Skip to content

Henti segera kerja runtuhan bangunan Jaya Supermarket: Khalid

30 May, 2009

Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengarahkan supaya kerja-kerja merobohkan bangunan Jaya Supermarket di Seksyen 14 Petaling Jaya, dihentikan serta merta bagi menyiasat punca bangunan lima tingkat itu runtuh menyebabkan tiga pekerja binaan terbunuh.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata hanya kerja-kerja mencari dan menyelamat empat lagi pekerja Indonesia yang masih hilang dibenarkan, sehingga punca kejadian tersebut dikenalpasti.

Beliau membuat keputusan itu selepas mendengar taklimat daripada unit kejuruteraan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (DOSH) dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) pada mesyuarat majlis tindakan ekonomi Selangor (MTES) di Shah Alam hari ini.

Dalam kejadian jam 5 petang semalam, mayat dua pekerja ditemui sejurus selepas kejadian, seorang lagi ditemui jam 3.30 pagi ini, manakala empat lagi dipercayai masih terperangkap dalam runtuhan.

Mereka dipercayai berada tidak jauh daripada mayat ketiga-tiga pekerja yang ditemui itu, tetapi masih belum dapat dikeluarkan.

Tan Sri Khalid juga telah mengarahkan MBPJ supaya memastikan semua jentera yang digunakan dalam kerja-kerja merobohkan bangunan tersebut tidak dibenarkan untuk dibawa keluar.

Pihak IKRAM juga diberi masa seminggu untuk menyiapkan laporan siasatan pada mesyuarat MTES, Jumaat depan.

Tan Sri Khalid juga mengarahkan MBPJ memastikan jenazah mangsa diuruskan dengan baik mengikut adat serta agama masing-masing.

MBPJ juga akan berurusan dengan semua kedutaan yang terlibat bagi memastikan sanak-saudara mangsa mengetahui status kejadian, di samping mengeluarkan kenyataan memohon maaf serta ucapan takziah kepada semua mangsa.

Kawalan keselamatan juga dilakukan di seluruh kawasan kejadian bangunan runtuh bagi menjamin keselamatan penduduk setempat.

Risalah berhubung kejadian serta sebuah kaunter informasi akan didirikan di kawasan kejadian untuk memberi maklumat kepada orang ramai serta keluarga mangsa yang terlibat berhubung kejadian itu.

Melalui taklimat mengenai kejadian runtuhan bangunan Jaya Supermarket hari ini, Kerajaan Negeri mendapati terdapat kelemahan garis panduan yang serius dalam kerja-kerja merobohkan bangunan tersebut.

Tan Sri Khalid berkata, kelemahan ini harus diperbetulkan secepat mungkin supaya tragedi seumpama itu tidak berulang dan rancangan pembangunan di Negeri Selangor tidak terganggu.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: