Skip to content

Aril AF7 pecah undi!!!

23 May, 2009

Kembalinya peserta berasal dari Ampang, Kuala Lumpur, Khairil Azam Pilus (Aril) ke dalam Akademi selepas keputusan AF Masuk diumumkan pada konsert kesembilan Sabtu lalu (9 Mei), sedikit sebanyak dilihat akan mengubah keputusan bakal dibuat penonton setia.

Kehadiran adik penyanyi Izwan Pilus itu dijangka menyebabkan sokongan undi kepada peserta yang berjaya mara ke konsert akhir akan berpecah sekali gus memberikan laluan sukar untuk mereka muncul juara. Kemenangan peserta AF ditentukan sepenuhnya oleh penonton menerusi undian sistem pesanan ringkas (SMS).

Dilihat pada keputusan undian konsert lalu, ternyata Mohd Hafiz Mohd Suip (Hafiz) mempunyai kelebihan untuk muncul juara. Ia jelas apabila peserta berasal dari Kuching, Sarawak itu mengungguli jumlah undi sebaik konsert kesembilan tamat apabila meninggalkan jauh peserta lain dengan 35 peratus.

Dinilai dari sudut persembahan, ternyata Hafiz cukup konsisten dari minggu pertama hingga minggu lalu. Persembahannya tidak pernah mengecewakan dan sering menerima komen positif daripada pengkritik tetap mahupun jemputan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Hafiz menjadi satu-satunya peserta menepati tema transformasi yang ditetapkan pengetua rancangan itu, Datin Seri Tiara Jacquelina kerana mampu mengetengahkan bakatnya menyampaikan lagu pelbagai jalur termasuk hip hop, Kau Yang Punya nyanyian asal Malique pada konsert minggu ketujuh.

Adakah benar telahan awal dibuat penyokong setia, bahawa Hafiz akan membawa pulang hadiah RM200,000, kereta, percutian ke Eropah dan kamera digital. Hanya undian dari anda sendiri yang dapat menentukan.

Pesaing terdekat Hafiz datang dari Afiq Hakim Ahmad (Akim) yang memperoleh 25 peratus undi pada minggu lalu. Walaupun sering dikritik kerana persembahannya terlalu kosmetik, minggu lalu jejaka berasal dari Johor Bahru, Johor itu memberikan persembahan menarik dan bersahaja sewaktu mendendangkan lagu I’m Yours (Jason Mraz).

Begitupun, sekiranya Akim muncul juara banyak perkara yang perlu dilakukan bagi memantapkan kerjaya seninya, kerana untuk bergelar penghibur, peserta berusia 18 tahun itu terlalu mentah dan memerlukan masa panjang untuk dilentur.

Rancangan AF7 turut mencipta sejarah sendiri apabila menampilkan peserta wanita tunggal bergelar ibu, Ismaliza Ismail (Isma) apabila berjaya menempatkan diri ke konsert akhir.

Walaupun di peringkat awal laluan Isma nampak mudah, apabila masuk minggu akhir, peminat sudah dapat menilai kemampuannya. Tertanya walaupun konsisten dari sudut persembahan di konsert yang diadakan setiap minggu, tetapi kemampuan vokal ditampilkan Isma agak terhad.

Persembahannya minggu lalu mendendangkan Hot and Cold (Katty Perry) dan Aku Pasti Datang (Bunga Citra Lestari) menjadi bukti dan tumpuannya mudah terganggu kerana kurang stamina. Jika adiknya, Tomok membuktikan kehebatannya apabila diumumkan juara One In A Million musim ketiga (OIAM3), Isma pula memerlukan faktor ‘wow’ yang kuat di konsert akhir sekiranya mahu menarik perhatian pengundi.

Kejutan mungkin boleh datang daripada Mohd Yazid Ibrahim (Yazid) yang memperoleh 22 peratus undi dari penonton minggu lalu. Sebelum persaingan bermula, Yazid mendahului peserta lain dengan undian mencecah 35 peratus.

Dinilai dari sudut bakat, Yazid kurang menonjol dan kemampuannya tidak begitu menyerlah apabila masih menghadapi masalah vokal sewaktu menyanyi. Bagaimanapun, dia digilai peminat kerana personalitinya.

Dalam erti kata lain, peserta berasal dari Johor Bahru, Johor ini benar-benar mencerminkan apa itu AF sebenarnya iaitu pencarian bintang dinilai dari sudut personaliti dan bukan bakat semata-mata.

Pada pertandingan akhir, kelima-lima peserta ini akan mendendangkan lagu baru dan lagu popular seperti Bencinta nyanyian asal Faizal Tahir dan akan dinyanyikan Akim, Kasih Tak Sampai (Padi-Aril), Kasidah Cinta (Dewa 19-Yazid), Kau Bunga Cintaku (Hafiz-Anuar Zain) dan Isma akan mendendangkan Cinta Adam Dan Hawa nyanyian asal Misha Omar.

Siapa yang bakal diangkat sebagai juara AF7 selepas program realiti yang berjaya mencipta fenomena ini berjaya membawa Vince, Zahid, Mawi, Faizal, Mila dan Stacy ke puncak kejayaan sebagai insan seni.

Bagaimanapun, bukan semua juara mampu mengukir nama dan teguh bersaing dengan bakat sedia ada sebaliknya ada juga terus hilang selepas bergelar juara. Semuanya bergantung kepada kerja keras untuk menempatkan diri dalam dunia realiti.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: