Skip to content

Marsha tak mahu kontroversi

31 May, 2009

Sejak menjejakkan kaki ke dunia seni, nama Marsha tidak pernah sunyi daripada kontroversi. Gadis kelahiran Tamparuli, Sabah ini sentiasa dihambat dengan pelbagai masalah.


Saya tidak mencari kontroversi untuk popular. Biarlah orang lain buat perkara tersebut. Bagi saya lebih bermaruah jika orang mengenali kita dengan hasil kerja yang baik.

Kadangkala kisah di sebalik kehidupan sehariannya juga sering diburu oleh media berbanding dengan kerjayanya. Inilah pahit manis kehidupan menjadi anak seni yang sentiasa menjadi perhatian.

Bekas peserta Akademi Fantasia 3 ini sering menjadi kecaman pelbagai pihak yang kurang senang dengan kehadirannya di dalam bidang seni. Perit benar melihat perjalanan kariernya walaupun sudah melangkaui empat tahun.

Bakat yang ada dalam dirinya tidak pernah padam. Marsha bukan sahaja boleh menyanyi dengan baik, malah dia juga dianugerahi dengan bakat berlakon seperti yang lain.

Walaupun mendapat tempat ketiga semasa di AF3, nama Marsha tenggelam timbul dek penangan artis baru lain. Memang diakui, agak sukar untuk terus bertahan walaupun melakukan usaha yang keras.

Dia pernah dituduh hamil dan menggugurkan kandungan. Peristiwa itu tidak hanya habis setakat itu sahaja, malah Marsha terus dihambat dengan cerita putus cinta bersama dengan bintang AF3, Kefli.

Mereka menafikan sedang dilamun cinta. Tapi akhirnya apabila percintaan itu putus barulah Marsha membuka mulut. Itulah realiti yang melanda mereka. Tidak mahu menyalahkan sesiapa, Marsha tekad meneruskan kerjaya tanpa sebarang gosip yang kurang enak.

Memang diakui, Marsha adalah antara bintang yang agak seksi dan berani. Bagi Marsha imej yang dibawanya itu tidak pernah sesekali disalah guna untuk mendapatkan perhatian.

Ketika fotografi ini dilakukan, Marsha mendedahkan yang hati kecilnya yang sedih dengan tomahan daripada sesetengah pihak.

“Tak tahu apa yang orang mahu sebenarnya. Sebagai seorang artis, saya masih lagi tahu batasan dan sentiasa menjaga adab. Tapi selalunya ia masih lagi tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

“Saya akui, bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak. Macam-macam perkara yang telah saya lakukan. Kalau boleh saya tak mahu kisah peribadi terus menjadi bualan orang ramai,” kata Marsha dengan nada yang kecewa.

Tidak habis dengan isu tersebut, semasa menjadi terlibat dengan AF7, Marsha dikatakan sebagai punca salah seorang pesertanya tersingkir. Bagai halilintar apabila Marsha melihat gosip-gosip tersebut.

Jelas Marsha, isu Aril tersingkir sememangnya tidak ada kena mengena dengan dirinya. Dia bukan punca Aril tersingkir. Tambah Marsha, apa yang dilihat oleh penonton adalah babak yang sudah dipotong serta disunting. Ini bermakna penonton yang melihat tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya.

Tak habis dengan perkara tersebut, Marsha pula dituduh tergedik-gedik menari bersama dengan rakan artis yang lain di post party Anugerah Industri Muzik (AIM16) baru-baru ini.

Apabila ditanyakan mengenai hal tersebut Marsha tidak melenting dengan gosip tersebut. Akuinya, memang dia menari bersama dengan rakan artis yang lain, namun tidaklah seburuk yang disangkakan.

“Saya menari seperti biasa sahaja. Tapi kenapa bila keluar gosip hanya saya seorang sahaja diperkatakan? Bukan saya tak puas hati dengan perkara tersebut, cuma kadang kala saya dihimpit rasa pelik.

“Tipu kalau saya katakan saya tak marah dengan gosip tersebut. Tapi ini semua asam garam yang perlu saya lalui. Sekurang- kurangnya saya belajar sesuatu yang baru,” katanya yang sedang sibuk dengan penggambaran drama untuk siaran hari raya nanti.

*Mencari lelaki budiman

Semakin disorok, semakin kuat keinginan orang ramai untuk mengetahui kisah peribadinya. Walaupun cuba menepis soalan-soalan bersifat peribadi, Marsha tidak dapat menolaknya lagi.

Jelasnya kini, insiden putus cinta bersama Kefli mengajarnya erti kehidupan yang lebih hakiki. Peritnya terpaksa ditelan sendirian.

“Saya sudah tidak mahu berfikir soal lelaki. Bukan serik dengan dengan apa yang telah berlaku, cuma tak mahu kisah cinta saya sentiasa menjadi buruan orang.

“Lebih baik saya menumpukan perhatian kepada kerjaya yang semaikan berkembang selain berusaha dengan lebih gigih baga memastikan saya menempa kejayaan pada masa hadapan.

Kata Marsha, kalau diikutkan perancangan dia mahu mahu menamatkan zaman bujang pada usia 25 tahun. Nampaknya hajat untuk mendirikan rumah tangga pada usia 25 tahun tidak kesampaian.

“Lebih baik saya menyibukkan diri dengan kerjaya daripada sibuk mengejar cinta yang entah bila akan kunjung tiba,” katanya yang mengimpikan bertemu dengan lelaki yang budiman.

*Popular di sebalik kontroversi

Dengan lambakan artis-artis yang sedia ada di dalam industri masa kini, sudah tentu masing-masing menghadapi persaingan untuk terus bertahan. Malah ada sebahagian artis yang sengaja mencari kontroversi untuk terus popular.

“Saya tidak mencari kontroversi untuk popular. Biarlah orang lain buat perkara tersebut. Bagi saya lebih bermaruah jika orang mengenali kita dengan hasil kerja yang baik.

“Kalau difikirkan balik dengan apa yang sudah terjadi kepada saya, saya bersyukur sebab masih ramai lagi yang ingin mengambil tahu perihal saya dan setidak-tidaknya menegur kesalahan yang saya lakukan,” tutur Marsha lagi.

Tidak dapat dinafikan Marsha memang tengah laku berlakon dan bakal muncul dalam beberapa buah filem termasuklah Senario The Movie Episod 2: The Beach Boys yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

Bagi Marsha rezeki dalam bidang lakonan sememangnya semakin menjadi-jadi sejak akhir- akhir ini. Maka tidak hairanlah jika ramai yang tidak mahu melepaskan peluang melihat bakat lakonan yang ada dalam dirinya.

Jika sesetengah artis lebih suka menumpukan dalam satu-satu bidang, lain pula dengan Marsha. Dia tidak kisah melakukan pelbagai kerja dalam satu masa asalkan ia memberikan faedah yang baik kepada dirinya.

“Saya tak ukur baju di badan sendiri. Walaupun pada mula penglibatan dahulu sebagai penyanyi, saya tidak kisah terjun ke bidang lakonan pula. Tapi semuanya perlu ditapis terlebih dahulu.

“Semuanya bergantung kepada kredibiliti saya. Saya juga tak mahu menjadi penghancur kepada kerjaya sendiri jika menerima tawaran yang tidak sesuai dengan diri.

“Apa yang saya ingin tonjolkan adalah mutu lakonan yang berkesan. Itu lebih menggembirakan saya daripada saya mengejar semua tawaran berlakon yang datang,” katanya.

*Ada syarikat sendiri

Akibat penutupan Maestro Talent & Management (MAESTRO) yang menaungi oleh Marsha sebelum ini, dia menganggap itu sebagai cabaran yang harus ditempuhi.

Kontraknya kini disambung bersama dengan Astro Entertaiment Sdn. Bhd. (AESB) yang bakal menguruskan kerjaya seninya pula.

Kini Marsha menubuhkan pula Marsha Londoh Entertainment yang bakal menguruskan kerjaya seni dan juga bertindak sebagai sebuah syarikat pengurusan persembahan.

Selama ini penyanyi lain berbangga dengan kelahiran album mereka, Marsha pula sebaliknya. Sehingga kini impiannya untuk terus menghasilkan album masih belum termakbul dan hanya menantikan peluang itu.

“Sebab itu saya tidak menaruh harapan yang tinggi kepada syarikat tempat saya bernaung. Lama sangat rasanya saya menunggu dan terus menunggu. Harapan saya kini hanyalah kepada AESB dan akan melakukan rundingan seterusnya.

“Apabila melihatkan sambutan peminat terhadap lagu duet saya bersama Ajai yang berjudul Sayang mendapat sambutan yang menggalakkan, ia sebenarnya menguatkan lagi semangat untuk terus menyanyi.

“Untuk album pula, jika tidak ada aral melintang saya akan masuk studio untuk rakaman. Lagu juga sudah ada dan hanya menunggu masa yang sesuai sahaja,” katanya yang masih lagi mendambakan penerimaan peminat terhadapnya.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: