Skip to content

Protege Julfekar

25 May, 2009

Oleh IZWAN MOHAMAD
metahad@hmetro.com.my

KERJA gila? Pasti itu yang terlintas pada fikiran sesiapa saja, khususnya mereka yang terbabit di dalam industri muzik tanah air, jika melihat pelan perancangan yang dilakukan komposer dan penulis lirik, Julfekar Ahmad.

Sinonim dengan artis seperti Azharina Azhar dan Farawahida, ternyata pembabitannya dalam dunia seni bukan main-main kerana berjaya menaikkan nama dua penyanyi itu ke tahap membanggakan.

Malah, kejayaannya memasarkan album Farawahida ’09 ke Indonesia tatkala industri di sana sukar menerima hasil kerja penggiat Malaysia adalah pencapaian yang harus dipuji.

Namun dalam kemanisan yang dikecapi, terpalit pula rasa pahit dengan kontroversi anak didiknya melanda apabila hubungan peribadinya dengan penyanyi itu mula melalui jalan berliku, seterusnya menuju kehancuran.

Keretakan hubungan itu secara tidak langsung mempengaruhi usaha kedua-duanya, namun atas dasar profesionalisme usaha itu diteruskan walaupun perbincangan masih menemui jalan buntu.

Tanpa menoleh ke belakang, Julfekar, 44, tidak mahu mengenang kesedihan, sebaliknya berusaha menerbitkan 11 album untuk pasaran tahun ini, termasuk dua kumpulan, Akasia dan Santekee.

“Saya mengakui kesilapan saya kerana membabitkan urusan peribadi dengan kerjaya sebelum ini, jadi saya berazam untuk lebih berhati-hati dan menjalankan tanggung jawab secara profesional.

“Mungkin benar jika ada yang berpendapat tindakan saya menerbitkan banyak album dalam tahun ini ‘tidak betul’ setelah melalui kisah sedih, namun ini yang terbaik yang saya boleh lakukan, sekali gus membantu menaikkan semula industri muzik Malaysia,” katanya.

Selain dua kumpulan itu, Julfekar menerbitkan album beberapa pendatang baru, termasuk Juara Sinaran TV3 2000, Rahayudean Rahmat dan peserta Konsert Prelude Akademi Fantasia 4, Leez. Single kepada pemenang utama Bintang Idola ABPBH juga dalam perancangannya.

“Saya membelanjakan wang sendiri untuk menerbitkan album ini atas dasar mahu mengetengahkan penyanyi baru dan menunjukkan kepada masyarakat bahawa industri kita belum ketandusan bakat yang bagus.

“Namun saya akan lebih berwaspada, lebih-lebih lagi soal kontrak, supaya tidak timbul masalah pada masa depan seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Tambahnya, dia sedar penjualan album sangat perlahan dan kadangkala merugikan, namun dengan adanya teknologi, wujud sumber pendapatan lebih efektif seperti penjualan nada dering selain sumber kewangan menerusi jemputan persembahan.

Oleh itu, dia memastikan semua lagu yang dicipta untuk artis naungannya mesti berkualiti dan mudah diterima masyarakat, jauh sekali menyiapkan album dengan memasukkan lagu secara ‘tangkap muat’.

“Penciptaan lagu mesti dikemaskini dan mengikut perkembangan semasa serta kemampuan artis itu supaya mereka tampil dengan sebaik mungkin.

“Peminat muzik semakin bijak, sampai bila kita hendak buat lagu ‘syok sendiri’ tanpa memikirkan soal pemasaran dan kemahuan pendengar, jadi saya mengkaji setiap aspek seperti usia dan penampilan penyanyi supaya bersesuaian dengannya,” katanya.

Memandangkan artis di bawah syarikatnya, Milleniumart Sdn Bhd semakin bertambah, dia turut mengambil keputusan melantik pembantu bagi melancarkan pengurusannya.

Malah, syarikat ini turut mempunyai wakil pengurusan di Indonesia bagi memudahkan kerja-kerja pemasaran di sana memandangkan perlu ada ‘jambatan’ untuk memudahkannya membawa produk baru ke sana.

“Saya berharap usaha saya kali ini berhasil dan mampu membantu perkembangan industri hiburan tanah air,” kata Julfekar.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: