Skip to content

20 Siti Nurhaliza

31 May, 2009

RUTIN seharian Datuk Siti Nurhaliza Taruddin makin bertambah dengan kerja konsert Satu yang bakal menjelang. Segudang harapan dipertaruhkan untuk itu selepas 14 tahun menghibur peminat.


Tempoh itu juga mematangkan wanita asal Kuala Lipis, Pahang ini. Kepada Pengarang Selebriti, ABIE ABDULLAH, Siti bercerita mengenai dunia sekitarnya.

1. Konsert Satu – objektif dan kaitan dengan Celine Dion

SATU adalah konsert eksklusif yang diadakan di Istana Budaya pada 26-28 Jun ini. Ia bertujuan untuk mengumpul dana bagi Yayasan Nurjiwa iaitu yayasan yang ditubuhkan oleh Siti dan suami selepas kami berkahwin. Yayasan ini membantu mereka yang memerlukan dalam banyak aspek, antaranya golongan miskin, pembinaan surau/ masjid dan mangsa bencana alam.

Objektif konsert ini sama juga dengan apa yang telah yayasan buat selama ini dan kami juga insyaAllah akan menyumbangkan dana yang diperolehi daripada konsert ini untuk yayasan-yayasan lain yang mempunyai visi dan misi yang sama.

Untuk tahun 2009, Siti mahu menunjukkan kematangan dari segi persembahan Siti sebagai artis dan menampilkan corak persembahan yang berbeza. Ada juga sentuhan teaterikal dalam konsert ini nanti. Semua elemen dalam konsert ini menjadi SATU dan itulah yang dimaksudkan satu selain ia terilham daripada konsep ‘1Malaysia’ yang disarankan oleh Perdana Menteri kita.

Satu terinspirasi daripada konsert Celine Dion di Las Vegas tetapi bukanlah Siti membuat konsert seumpama itu kerana kosnya amat tinggi tetapi skala yang sederhana kami lakukan kerana semangatnya ada di situ.

2. Konsert bergerak

Sebagaimana keluhan ramai artis tempatan mengenai sukarnya mengadakan konsert kerana tidak banyak pihak yang mahu tampil sebagai penaja, alasan itulah juga menyebabkan Siti masih tidak mampu mengadakan konsert bergerak walaupun terlalu ingin berbuat demikian.

Pada 2004, menerusi Konsert Fantasia Tour yang ditaja Hotlink/Maxis, Siti berjaya ke 13 lokasi di seluruh Malaysia dan ia satu pengalaman yang sukar dilupakan. Siti berharap agar masih berpeluang berbuat demikian dengan adanya sokongan penaja.

3. Yayasan Nurjiwa

Yayasan Nurjiwa banyak memfokuskan kerja amal untuk membantu golongan yang memerlukan. Antara kegiatan terbaru kami ialah mengadakan konsert eksklusif SATU di Istana Budaya bagi mengumpul dana. Selain itu, kami memberikan sumbangan pembinaan surau dan masjid, membantu mangsa banjir dan bencana alam serta golongan miskin.

4. Album duet dengan Krisdayanti (KD)

Mengenai album duet bersama KD, sebenarnya sudah lama kami bincangkan tetapi ketika itu masing-masing terikat dengan syarikat rakaman. Apabila Siti sudah bergerak sendiri dengan Siti Nurhaliza Productions (SNP) dan KD juga sudah bebas dan bernaung di bawah syarikatnya KD Records, kami rasa inilah masa yang sesuai tampil dengan album duet.

InsyaAllah, material sudah ada 70%, kami akan memulakan rakaman apabila tidak sibuk dengan aktiviti seni dan bercadang agar album ini dikeluarkan sebelum akhir tahun nanti. InsyaAllah.

5. Relevan penerbitan album penuh

Sukar untuk menjawab soalan ini tetapi sebagai artis, Siti memang berharap agar album penuh ini akan terus dikekalkan. Sudah berpuluh tahun industri seni mengeluarkan album penuh dan pada beberapa kebelakangan ini kita hanya mengeluarkan single, dan tentunya industri kita akan lebih teruk.

Namun Siti faham kos penerbitan album dan ia bergantung kepada kemampuan artis atau syarikat rakaman. Album Lentera Timur juga sebuah album penuh, ia membabitkan kos yang tinggi apabila menggabungkan ramai komposer ternama dan juga menggunakan ‘live strings’ sepenuhnya untuk semua lagu.

Bagi Siti itu adalah kepuasan. Namun Siti tidak tahu bagaimana album seterusnya kerana ia bergantung kepada kemampuan. Siti harap para peminat seni tanah air akan dapat terus menyokong album artis tempatan supaya kami mampu mengeluarkan album penuh setiap tahun.

6. Anugerah Industri Muzik (AIM)

AIM anugerah yang mengiktiraf karyawan seni dan ia amat berprestij bagi penggiat seni tanah air. Kejayaan di AIM baru-baru ini amat Siti hargai kerana segala kerja keras Siti dan SNP berhasil apabila kami memenangi Album Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu dan Album Pop Etnik Terbaik dan kejayaan menerusi lagu Pada Cintanya, Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu. Semua kejayaan ini adalah semangat untuk Siti dan SNP menghasilkan album yang lebih baik lagi di masa akan datang.

7. Industri seni hari ini

Industri muzik sekarang ini berada dalam keadaan yang amat sukar, album tidak mendapat jumlah jualan yang memberangsangkan. Usaha menerbitkan single juga bergantung kepada penerimaan penggemar. Kebanyakan single dijual menerusi muat turun, jika lagu bagus, jualannya memang mampu membantu artis.

Pelbagai pertandingan mencari artis dalam ‘reality show’ tetapi siapa yang mahu menerbitkan album mereka? Terlalu banyak artis dilahirkan tetapi syarikat rakaman semakin kecil jumlahnya. Jumlah penerbitan album saban tahun makin berkurang.

Album penuh juga semakin tidak ada. Hanya single atau mini album. AIM satu anugerah berprestij juga mengangkat single untuk pencalonan, lebih banyak artis/syarikat yang akan menggunakan kesempatan ini dengan hanya menghasilkan single saja.

Apakah ini membantu?? Sedangkan album penuh dipinggirkan dan tidak ada usaha yang menyarankan agar hanya album penuh diberikan tempat di AIM. Semuanya ada pro dan kontra.

8. Digosip atau difitnah?

Macam biasa, saban tahun ada cerita baru iaitu sejak Siti mula bergelar artis, sebelum berkahwin dan sudah berkahwin, ini adalah asam garam. Perkara-perkara begini bukanlah sihat tetapi apa nak buat kerana Siti tidak mampu menutup mulut setiap orang menabur fitnah, mereka-reka cerita dan menokok tambah apa yang tidak ada. Jika ia tidak menjatuhkan maruah, Siti masih boleh terima tetapi setiap manusia ada aras sabarnya.

9. Wartawan hiburan Malaysia: Keterlaluan, memaksa atau OK saja

Siti memang berhadapan dengan ramai wartawan, tidak kira di Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia dan ramai lagi dan masing-masing memberikan kerjasama yang baik. Cuma ada kala apabila mereka mengejar bahan berita yang bersifat peribadi, barangkali ada desakan sedikit tetapi alhamdulillah Siti laluinya dengan baik selama ini.

Sebagai artis, memang ada kalanya kita mahu mendiamkan diri untuk beberapa ketika kerana ada sesuatu isu hangat diperkatakan tetapi bukanlah melarikan diri. Jika kembali reda, barulah sesuai untuk tampil memberi penjelasan.

Bagi Siti, jika ada kerjasama yang baik antara dua pihak, insyaAllah semuanya akan menjadi lancar. Siti akui jika soalan-soalan merujuk kepada hal yang tidak benar, tidak masuk akal dan tidak berlaku kepada Siti atau kontroversi yang dicetuskan oleh orang lain, Siti memang tidak berminat untuk respons kepada media.

10. Berkongsi cerita peribadi dengan peminat

Hal ini terpulang kepada individu. Bagi Siti sendiri, pembabitan keluarga banyak di belakang tabir, ada hanya sekali sekala jika ada majlis yang membabitkan Siti bersama mereka, barulah ia boleh dikongsi atau menjadi tatapan media. Tidak semua perkara kita babitkan anak, keluarga, suami atau rumah tangga.

11. Datuk Khalid (DK) turut terkena tempias gosip hiburan

Mungkin orang tidak mempedulikannya jika dia tidak berkahwin dengan seorang public figure atau artis tetapi itulah harga yang harus dibayar oleh suami dan juga Siti apabila perkara seperti ini tak habis-habis diperkatakan.

Mungkin ada yang dengki, sakit hati atau sengaja mahu menguji kesabaran Siti dan suami. Walaupun sebelum ini kami sudah tampil di media memberikan penjelasan tetapi masih ada lagi cerita begini.

Baik Siti atau suami, kami akan terus pastikan rumah tangga kami tidak goyah hanya kerana cerita-cerita begini kerana nilai kepercayaan sudah diterap sejak berkahwin lagi. Bagi yang masih tak serik-serik menabur fitnah buat suami Siti, Siti harap anda insaf dan kembalilah ke pangkal jalan.

12. Kali terakhir tengok wayang

Kali terakhir Siti, suami dan anak, Mohd Azief menonton wayang ialah pada Ahad lepas iaitu filem Push.

13. Anak sendiri

Mengenai anak, memang orang tak putus-putus bertanya tetapi yang Siti mahu mereka faham ada kala Siti tak pernah merancang dan sentiasa berdoa agar dikurniakan cahaya mata. Memanglah adakalanya sukar kerana asyik menjawab benda yang sama tetapi Siti hanya mohon agar semua pihak faham.

14. Keras di balik kelembutan

Tegas!

15. Siti kononnya belum bersedia bertudung.

Isu ini rasanya tak perlulah Siti jelaskan banyak kali kerana semua orang tahu Siti selesa dengan imej sekarang ini iaitu berselendang. Tidak timbul soal bersedia atau tidak kerana selepas kembali dari mengerjakan haji, Siti berselendang hingga sekarang ini.

Inilah perubahan yang sedang Siti lakukan dan rasanya tidak adil jika perkara ini hanya diperkatakan kepada Siti saja. Setiap orang ada perubahan yang mereka lakukan, secara drastik dan perlahan-lahan dan inilah proses perubahan yang sedang Siti buat.

16. Gejala sosial rempit dan ragut.

Dua masalah ini sudah menjadi masalah negara. Makin menjadi-jadi dan mengakibatkan nyawa melayang. Bagi Siti setiap individu harus memikirkan kewarasan, bagi mat rempit nyawa yang ada pada kita harus disayangi dan bukan menunjuk lagak di jalan raya dan apabila sesuatu berlaku, tak boleh nak menyesal lagi.

Begitu juga dengan kes ragut, banyak pekerjaan yang ada di negara kita, jadi tak perlulah melakukan perkara yang bukan saja berdosa tetapi mengakibatkan orang lain maut. Ingatan kepada kita semua juga, jagalah beg tangan atau apa yang kita bawa dan elakkan berjalan sendirian di tempat tidak ramai orang terutamanya wanita.

17. Kisah surirumah, anak dan pembantu rumah mati dikelar mati penyamun di Ipoh

Siti ingin mengucapkan takziah dan bersimpati dengan keluarga mangsa dan amat berharap agar kejadian seperti ini tidak akan berlaku lagi. Kejadian ini amat menyentuh perasaan Siti ketika membacanya di akhbar apatah lagi kepada ahli keluarga yang berhadapan dengan hal ini.

Apa yang boleh Siti katakan agar setiap individu tidak kiralah warga Malaysia atau masyarakat yang tinggal di Malaysia, hiduplah secara aman dan harmoni. Usahlah melakukan perkara seumpama ini. Tidakkah mereka punya akal jika mereka lakukan perkara yang sama kepada keluarga mereka atau mereka ditimpa hal yang sama? Letakkanlah diri di tempat yang sama sebelum tergerak hati melakukan kerja yang begitu kejam.

18. Buku biografi

Buku fotobiografi Siti akan diedarkan sempena 15 tahun Siti dalam bidang seni, kurang setahun dari sekarang. Sekarang ini sudah dimulakan proses pengumpulan gambar-gambar dan dalam proses meneliti bahan-bahan yang ada.

19. Siti 10 tahun lagi

10 tahun lagi, sukar nak meramalkan di mana Siti tetapi Siti berharap pada ketika itu Siti sudah mempunyai empayar perniagaan yang baik, dapat membesarkan anak-anak dan juga menjadi seseorang yang lebih berjaya daripada hari ini. Itulah harapan Siti dan jika Siti tidak aktif lagi dalam bidang seni, mungkin Siti akan membantu di sebalik tabir.

20. Menjadi Siti Nurhaliza.

Siti hanya mampu bersyukur menjadi Siti Nurhaliza sejak dulu, sekarang ini dan selama-lamanya selagi hayat dikandung badan. Siti terima apa saja yang ditentukanNya dan menjalani hidup ini sebaik mungkin. Sebagai manusia biasa, kita jalani hidup macam orang lain juga dan sebagai artis, tentulah banyak perkara yang terpaksa dikorbankan tetapi Siti tidak pernah menyesal.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: