Skip to content

Maulidur Rasul

25 May, 2009

DALAM bahasa mudah ia disebut Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda Nabi Muhammad s.a..w. atau bahasa slanga Hari Jadi Nabi. Tarikhnya 12 Rabi’ul Awal Tahun Hijrah. Tahun ini ia bersamaan Selasa, 11 April.

Setiap tahun ritual atau pendekatan yang sama dilakukan. Berarak secara beramai-ramai sambil memegang sepanduk, diselangi selawat ke atas junjungan baginda. Kemudian berkumpul di stadium untuk mendengar ucapan-ucapan dan penyampaian cenderamata serta anugerah tokoh Maulidur Rasul peringkat kebangsaan. Itu acara negara.

Televisyen pula dengan acaranya yang tersendiri. Diskusi pagi bersama pengacara-pengacara TV dengan segak berpakaian baju Melayu dan berbaju kurung sambil di skrin TV memaparkan ucapan-ucapan individu yang ditujukan kepada orang perseorangan seperti:” Saya mengucapkan selamat hari Maulidur Rasul untuk Ina yang kini berada di Segamat, Johor dan seluruh rakyat Malaysia” atau dengan bunyi lainnya ialah “Selamat Hari lahir Nabi untuk Ina…”

Selain itu, TV menayangkan konsert Maulidur Rasul yang menampilkan penyanyi-penyanyi bertudung dan pakaian aneka ragam sambil mendendangkan alunan lagu pujian ke atas Nabi dan Tuhan. Pada petangnya menyiarkan kisah-kisah drama, diskusi petang bersama ustazah seiring dengan promosi kosmetik untuk kecantikan wanita, nyanyian kumpulan Pop Dakwah dan dokumentari syiar Islam tidak terkecuali slot Samarinda.

Acara rakyat pula, ialah mengambil peluang sempena cuti umum untuk membawa kaum keluarga berjalan-jalan dan bersiar-siar seperti berkelah di Ulu Yam, Taman Tasik Titiwangsa, Taman Suria KLCC dan sebagainya, paling tidak bersantai di rumah sahaja.

Ini adalah antara cebisan-cebisan aktiviti atau antara rancangan-rancangan yang dilakukan oleh “umatku, umatku” yang disebut oleh baginda Rasulullah s.a.w. tatkala hampir menghembuskan nafas terakhir.

Malangnya, di samping memperingati kelahiran Baginda, pada masa yang sama menentang ajaran yang dibawa.

Menolak hadis dan sunnah oleh kumpulan antihadis, menentang ayat-ayat al-Quran oleh persatuan yang memperjuangkan hak kebebasan manusia, mengaku Rasul Melayu terakhir, mempersendakan pakaian serta cara kehidupan baginda, menuduh Nabi melakukan zina, menfitnah bahawa al-Quran disalah tafsir dan hukum hakamnya tidak adil dan mempermain-mainkan perintah Allah adalah antara perilaku-perilaku songsang yang dilakukan oleh sebahagian penyambut-penyambut kelahiran Nabi.

Salah satu contoh penentangan yang dilakukan oleh umat Nabi yang memperingati kelahiran Baginda ialah apabila ayat-ayat Al-Quran diturunkan melalui wahyu Allah yang dilafazkan serta disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. kepada umatnya antaranya ialah “.. dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka…” Surah AnNur ayat 31.

Dan ayat 59 Surah al-Ahzab yang bermaksud: “Wahai Nabi (Muhammad), suruhlah kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kamu dan wanita-wanita beriman agar melabuhkan jilbab (pakaian bagi menutup seluruh tubuh) mereka (semasa mereka keluar), cara yang demikian itu lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah maha pengampun lagi maha pengasihani (terhadap dosa kamu pada masa lalu).”

Apabila dua ayat ini dihadapkan kepada sebahagian wanita Islam yang mengaku umat Nabi yang juga menyambut Maulidur Rasul, sebahagian mereka secara terang-terangan menentang hebat, membantah, tidak patuh malah mempersendakannya pula.

Pelbagai alasan diberikan seperti mengongkong, salah tafsir ayat, menindas dan ada yang memakainya pada majlis tertentu sahaja seperti kematian, majlis agama dan sambutan Maulidur Rasul dan pada keesokan harinya mendedahkan aurat semula.

Beginilah salah satu situasi dan contoh kecil yang mengelirukan. Menyukai, kasih, cinta, memperingati Nabi hanya pada satu hari sahaja tetapi menentang fahaman, ajaran dan petunjuk yang dibawa baginda selama-lamanya.

Sifat ini adalah sama seperti perangai atau karenah Abu Jahal dan Abu Lahab. Mereka adalah antara orang pertama yang terlalu gembira menyambut kelahiran Muhammad s.a.w. lantas mengadakan kenduri dengan pelbagai juadah hidangan. Menatang bagai minyak yang penuh, menyanjung Nabi dan memberi perlindungan.

Maka tatkala Nabi Muhammad s.a.w. melafazkan risalah-risalah dan perintah-perintah daripada ayat-ayat Tuhannya, tiba-tiba Abu Jahal dan Abu Lahab jugalah antara yang terawal membantah, menentang keras, mempersendakan ayat-ayat Allah, memfitnah, mengancam sehingga merancang untuk membunuh!

Moralnya : Jangan biarkan hidup anda diselubungi misteri dan janganlah menyambut Maulidur Rasul seperti gembiranya Abu Jahal menyambut kelahiran Nabi…

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: