Skip to content

‘Culik dan rampas’ dasar penjajahan baru Najib di Perak?

24 May, 2009

Sumber : Harakahdaily.net

Kita semua tentu pernah terdengar kaedah divide and rule dalam pentadbiran ala penjajahan. Dalam bahasa Melayunya, ia dipanggil dasar ‘pecah dan perintah’.

Tapi, cara falsafah ini akhirnya berubah sedikit di bawah penjajahan BN di Perak. Di bawah penjajahan Najib, kaedah ‘pecah dan perintah’ ini nampaknya kurang berhasil. Ini kerana, rakyat hari ini sudah enggan menelan slogan perkauman yang dibawa BN.

Firman Allah s.w.t dalam al-Quran: “Sesungguhnya Firaun berlaku zalim di bumi dengan melampaui batas dan dia menjadikan rakyatnya berpecah-pecah. Dia menindas sepuak antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiar hidup anak-anak perempuan mereka..” [Al-Qashas: 4]

Lalu, adakah Najib Razak telah mengubah dasar ‘pecah dan perintah’ ini kepada dasarnya yang terbaru; ‘culik dan rampas’ (kuasa)!

Kengganan Najib meletakkan calon BN di Penanti menggambarkan dirinya yang semakin takut kepada Pakatan Rakyat. Shafie Apdal dalam satu kenyataannya berkata bahawa isu samada BN takut atau tidak dalam mendepani pilihan raya di Perak, tidaklah penting.

“Kalau kita asyik adakan pilihan raya, apakah dapat penuhi keperluan masyarakat, apa yang penting di Perak (ialah) supaya kerajaan negeri dapat berfungsi, berjalan dengan lancar tanpa diganggu-gugat oleh kegiatan lain,” katanya, mengulas pendirian Gerakan yang menyatakan bahawa pilihan raya negeri patut diadakan di Perak.

Ini dalih Shafie. Apa kata Nazri Aziz? Di Kuala Kangsar, Nazri menyifatkan desakan itu akan hanya menimbulkan polarisasi kaum.

“Buat apa kita adakan pilihan raya sekiranya memecah-belahkan rakyat,” katanya selepas merasmikan mesyuarat agung cawangan-cawangan Umno Bahagian Padang Rengas.

Selain itu, kata Nazri, pilihan raya Perak menyebabkan duit rakyat hangus kerana ia akan membabitkan peruntukan sebanyak RM40 juta melibatkan 59 DUN. Bagaimanapun, ini dalih kedua dan ketiga; iaitu kononnya membazir dan menyebabkan polarisasi kaum.

Apa dalih Najib di Manado, Sulawesi?

Di Sulawesi, Manado, tanah tempat kelahiran Bugis, Najib baru-baru ini menyelar sikap pembangkang di atas masalah rampasan kuasa yang dilakukannya itu.

Dalam hati, jiwa dan perasaannya, telah membenih pelbagai keraguan, iaitu kemenangan di Bukit Gantang adalah manifestasi terhadap kemarahan rakyat Perak kepada beliau.

“Ia berlaku melalui proses yang selaras dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan sistem demokrasi berparlimen. Ini mesti diterangkan dan sebab itu saya kata pilihan raya adalah satu opsyen dan budi bicara… bukan (hal yang) semestinya. Yang menjadi masalah, dia (pembangkang) tidak terima dan menyusahkan proses ini berjalan seperti yang dilakukannya dalam DUN.

Masih lagi Najib berdalih dengan menyatakan bahawa pilihan raya adalah pilihan dan ia bukannya kemestian. Walhal, kalau Najib bersetuju diadakan pilihan raya, tiada sesiapa yang akan membantahnya.

Mengulas kekecohan terbaru, Najib menempelak pembangkang, “Siapa suruh gantung MB dan Exco BN. Ini bertentangan dengan semangat demokrasi berparlimen. Kalau macam ni kita (BN) ada majoriti di Parlimen… kita boleh gantung 20 ahli Parlimen pembangkang kalau kita mahu. Dengan prinsip yang sama (dengan di DUN Perak), kita ada kuasa… budi bicara, kita buatlah sesuka hati kita.”

Tapi Najib tak faham atau berpura-pura tak faham. Sikap PR menggantung Zambry, exco BN ini adalah reaksi kepada dasar ‘culik dan rampas’ yang dipelopori Najib. Kalau bukan kerana dasar ‘culik dan rampas’ oleh Najib ini, tentu PR tidak melakukan sedemikian.

Rampas kuasa

“Jangan lupa pada 16 September lalu siapa yang cuba nak curi 21 ahli Parlimen kita? Dia (pembangkang) lakukan perkara sama, tetapi apabila gagal dan kita pula berjaya di Perak, kita pula yang dikatakan tidak demokratik. Kita pula yang dituduh merampas kuasa.

“Percubaan merampas kuasa yang pertama dilakukan oleh pakatan pembangkang tetapi tak berjaya… bukan kita (BN) yang memulakan,” katanya kepada media di Manado.

Lompat parti berpada-pada; culik Adun jangan sekali

Biarpun hal melompat parti masih ada ruang besar untuk didebat, tapi, bagi memudahkan kesimpulan, mari digali beza falsafah dan sikap melompat parti dalam acuan Anwar dan Najib ini. Sudah tentu ada persamaan antara mereka.

Misalnya, adakah salah jika melompat parti untuk membentuk sebuah kerajaan baru yang ingin memansuhkan ISA, Auku, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, riba PTPTN, PPSMI dan membebaskan tahanan ISA dan lain-lain?

Bagaimana pula tindakan melompat parti untuk membentuk kerajaan yang mengukuhkan akta-akta drakonian seperti di atas? Apa hukum melompat parti bagi mengukuhkan suatu kerajaan yang diterajui oleh seseorang yang menyebabkan kematian Altantuya?

Setidak-tidaknya, lompatan parti PR tidak dilaksanakan melalui penculikan. Malah, ahli-ahli Parlimen BN pula yang ‘diculik’ lalu diusung ke Taiwan.

Tetapi, rampasan kuasa di Perak yang bermula dengan lompatan parti itu bermula dengan penculikan, melalui dasar ‘culik dan rampas’ yang diperkenalkan oleh BN.

Maka, lompatan parti yang bagaimana lebih direstui oleh rakyat? Sudah tentu, lompatan tanpa didahului oleh penculikan, bukan?

Dasar pecah dan perintah, amalan penjajah, kini bertukar menjadi dasar culik dan rampas yang dipelopori oleh penjajahan Najib, BN ke atas negeri Perak ini.

Bagi mengesahkan sikap melompat parti itu, Najib ketika ditanya pemberita di Manado, menyatakan bahawa hal itu dibenarkan oleh perundangan dan berlaku di negara lain.

Tetapi, jika demikian, kenapa dahulu wujud pula usul mahu mewujudkan undang-undang yang mahu menghalang orang daripada melompat parti? Ini yang perlu Najib jawab.

Berpeluh juga Najib nak menjawabnya nanti. Akhirnya dia cuma boleh menyebut contoh-dari negara luar seperti bekas PM Britain Winston Churchill yang beberapa kali bertukar parti dan Najib juga merujuk kes seorang Senator di Amerika yang telah lompat parti.

Tapi, Najib tidak memberitahu, adakah kes-kes melompat parti di luar negara itu, adakah didahului dengan hal penculikan senator atau penculikan ahli-ahli parti sebelum lompatan parti itu berlaku. Di sinilah kegagalan Najib untuk menjelaskan.

‘Culik dan rampas, dengan Angels & Demons

Strategi culik pemimpin dan rampas kuasa ini turut mendapat perhatian pengkarya filem tempatan dan luar negara. Filem tempatan seperti Cicakman 1 contohnya mengguna cara yang sama, menculik menteri lalu Prof Klon akan berkuasa menentukan dasar negara.

Penjahat akan menentukan dasar-dasarnya berjalan melalui menteri-menteri klon itu. Dan semua ini ada kaitan dengan motif ekonomi.

Dalam filem Angels & Demons misalnya seorang Carmelengo yang ingin dapatkan kuasa di gereja tertinggi telah merancang segala plot untuk membunuh ketua gereja tertinggi di Vatican City. Ada empat orang gerejawan diculik untuk melengkapkan ‘coup d etat’.

Akhir daripada matlamat konspirasi itu Carmelengo mahu mendapat kuasa ke darjat yang lebih tinggi bagi menggantikan pope yang baru meninggal dunia.

Dan Brown, tatkala menulis novel ini, mungkin mendapat ilham daripada kematian Pope John Paul pada tahun 2005. Latarbelakang kisah filem itu melibatkan beberapa jam saat gerejawan sedang bersidang bagi memutuskan pengganti pope yang telah mati itu.

Dalam tempoh gerejawan bersidang itulah Profesor Robert Langdon cuba menyelesaikan segala teka-teki untuk mencari bom letupan yang diletakkan di sekitar Vatican itu.

Jadi mustahil karya Dan Brown itu terilham daripada Najib. ‘Coup d etat’ oleh Tun Razak ke atas Tunku pada 1969 menjadi sumber inspirasi anaknya, Najib. Laksamana Do Re Mi yang mengisahkan kewujudan kerajaan bawah pokok itu terbit pada 1973.

Apa yang dapat dikesan ialah Laksamana Do Re Mi menyokong perjuangan Hamid Tuah yang mahu mendapatkan hak milik tanah. Mustahil Najib terilham daya fikirnya melalui filem itu. Agak sukar, sulit menelah, menelaah daya fikir Najib yang songsang ini.

Kalau pun ada kes menculik dalam filem P Ramlee itu, mungkin ada kaitan dengan culik anak raja yang dilakukan oleh menteri penderhaka; Menteri Fasola.

Cicakman difilemkan sebelum berlakunya rampasan kuasa. Agak sulit dikatakan bahawa penculikan oleh Najib itu diilhami daripada Cicakman kerana adun-adun itu tidak diklon. Kalau tidak diklon, mungkinkah disogok? Andaian itu mungkin ada kebenarannya.

Kisah difilemkan

Semua kisah-kisah itu difilemkan sebelum berlaku rampasan kuasa. Untuk mengelakkan daripada fitnah, biarlah kita membuat andaian bahawa semua itu berlaku secara kebetulan sahaja. Kisah penculikan, rampasan kuasa di Perak hanya berlaku pada tahun ini, tahun di mana BN melakukan konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan PR di Perak.

Jadi, bagaimana mungkin Dan Brown menghasilkan novel ini dengan mengambil ilham daripada kisah gelap Pengerusi BN Perak yang dikatakan �menculik� ketiga-tiga adun di Perak itu? Ini cuma andaian sahaja, bukan dakwaan betul-betul.

Apa-apa pun, Cicakman dan Angels & Demons dan segala filem yang ada kaitan dengan dasar ‘culik orang dan rampas kuasa’ jangan ditonton sambil lewa saja. Sebaliknya, filem ini mesti dikaji kerana ia mungkin mempengaruhi sikap Najib untuk terus berkuasa.

Malah karya ini patut ditonton setiap lapisan masyarakat, khasnya Najib, Zambri A Kadir termasuk yang terlibat dalam rampasan kuasa Perak jika ingin memahami dasar BN, iaitu culik (orang) dan rampas (kuasa); gantian dasar pecah (bangsa) dan perintah (negara)!

One Comment leave one →
  1. dino ahmad permalink
    25 May, 2009 pm

    Kalau PAS buat tak per, kalau UMNO buat tak boleh. PAS memang flip flop, parti flip flop.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: