Skip to content

Usah perbesar ‘cinta’ kami

1 June, 2009

Hubungan cinta yang berlaku antara mereka bukanlah realiti, tetapi kehendak watak Nik dan Aina menerusi drama 26 episod terbitan KRU, Bionik. Walaupun sekadar lakonan, ia bukan perkara asing andai mereka benar-benar bercinta kerana sebelum ini, beberapa pelakon lain juga pernah terjebak dengan ‘cinta lokasi’.

BIARPUN pertama kali dipertemukan di lokasi penggambaran, dua pelakon baru yang makin mencipta nama, Intan Ladyana, 27, dan Kamal Adli, 23, tiada masalah menjalin kemesraan dan meluahkan perasaan cinta untuk menjayakan watak diserahkan.


Malah kemesraan Intan dan Kamal juga mula disedari media. Menerusi ruangan Soseh-Soseh pada 30 April lalu, Intan yang baru putus cinta dengan model dan pakar kesihatan, Kevin Zahri, dikatakan menemui cinta baru. Sambil merujuk kepada Kamal, hubungan mereka menjadi akrab selepas terbabit sama menjayakan Bionik.

Antara Intan dengan Kamal, mereka tidak menafikan hubungan mereka akrab sejak menjalani penggambaran drama itu selama empat bulan.

Kata Kamal, ketika mula berlakon, dia sukar menyesuaikan diri dengan Intan kerana mereka tidak mengenali secara rapat sebelum ini. Bagaimanapun, hubungan mereka menjadi mesra selepas berlakon sama dalam drama ini.

“Pada mula, saya ingat dia berlagak dan sombong. Takut juga apabila mahu ajak dia berlatih sama, tetapi selepas kami mula berlakon, hubungan kami menjadi mesra.

“Tidak dinafikan, hubungan kami memang rapat malah kami juga mesra dengan semua pelakon lain dan kru produksi drama ini seperti satu keluarga.

“Bayangkan kami menghabiskan masa penggambaran panjang selama empat bulan dan kami banyak menghabiskan masa bersama di lokasi. Sepanjang kami berkawan, saya dengan dia tidak pernah keluar berdua melainkan kami keluar beramai-ramai.

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana cerita kononnya kami bercinta boleh muncul. Apa yang saya hairan, penggambaran drama Bionik berakhir Februari lalu tetapi selepas saya dan Intan kembali dari acara Jomheboh di Lumut, Perak baru-baru ini, hubungan kami mula dijadikan cerita sensasi.

“Ada segelintir pihak menyalahkan saya apabila rapat dengan Intan yang baru putus cinta. Terus terang, sejak berkawan dengan dia, saya tidak pernah tanya soal peribadi dia termasuk hubungan dengan bekas kekasihnya.

“Apa yang saya lakukan adalah bersikap profesional di lokasi penggambaran. Saya tidak kisah dengan apa orang hendak kata kerana tahu apa yang saya lakukan,” katanya.

Di sebalik cerita cinta antara mereka yang menarik perhatian khalayak, Kamal yang mula dikenali menerusi drama Impian Sunsilk dan Renjis 2 mengakui hubungan cinta sebenar dia dengan kekasihnya mula terjejas.

Katanya, kekasihnya yang juga pengacara satu program popular terguris hati mendengar cerita sebegini.

“Kami sudah bercinta selama empat tahun, tetapi apabila muncul cerita daripada orang lain, hubungan kami dilanda masalah. Saya sudah jelaskan kepadanya mengenai hubungan sebenar dengan Intan, tetapi saya tidak tahu lagi apa yang perlu katakan untuk menjernihkan semula hubungan kami.

“Saya fikir mungkin kerana saya terbabit dengan bidang hiburan, hubungan kami berdepan masalah. Buat masa ini, saya masih berhubung dengannya tetapi saya fikir, jika saya terus bersamanya mungkin akan menyeksa dirinya. Bagaimanapun, saya harus terima cabaran sebagai pelakon.

“Saya tidak menyesal kerana memilih bidang glamor ini. Mungkin benar kata orang, jika kita mahu capai sesuatu impian kita harus melakukan pengorbanan. Saya tidak mahu salah mana-mana pihak mengenai hubungan kami, tetapi saya berharap masih ada harapan untuk satukan semula cinta kami,” katanya.

Mengenai lakonan sebagai Nik yang mempunyai kekuatan bionik seperti melompat tinggi dan berlari pantas, Kamal akui pengalaman yang ditimba menyeronokkan. Katanya, dia sukar menyesuaikan diri pada mulanya kerana perlu memahami sikap lelaki bionik yang perlu menjaga postur badan dan pergerakan.

“Watak saya turut bermain emosi yang memerlukan banyak menangis. Watak saya masih mempunyai emosi seperti manusia biasa. Saya sangat teruja berlakon drama ini.

“Ketika KRU memberikan tawaran ini, mereka tidak jelaskan apa watak saya. Bagaimanapun, saya tidak fikir panjang untuk bersetuju kerana saya memang kagum dengan hasil kerja KRU. Saya sendiri suka cerita aksi seperti bionik dan menganggap ini adalah peluang keemasan untuk menyerlah bakat diri,” katanya.

Bagi Intan atau nama sebenar, Intan Nurladyana Mohamad Yahaya, dia juga seronok melakonkan watak Aina yang menjadi mangsa culik hingga diselamatkan Nik. Seperti Kamal, dia juga berdepan masalah menyesuaikan diri dengan pasangannya apatah lagi mereka perlu membawakan perasaan cinta.

“Memang pada mula, ada canggung ketika kami berlakon sama. Sebelum ini, kami tidak kenal antara satu sama lain hingga seminggu selepas berlakon, baru kami rapat dan mesra.

“Untuk mendapat penghayatan mendalam, penting untuk kami berlatih sama. Walaupun watak saya kurang cabaran, saya tetap seronok dengan pengalaman berlakon dalam drama ini.

“Saya juga tidak nafikan hubungan saya dengan Kamal menjadi rapat selepas kami berlakon sama. Bagaimanapun, kami bukan bercinta seperti diperkatakan dan berharap cerita ‘cinta’ kami tidak diperbesarkan.

“Selepas ini, saya bercadang untuk berehat seketika dari lakonan. Mungkin saya ambil masa hingga dua bulan untuk berehat selepas sibuk dengan komitmen berlakon sebelum ini,” katanya yang mula mendapat perhatian selepas menjayakan filem Jangan Pandang Belakang.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: