Skip to content

Yasmin bukan 18SX

31 May, 2009

Namun jauh di lubuk jiwanya, perasaan gementar dan takut bercampur baur. Masakan tidak, pertama kali menggalas peranan utama, Yasmin perlu memegang watak wanita ‘jalang’. Beraksi di adegan ranjang, dipeluk dan dirangkul, malah turut dirogol lelaki bernafsu buas, bukan sesuatu yang mudah baginya.

KETIKA ditawarkan beraksi di layar lebar menerusi filem Taubat Jalang, hati kecilnya berlagu riang. Sebagai pelakon baru, dia tidak menyangka diberi peluang memegang watak Maria sebagai teraju utama filem itu.

Mula memainkan watak Maria, Yasmin atau nama sebenarnya Yasmin Khanif tidak langsung terfikir mengenai populariti atau soal kontroversi. Bagaimanapun, lakonannya mula dikritik apabila Yasmin dikatakan berani memainkan peranan berkenaan.

Akui Yasmin, sebagai pelakon baru, dia tidak mahu memilih watak. Baginya, biar dia mengutip pengalaman dan mencuba sesuatu yang baru.

“Sejak mula berlakon filem ini, saya tidak langsung terfikir mengenai populariti mahupun kontroversi. Cuma apa yang terlintas, mampukah saya membawa watak sebegini. Ketika melihat skrip yang diberi, saya rasa takut untuk mencubanya.

“Terus terang saya katakan, Maria adalah watak yang mencabar. Malah, tawaran membintangi filem ini saya terima kerana menyukai jalan ceritanya. Ia mengisahkan seorang wanita yang mahu keluar daripada kehidupan hitamnya dan kembali ke pangkal jalan.

“Walaupun ada adegan yang boleh dikategorikan sebagai 18SX dan 18PL, ia tidak terlalu terlampau. Kebanyakannya dilakukan menggunakan teknik kamera. Malah, semua itu membawa mesej untuk cerita ini.

“Filem ini menerapkan unsur kesedaran dan adegan panas dipaparkan itu sekadar sokongan untuk keseluruhan jalan cerita, sekali gus memberi gambaran kehidupan lampau Maria.

“Saya harap, penonton akan menilai soal moral yang cuba dipaparkan cerita ini daripada mempersoalkan lakonan saya,” katanya.

Tambah Yasmin, dia malu apabila perlu melakukan watak negatif berkenaan. Namun sebagai pelakon, semua itu terpaksa diharunginya. Malah, yang lebih mencabar adalah ketika menjayakan babak Maria dirogol oleh pengawal keselamatan.

“Adegan ranjang tidak terlalu sukar kerana penggambaran itu dilakukan berasingan dengan pelakon lelaki. Namun, ketika tiba pada babak Maria dirogol, saya perlu melakukannya bersungguh-sungguh.

“Dipukul, ditampar, disepak dan dibaling dilakukan dengan betul. Tiada lagi ‘camera trick’, malah babak itu terpaksa dilakukan berulang kali kerana saya gagal menjiwainya,” katanya.

Selain Yasmin, filem arahan Nazir Jamaludin ini dibintangi Ridzuan Hashim, Hairee Othman, Kuswadinata, Yang Kassim, Maria Faridah, Helmi Husaini, Faizal Hussein, Amy Lateef S Roomai Nor dan Roslan Saleh.

Belumpun mula tayangannya, Yasmin diikat De’baron Production untuk sekuel filem ini. Katanya, syarikat penerbitan filem itu bakal merakam sekuel berkenaan secepat mungkin.

“Penggambaran untuk sekuel itu akan dilakukan dalam masa terdekat ini dan pihak produksi masih menunggu skrip untuk filem berkenaan. Selepas itu, penggambaran untuk sambungannya pula akan diadakan.

“Bagaimanapun, saya tidak akan memegang watak ‘jalang’ itu lagi. Cukuplah pengalaman dan impak yang saya terima menerusi lakonan pertama berkenaan. Untuk sambungannya pula, karektor Maria akan membawa watak berbeza,” katanya.

Mengungkap pengalamannya sebagai pelakon, Yasmin yang memulakan kerjayanya dalam bidang peragaan dan komersial tersentak dengan kehidupan anak seni bergelar pelakon.

Akuinya, ketika mula-mula menjejakkan kaki dalam bidang ini, dia diuji dengan 1,001 pengalaman menyakitkan. Ajakan menemani pengarah dan penerbit dan dijanjikan watak besar dalam filem mahupun drama menjadi antara sejarah hitam buatnya.

“Sejak mula berlakon setahun lalu, pelbagai dugaan perlu saya harungi. Namun, paling menyakitkan apabila ada segelintir pengarah dan penerbit cuba menggoda saya, malah menjanjikan watak ‘heroin’ dalam produksi terbitan mereka.

“Malah, tidak kurang juga yang bergelar Datuk dan golongan VIP menawarkan sejumlah wang, asalkan saya sanggup menemani mereka.

“Namun Alhamdulillah, saya dapat mengelak menjadi mangsa mereka hanya kerana mahu mengecapi kejayaan dengan jalan mudah. Biar saya merangkak demi kejayaan, asalkan maruah diri terpelihara,” katanya yang fobia dengan pengalaman berkenaan.

Jelas Yasmin, selepas setahun di dalam industri seni, dia mula mengenali hitam putih kehidupan anak seni. Malah, bukan semua pengarah dan penerbit berperangai jijik seperti mana yang pernah dilakukan ke atasnya.

“Memang dari dulu, saya menganggap dunia hiburan adalah satu dunia kotor. Sebagai pelakon yang baru hendak melangkah tanpa pengalaman, kejadian itu memberi impak besar kepada saya.

“Begitupun, kini saya sedar tidak semua penggiat seni ini mahu mengambil kesempatan. Malah, ramai antara mereka jujur dalam kerja masing-masing. Sebagai pelakon, saya perlu pandai membawa hala tuju kehidupan sendiri,” katanya.

>Profil
NAMA: Rosyasmin Mohd Khanif

LAHIR: 29 November 1988 di Kuala Lumpur

FILEM: Taubat Jalang

DRAMA: Villa Maya dan Mataku Nampak Hantu

KOMERSIAL: Nescafe dan VIP (Pakistan), Dubai Tower, Head And Shoulder
(Arab Saudi), Petronas dan Bank Muamalat

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: