Skip to content

Permata Erra

31 May, 2009

Erra akui ‘tension’ sehingga memaksanya ‘melarikan diri’ seketika daripada tangisan itu. Masih dalam pantang, Erra memandu kereta ke kedai. Bukan untuk membeli apa-apa, sekadar pelarian sementara. Pun begitu, di rumah Aleesya dijaga neneknya, ibu mentua Erra.

SEBULAN pertama cukup menguji Erra Fazira. Engku Aleesya Engku Emran banyak meragam. Pernah satu pagi, tangisnya berlarutan sehingga lima jam. Pelbagai cara dilakukan, tetapi Aleesya tetap begitu. Berhenti sekejap, kemudian bersambung semula.

Pengalaman itu sungguh bermakna dalam diari hidup aktres jelita ini sebagai ibu. Kepayahan itu membuatkannya bersyukur dengan apa yang dilalui.

“Erra pun tak tahu mengapa dia menangis sebegitu. Macam-macam dilakukan, tetapi Aleesya masih menangis. Mungkin tempoh itu dia baru cuba menyesuaikan dengan dunia luar dan Erra pula baru nak menyesuaikan diri dengan dunia baru ini.

“Kalau difikir-fikirkan, dalam kesukaran itu, Erra mendapat pengalaman menarik hingga tidak sabar-sabar menanti Aleesya gelak, bercakap dan berjalan. Hanya mereka yang pernah melalui saat-saat begini tahu betapa indahnya waktu ini.

“Bayangkan dalam tempoh berpantang, Erra perlu jaga kesihatan lepas bersalin, menyusu anak dan melayan kerenahnya. Bukan merungut, tetapi itulah pengalaman ibu baru bersalin.

“Erra ingat Erra kuat, maklumlah selama tempoh hamil sehingga melahirkan, semuanya berjalan lancar. Tetapi silap kerana sekuat mana semangat Erra, tersandar juga dengan tanggung jawab baru ini,” katanya yang tamat berpantang minggu lalu.

Persiapan awal mengenai kehamilan dan penyusuan melalui pembacaan buku banyak memberi pelakon Soal Hati ini kekuatan dalam berdepan kemungkinan yang tidak dijangka. Lima buku mengenai persediaan seorang ibu sempat ditelaah sebagai rujukan.

Untungnya Erra kerana suami tersayang, Engku Emran Engku Zainal Abidin, ringan tulang menjaga Aleesya. Kata Erra, tugas membasuh, terutama pada waktu malam, dipikul oleh Emran.

“Erra cuba tidak mahu kacau dia, maklumlah dia penat kerja, tetapi dia sukarela,” katanya mengenai Ketua Pegawai Operasi Suria FM itu.

Sambil tersenyum Erra memberitahu, Aleesya mudah senyap dalam pangkuan ayahnya. Malah, Emran ‘pakar’ membuatkan bayinya sendawa selepas disusukan.

Sambungnya, ketika permata hatinya berusia seminggu, ibu Erra, Azizah Zaik, menjaganya. Selepas itu mentuanya, To’ Puan Salmah Abu Bakar, pula mengambil alih menjaga Aleesya sehingga tempoh pantang habis. Sekarang, sesekali mereka bertandang menziarahi cucu.

Kata Erra, sepanjang tempoh pantang, dia cuba berdiet tetapi memikirkan Aleesya perlu disusukan, dia melupakan hasrat itu. Bayangkan awal-awal dulu, baginya masa pantang adalah waktu terbaik untuk kembalikan berat badan sebelum ke lokasi kerja.

“Tak boleh diet lebih-lebih, nasi kena makan untuk susukan Aleesya. Di samping nasi, Erra disediakan sup ikan haruan. Tu yang badan makin naik ni! Jamu pun tak boleh jamah sebab bimbang panas badan,” katanya yang cuba mengurangkan 13 kilogram berat badannya untuk kembali seperti dulu.

Melihat Aleesya ketika wakil Selebriti berkunjung ke rumah Erra baru-baru ini, ternyata irasnya lebih kepada Emran dan ini diakui Erra. Kata Erra, mentuanya memberitahu yang wajah Aleesya seperti Emran ketika seusia itu.

Dalam meraikan kebahagiaan ini, Erra dan Emran turut diuji dengan kontroversi ‘media’ berkaitan gambar Aleesya. Pelbagai spekulasi dikhabarkan dan paling utama mengatakan gambar yang dimainkan media adalah Aleesya, tidak kurang juga yang menidakkan.

Erra pening memikirkan hal itu kerana tidak pernah menjangkakan hal itu. Dia menghormati tugas media, tetapi tidak terlintas sampai begini jadinya.

“Pertama, Erra hairan kerana isu gambar Aleesya tidak perlu diperbesarkan. Erra bukan nak sorokkan daripada orang ramai, cuma minta masa sedikit. Sabarlah sebab Erra janji akan bawakan Aleesya masa cukur jambul.

“Banyak hati perlu dijaga. Selain media, Erra perlu fikirkan keluarga Emran dan Erra. Tidak terniat pun nak sorokkan anak, malah Erra mahu kongsi kegembiraan ini dengan rakan dan peminat.

“Bukan mudah nak puaskan hati semua pihak, tetapi setakat ini yang terbaik mampu Erra lakukan,” katanya yang mengadakan majlis cukur jambul di Restoran Puteri, Sungai Penchala, semalam, lokasi sama mereka diijabkabulkan pada 25 Oktober 2007.

Ceritanya, dia tidak pernah membuat penafian yang gambar di media baik akhbar mahupun laman sesawang itu gambar Aleesya atau sebaliknya. Dia tidak cam wajah Aleesya waktu berumur sehari, tetapi berlainan dengan yang dirakamnya pada esoknya.

“Entahlah, Erra pun tak sempat tengok lama sebab jururawat perlu alihkan Aleesya ke bilik bayi. Keluarga kami pun tak sempat rakam. Cuma esoknya kami rakam,” katanya sambil menunjukkan rakaman itu melalui telefon bimbitnya.

Seperti juga visual yang dipaparkan dalam Selebriti hari ini, ia adalah ihsan daripada program Gugu Gaga Erra — Astro yang dirakam baru-baru ini. Program berkonsepkan realiti ini berdasarkan kehidupan baru Erra sebagai ibu.

Biarkan kebahagiaan ini mereka lalui penuh makna. Usah dicalarkan kemanisan itu hanya kerana ‘perang’ yang tidak sepatutnya berlaku.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: