Skip to content

Dua rentung

24 May, 2009

HANGUS... anggota polis dan bomba memeriksa mayat <br>dua beranak warga Thailand yang datang berniaga.
HANGUS… anggota polis dan bomba memeriksa mayat
dua beranak warga Thailand yang datang berniaga.

KUANTAN: Dua beranak warga Thailand yang datang ke negara ini untuk berniaga, terbunuh selepas rumah sewa didiami mereka hangus dijilat api di Simpang Pandan 1, Batu 8, Jalan Gambang, di sini, kira-kira jam 7.30 pagi semalam.

Mangsa dikenali sebagai Roza Mani, 48, dan anaknya Samuddee Roza, 24. Mereka yang berasal dari Narathiwat, Thailand dikatakan tiba di negeri ini sebulan lalu dan menyewa rumah papan milik seorang penduduk tempatan bersama tujuh rakan senegara.

Penghuni rumah itu yang selamat dikenali sebagai Ibrahim Salleh, 30, Yahya Samano, 24, Hamdan Md Nor, 19, dan seorang lagi anak Roza, Sofuan, 21, manakala Md Rosni Dollah, 19, melecur separuh badan dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.

Sebuah trak ‘pick-up’, motosikal Vespa dan barang perniagaan milik mereka keropok dan minyak angin serta sebuah rumah tidak berpenghuni terletak bersebelahan kediaman itu turut hangus.

Ibrahim yang ditemui di tempat kejadian berkata, dia hanya menyedari rumah sewa mereka terbakar apabila terasa panas ketika nyenyak tidur di ruang tamu.

“Ketika itu api marak dan saya tidak memikirkan perkara lain kecuali lari menyelamatkan diri bersama Yahya, Hamdan dan Sofuan.

“Rosni menyusul kemudian, namun dia cedera kerana sukar keluar disebabkan api marak dengan cepat,” katanya.

Ibrahim berkata, apabila berjaya keluar dari rumah yang marak dijilat api itu, mereka memanggil Roza dan Samuddee yang tidur di dalam bilik, namun dua beranak itu tidak menyahut jeritan mereka.

“Saya berasa pilu kerana tidak dapat menyelamatkan dua beranak itu. Jika diikutkan hati, mahu saja saya meredah api, namun tidak berdaya berbuat demikian kerana api terlalu cepat menjilat rumah kami,” katanya.

Menurutnya, mereka datang ke negara ini bersama-sama untuk mencari rezeki, namun hajat itu bertukar menjadi tragedi menyayat hati.

“Sebelum tiba di sini, kami teruja untuk mencari rezeki di tempat orang memandangkan keadaan ekonomi di sini lebih baik berbanding negara kami,” katanya sedih.

Sementara itu, seorang lagi anak Roza, Sofuan yang terlalu sedih dengan kehilangan bapa dan abangnya enggan ditemubual wartawan. Dia menangis di tepi jalan sambil ditenangkan sahabat mereka yang terselamat.

Mayat dua beranak itu ditemui rentung di dalam bilik selepas anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas berjaya memadam kebakaran setengah jam kemudian.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata kebakaran dipercayai berpunca daripada api ubat nyamuk.

“Bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan dengan bantuan bomba bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: