Skip to content

Iman boleh cegah jahiliah moden

25 May, 2009

Bersama Mohd Zawawi Yusoh

ANAK adalah pewaris dan penyambung keturunan. Tetapi anak sebenarnya bukan milik kita, sebaliknya anugerah Allah.

Ada yang berusaha untuk mendapat anak tetapi tidak juga mendapatnya. Ada yang tidak hendak anak tetapi dapat pula dan bila dah tak nak anak dibuangnya pula anak itu.
Memang zalim mereka yang buang anak. Mereka buang sebab cara mendapatnya yang tidak betul, dengan berzina.

Perbuatan zalim ini tidak akan berhenti dengan perbuatan terkutuk selagi ada manusia bertopengkan syaitan yang tidak pernah insaf daripada noda yang dilakukan.

Selepas berseronok melakukan hubungan zina yang diharamkan, mereka melakukan pembunuhan kejam. Malah, bagi mereka buang bayi tidak ubah seperti buang sampah yang sudah busuk dan tidak lagi diperlukan.

Amalan hina itu lebih buruk daripada binatang dijadikan Allah dengan rasa kasih sayang dan belas kasihan terhadap darah daging sendiri.

Bimbang malu atas keterlanjuran tidak boleh sama sekali dijadikan alasan untuk membunuh nyawa yang tidak berdosa. Malah, keadaan itu mendedahkan pelaku kepada jenayah membunuh dengan sengaja lalu mengundang kemurkaan Allah.

Masyarakat Arab jahiliah sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w pernah membunuh anak perempuan kerana malu dan dianggap tidak setanding dengan anak lelaki yang gagah dan boleh diajar berperang.

Hal ini dinyatakan dalam firman Allah bermaksud: “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi dari orang ramai kerana (berasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (dia beroleh anak perempuan sambil dia berfikir), adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau dia akan menanamnya hidup-hidup di dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.” (Surah al-Nahl, ayat 58-59)

Tetapi kini, kejahatan manusia melampau naluri semula jadi seorang ibu yang sepatutnya menjadi belas serta sayang terhadap anak dilahirkan.

Jantina bayi tidak lagi menjadi perhitungan, malah jika yang lahir pondan sekalipun, mahu dibuang atau dibunuh tetap akan dilakukan.

Ada dibuang di dalam lubang tandas, ditinggalkan di tepi semak, tempat pembuangan sampah, dicampak ke dalam longkang dan terbaru seorang bayi seberat 3.05 kilogram ditemui ditinggalkan semalaman di perhentian bas sehingga dikerumuni ribuan semut.

Manusia jenis apakah tergamak melakukan perbuatan keji seperti itu? Sungguh ia perlakuan manusia dirasuk iblis hingga akal tidak lagi dapat berfungsi dengan sempurna.

Setiap kali isu itu dibangkitkan pelbagai pihak tampil memberikan cadangan, tetapi hingga kini masih belum ada jalan penyelesaian.

Oleh itu, punca masalah perlu terlebih dulu dikenal pasti bagi mencari penawar untuk mengubati penyakit masyarakat yang sudah lama menjadi barah.

Pergaulan bebas tanpa batasan, keinginan muda-mudi berseronok, terpedaya dengan pujukan pasangan, kurang perhatian dan kasih sayang ibu bapa, tidak melaksanakan perintah agama antara punca amalan tidak bermoral berterusan.

Bagi membendung jenayah ini, golongan muda-mudi Islam dinasihatkan kembali ke jalan benar. Mereka wajib kembali kepada beramal dengan ajaran al-Quran dan sunnah Rasul-Nya.

Setiap Muslim diingatkan supaya sentiasa menunaikan solat dan tidak mengabaikannya. Semoga ia mampu menjadi benteng serta pelindung kepada pelakuan dosa.

Allah berfirman maksudnya: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Ibu bapa pula diingatkan supaya tidak terlalu leka mengejar kemewahan dunia yang sementara menyebabkan tanggungjawab mendidik anak terabai.

Walaupun kemungkinan anak tidak lagi tinggal serumah apabila sudah bekerja, ibu bapa seharusnya tahu tempat tinggal, rakan dan tempat bekerja mereka. Dengan itu, anak akan berasa keprihatinan ibu bapa walaupun berjauhan.

Selain itu, pesta hiburan sehingga lewat malam yang menjurus kepada pergaulan bebas tanpa sempadan juga hendaklah dihentikan.

Stesen televisyen juga disaran mematuhi garis panduan penayangan filem dengan menghentikan filem berunsur lucah dan ganas daripada tayangan umum.

Seterusnya, marilah bersama menyumbang dengan melaksanakan kerja menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran untuk kebaikan semua.

Budaya tegur-menegur dan saling nasihat-menasihati perlu menjadi amalan dalam masyarakat supaya amalan buruk jahiliah moden ini dapat dibanteras.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: