Skip to content

Dayang yakin strategi

1 June, 2009

Berbeza dengan penampilan sebelum ini, Dayang mencipta kelainan menerusi album baru, Luka yang berada di pasaran sejak dua bulan lalu.

BAKAT yang dimiliki Dayang Nurfaizah Awang Dowty sukar disangkal apabila penyanyi yang berasal dari Kuching, Sarawak ini mampu menyampaikan lagu Melayu dan Inggeris dengan baik.

Menariknya, album kesembilan itu dijual bersama novel pertama karya Tris Zainol Abidin hanya boleh dibeli menerusi laman web, http://www.luka.com. Album itu yang memuatkan single dalam dua versi iaitu Luka dan Losing Me ciptaan Tris, dilancarkan di Belum Rainforest Resort di Pulau Banding, Perak. Lebih bermakna, pada majlis itu Dayang dilantik sebagai duta pemuliharaan dan pengekalan alam semula jadi bagi Yayasan Pulau Banding dan Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah.

Kata Dayang, sambutan peminat pada album dan novel itu yang dijual secara pakej masih menggalakkan. Biarpun kebanyakan artis belum yakin dengan pasaran jualan album sebaliknya dia percaya strategi pakej ini mampu menarik perhatian peminat untuk membeli.

“Buat masa ini, saya masih terbabit dengan aktiviti promosi album berkenaan. Sebelum ini, ada juga peminat yang bertanya bagaimana cara mudah untuk memiliki album istimewa ini dan keliru sama ada kedua-dua produk ini dijual berasingan. Bagaimanapun, mereka masih boleh mendapatkannya menerusi laman web pada harga RM29.

“Setakat ini, peminat masih boleh terima konsep album ini yang dijual bersama novel. Namun, saya percaya ada segelintir peminat yang ambil masa untuk menerima konsep album sebegini.

“Pada saya, kehadiran album ini memberi tarikan tersendiri. Peminat bukan hanya membaca novel, mereka juga boleh mendengar lagu baru saya. Mengenai novel, ia mengetengahkan kisah cinta tiga segi antara tiga remaja iaitu jejaka bernama Luka bersama dua gadis, Rika dan Alia.

“Kata Tris sebelum ini, antara watak Rika dan Alia, ia mempunyai persamaan dengan perwatakan saya. Untuk ketahui jawapan sebenar, peminat perlu membaca novel ini dan saya fikir, peminat boleh teka yang mana satu watak saya,” katanya.

Perkembangan lain, Dayang menyatakan dia kini dalam perancangan membuat persediaan untuk persembahan solo sempena hari jadinya ke-28 yang akan disambut pada 20 Julai nanti. Menjadi kelaziman setiap tahun, Dayang sering mengadakan sambutan hari jadi pada setiap tahun bersama peminat. Jika sebelum ini, Dayang memilih Planet Hollywood, Kuala Lumpur sebagai lokasi ‘wajib’, kali ini dia mengambil lokasi baru di Hard Rock Cafe.

“Persembahan itu nanti dijangka berlangsung hampir dua jam bermula 11 malam dan saya akan menyanyikan 13 lagu tidak termasuk beberapa lagu medley. Saya juga berhasrat menyanyikan lagu penyanyi lain pada malam itu, ia menjadi kejutan buat peminat saya yang hadir.

“Saya merancang menjemput peminat saya dari luar Kuala Lumpur untuk berhibur bersama. Kali ini, mereka boleh datang pada hari berkenaan tanpa perlu membuat tempahan. Kehadiran peminat pada majlis sambutan hari jadi saya ini suatu bermakna dan saya mahu ia meninggalkan kenangan manis buat saya bersama peminat,” katanya.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: