Skip to content

50,000 banjiri Konsert Zoom! Malaysia

2 June, 2009

LUAR biasa! Begitulah hebatnya apabila hampir 50,000 pengunjung menyerbu konsert khas sempena Zoom! Malaysia Travel Fair 2009 di East Coast Mall, Kuantan, minggu lalu. Selepas Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, tiba giliran Pahang mempromosikan kempen Pelancongan Domestik Zoom! Malaysia bagi memudahkan orang ramai membeli pakej pelancongan domestik dengan harga berbaloi.

Persembahan artis tanah air menjadi daya tarikan utama dengan acara dihoskan Helmi The Gimmik dan Roslan Shah secara bergilir jelas menghangatkan lagi suasana apabila Jamal Abdillah, Ramlah Ram dan Saleem tampil dengan lagu popular masing-masing. Tidak ketinggalan, artis muda lain yang turut tampil menghiburkan peminat seperti Mila, Stacy, Amylea, Farah dan Tomok.

Peminat setia kumpulan Bunkface pula sudah tentu puas apabila dapat bertentang mata dengan kumpulan indie yang sedang mencipta nama. Malah hujan yang membasahi bumi Kuantan sepanjang tiga hari itu sedikit pun menjejaskan acara yang berlangsung.

Sejajar peranan Zoom Malaysia Travel Fair 2009 yang memberi fokus kepada aktiviti percutian terancang, gerai jualan diselia pelbagai ejen pelancongan turut mendapat ‘durian runtuh’ sepanjang acara yang berlangsung selama tiga hari itu.

Juara Akademi Fantasia musim keenam, Stacy membuka tirai acara pada hari pertama dengan menyampaikan lagu popularnya, Aku Stacy dan Gagap. Sudah tentu kemunculan Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah antaranya yang dinantikan. Bagai terpaku seketika apabila Jamal mendendangkan Aku Penghiburmu, Apa Lagi, Tak Hilang Cinta dan Gadis Melayu.

Suasana makin ceria apabila pengunjung tidak pulang dengan tangan kosong apabila turut menyertai kuiz yang diadakan. Helmi dan Roslan membuatkan suasana bertambah riuh dengan telatah dan usikan mereka, membuatkan pengunjung tidak berganjak hingga jam 10 malam.

Acara hari kedua diteruskan persembahan finalis Raja Lawak, Along dan Angah yang mencuit hati. Gelagat bersahaja mereka berjaya menghidupkan suasana sepanjang hari. Selain Farah (Akademi Fantasia 2), jutawan segera, Tomok pula tampil menghiburkan penonton dengan lagu Ingin Bersamamu, Sejarah Mungkin Berulang, La La La Kerjalah dan Rindu Terhenti.

Persembahan hari ketiga membabitkan artis yang mendendangkan irama jazz, dangdut dan pop rock iaitu Amylea, Mila, Ifa Raziah, Saleem, Ramlah dan Bunkface. Acara bermula dengan persembahan Amylea untuk lagu Aku Dan Mimpi, Sinderella dan Luar Biasa, diikuti Mila menerusi Persis Mutiara dan Aku Lebih Tahu.

Walaupun terlewat sampai apabila kereta dipandu seorang rakan terbabas, Mila tetap ceria dan mesra melayan peminatnya.

“Alhamdullilah, saya tak alami apa-apa kecederaan tetapi kereta saya rosak teruk selepas terbabas kerana mengelak seekor monyet. Cuma saya masih trauma dengan apa yang berlaku. Saya terpaksa pulang ke Kuala Lumpur dengan menumpang rakan artis lain kerana kereta saya perlu dibaiki di Kuantan,” katanya.

Acara seterusnya semakin panas apabila penyanyi dangdut, Ifa Raziah muncul menyampaikan lagu Ketahuan dan Panas. Saleem pula masih lagi mempertahankan popularitinya apabila kehadirannya mendendangkan lagu Blues Terengganu Kita menjadi perhatian. Begitu juga juara Bintang RTM 1986, Ramlah Ram. Lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu, Diam Diam Jatuh Cinta dan Ketentuan masih menjadi perhatian biarpun Ramlah sekejap tenggelam, sekejap timbul.

Sebagai penutup acara, kumpulan indie yang makin mendapat tempat di hati peminat, Bunkface muncul menyampaikan lagu Bunk & Encham, Revolusi, Hilly Lilly dan tak lupa, lagu popularnya, Situasi.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi & Publisiti, Kementerian Pelancongan Malaysia, Wan Zawawi Mohamed berkata, selain kehadiran artis popular, pentas sama turut meriah dengan persembahan kebudayaan Pahang, Terengganu dan Kelantan. Turut dipamerkan promosi tenunan Pahang, ukiran tembaga, anyaman mengkuang, pertandingan mewarna kanak-kanak dan cabutan bertuah.

Katanya, 72 gerai pelbagai agensi pelancongan seperti hotel, resort, syarikat pengangkutan dan pengusaha produk pelancongan domestik mengambil bahagian menjayakan promosi itu, selain program anjuran Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan itu akan meneruskan siri promosi ke Kuching pada penghujung Julai ini dan berakhir di Johor Bahru pada November.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: