Aaron Aziz. Menerusi telefilem ini juga, Adam memaparkan kebolehannya bermain senjata yang dinamakan ‘chako’.

Kini, telefilem Wira Malam: Bisikan Naga sedang melalui proses suntingan dan memasukkan kesan khas serta muzik.

Adam juga mempunyai produksi sendiri, Aico Entertainment. Buat masa ini dua artis bernaung di bawah syarikatnya, Bad Boys dan Mimie. Adam mengakui, cita-citanya di penghujung karier, dia mahu menjadi seperti KRU yang mampu menerbitkan album, filem dan drama sendiri.

Sudah memiliki kekasih hati

Tidak lengkap kehidupan Adam sebagai artis jika tidak terpalit kontroversi cinta. Selepas putus kasih dengan model dan pelakon, Juliana Evans, Adam dikatakan menjalin hubungan serius dengan model dan pelajar dari negeri kelahirannya, Sabah. Pun begitu, bukan mudah membuka mulut Adam bercerita mengenai teman barunya itu kerana baginya ia terlalu peribadi dan malu jika hubungan itu tidak menjadi berkekalan.

Namun, Adam terus dipujuk untuk menceritakan siapakah gerangan empunya diri, Joanna Sue Henly, 20, gadis berdarah campuran Dusun-Amerika yang berasal dari Kota Kinabalu itu. Joanna atau lebih mesra disapa Anna itu adalah Ratu Keamatan Sabah 2006/2007 dan kini menyertai pertandingan Bintang RTM 2009, selain melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang di sebuah kolej swasta terkemuka di Kuala Lumpur.

“Anna adalah kenalan lama saya. Selepas keluar AF2, saya bertemu Anna ketika menjayakan persembahan di Dewan KDCA, Sabah. Kami berkawan rapat hinggalah hari ini, lebih-lebih lagi kami berkongsi minat yang sama, suka menyanyi. Kini, apabila dia menyertai Bintang RTM 2009, saya sentiasa memberinya sokongan,” kata Adam lagi.

Ada perancangan untuk melamar Joanna sebagai kekasih seterusnya teman hidup?

“Orang secantik Anna, tipulah kalau saya tak ada perasaan suka kepadanya. Tapi, saya tak mahu terburu-buru. Segala-galanya saya serahkan pada jodoh.

“Lagipun kami masih muda, perjalanan hidup masih jauh. Karier pun masih belum tercapai sepenuhnya. Yang penting, buat masa ini kami selesa sebagai kawan baik, kami tidak pernah bercinta,” kata Adam yang masih berteka-teki mengenai hubungannya bersama Joanna.

Raja Farah tidak mengalah

Sementara itu, Raja Farah, 21 tidak mahu mengalah dengan kemunculan ramai muka baru di bidang lakonan apabila dia terus bekerja keras supaya peluang kerja sentiasa mengintainya. Biarpun sudah enam tahun melayari dunia seni sebagai pelakon dan pengacara, belum ada sebarang anugerah yang dimenanginya sebagai kebanggaan dan sekadar berpuas hati sebagai finalis Pelakon Wanita Harapan pada Festi-val Filem Malaysia ke-19.

“Saya akui, rentak kerjaya seni agak perlahan, nama saya tidak melonjak seperti artis lain, orang kata apabila buka saja TV, semua saluran ada muka kita. Bagi saya, terpulang pada rezeki masing-masing.

“Ada juga pelakon tambahan, berlakon satu, dua drama, namanya terus naik. Ada juga yang dah berlakon lebih 10 tahun, orang masih tak kenal,” kata Farah.

Apa komen Farah apabila ada segelintir aktres mendaki ke puncak dengan cara kotor, umpamanya sedia menerima pelawaan penerbit mahupun pengarah filem dan drama untuk ditiduri?

“Tidak dinafikan, perkara seperti itu pernah berlaku. Artis tidur dengan pengarah?! Saya malu apabila ada orang bercerita pada saya! Saya kecewa apabila perkara jijik itu berlaku di tempat kita cari makan. Bagi saya, terpulanglah pada individu masing-masing, mungkin mereka rela melakukannya kerana terdesak atas kesempitan hidup atau nak cepat kaya.

“Tapi, saya bernasib baik kerana belum ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas diri saya. Mungkin ibu sentiasa menemani saya, mereka tidak ada ruang untuk berbuat sesuatu yang kotor. Janganlah salah guna kuasa yang ada pada kita untuk menindas orang lain semata-mata untuk kepentingan peribadi,” kata Farah yang kini mempunyai pembantu peribadi (PA) apabila ibunya hanya memantau pergera-kannya dari jauh.

Namun begitu, ketika menjayakan karnival Jom Heboh TV3 di Lumut, Perak, beberapa minggu lalu, ada insiden yang memperlihatkan gelagat kebudak- budakan Farah sehingga menimbulkan ketidakselesaan terhadap rakan artis dan sekumpulan peminat yang mengharapkan dia bersikap lebih matang.

“Saya akui, saya masih bersikap kebudak-budakan. Saya bertindak mengikut perasaan tanpa berfikir. Ketika di Lumut tu, ada sesuatu yang buat saya tak puas hati, saya terus melepaskan kemarahan tanpa ber-fikir panjang.

“Saya minta maaf kepada mereka yang berkecil hati dengan sikap saya itu. Saya akan berusaha memperbaiki kelemahan diri kerana setiap daripada kita, tak terlepas daripada melakukan kesilapan,” kata Farah dengan jujur.

INFO: Raja Farah

  • NAMA PENUH: Raja Farah Raja Aziz
  • TARIKH LAHIR: 5 Julai 1988
  • ASAL: Kuala Lumpur
  • KELUARGA: nak ketiga daripada empat beradik
  • PENCAPAIAN: Anugerah Pantene Shine, Anugerah Skrin ke-8 (ASK8) dan finalis Pelakon Wanita Harapan, Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19)
  • FILEM: Salon, Anak Halal, Apa Kata Hati, Maut, Eee… Hantu, HAQ, Romance dan Merempuh Karma
  • DRAMA: Intan Asmara, Mentua vs Menantu, Misi XX Ray, Gadis Dari Bintang, Duranni dan Segalanya Ku Terima
  • PENGACARAAN: Anugerah Bintang RTM, Riuh @ Satu dan Filem @ 9. INFO: Adam AF2
  • NAMA SEBENAR:Mohd Aizam Mat Saman
  • TARIKH LAHIR: 19 September 1983
  • ASAL: Inanam Laut, Sabah
  • KELUARGA: Sulung daripada empat beradik
  • PENCAPAIAN: Tempat ketiga, Akademi Fantasia 2 (AF2) (2004); Lagu Paling Popular Hits 1, Joget Lambak (2007); Pelakon Lelaki Popular, Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19) (SMS) dan Vokal Duo Terbaik bersama KRU, Terhangat Di Pasaran, Anugerah Era 2004/2005.
  • ALBUM: Adam, Adam 2 dan Adam 3 (kesemuanya terbitan KRU Studios)
  • FILEM: Cinta Fotokopi, Main-Main Cinta, Diva dan Dimensi Cinta
  • TELEFILEM ARAHAN PERTAMA: Wira Malam: Bisikan Naga.
  • About these ads
    No comments yet

    Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    Follow

    Get every new post delivered to your Inbox.

    %d bloggers like this: