Skip to content

Heliza teringin untuk bercinta

2 June, 2009

KELETIHAN melampau memerangi waktu menjana masa depan di menara gading, selain memenuhi tuntutan kerjaya seni, Heliza akhirnya menemui ‘noktah sementara’ apabila dia kini bercuti selama sebulan sebaik selesai peperiksaan akhir semester lima pengajiannya di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Tamat peperiksaan, dia bergegas pulang ke Kuala Lumpur untuk ‘misi’ AJL23, namun usahanya berbaloi apabila berjaya melangkah ke peringkat akhir.


Dalam keghairahannya memahat nama di pentas seni, Heliza tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai pelajar yang menjadi harapan keluarga untuk membina masa depan lebih cemerlang. Bukan seperti segelintir artis yang berstatus pelajar, apabila diri semakin dimamah populariti, glamor, mereka semakin alpa, lebih parah apabila seni dan pelajaran terkandas di tengah jalan, akhirnya sekadar menjadi artis tempelan di majalah hiburan!

Tidak keterlaluan jika melabel Heliza sebenarnya tamak, dia ingin berjaya di kedua-dua bidang sekali gus – seni dan pelajaran. Namun, tamak Heliza adalah sesuatu yang wajar kerana kejayaan yang diperoleh setakat ini sudah cukup untuk membuktikan kesungguhannya selepas bergelar bintang AF. Dia tidak tenggelam seperti sesetengah rakan seperjuangannya, namun terus mendapat tempat di hati peminat.

Pun begitu, usaha Heliza untuk berjaya di arena seni dan pendidikan, memerlukan pengorbanan yang bukan kepalang. Usia muda Heliza tidak seperti remaja seusianya yang punya banyak waktu bersama rakan sebaya, malam minggu pula sempat berhibur, namun bagi Heliza dia perlu menghafal 15 lirik lagu, menghayati senaskah skrip filem dan dalam masa sama mentelaah timbunan nota pelajaran. Bayangkan bagaimana otak Heliza bekerja!

“Dalam keadaan kesihatan saya yang tak menentu apabila disahkan menghidap hyperhidrosis (perpeluhan melampau), memang tak dinafikan, setiap apa yang saya lakukan – menyanyi, mengacara, berlakon atau belajar, ada kalanya mendatangkan keadaan tidak selesa apabila tangan dan kaki sentiasa berpeluh, sampai satu tahap peluh yang keluar umpama air menitis, lebih-lebih lagi apabila saya berada dalam keadaan tertekan.

“Setakat ini, penyakit saya tiada ubatnya, justeru inilah dugaan Tuhan dan cabaran yang perlu saya tempuhi. Membuat lebih satu kerja dalam satu masa, memang meletihkan. Kepenatan saya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Fikiran pula berubah sekelip mata, sekejap sebagai penyanyi dan pelakon, sekejap lagi menjadi pelajar apabila teringat nota dan jurnal yang belum dibaca dan dihafal.

“Kehidupan harian saya sentiasa terkejar-kejar. Maklum sajalah, saya belajar di Sabah, manakala undangan nyanyian lazimnya di Semenanjung. Mungkin satu kebetulan, aktiviti seni saya datang apabila sudah hampir dengan peperiksaan. Bayangkan ketika study week baru-baru ini, orang lain sibuk mentelaah pelajaran, saya pula perlu ke Kuala Lumpur menjayakan proses dubbing filem Syurga Cinta, selain undangan nyanyian di Terengganu selama tiga hari berturut-turut!

Telaah pelajaran dalam penerbangan

“Saya pula hanya ada masa baca buku di dalam kapal terbang atau ketika menunggu bagasi di lapangan terbang, di belakang pentas sementara menunggu giliran menyanyi, mahupun di dalam kereta ketika dalam perjalanan ke destinasi pertunjukan pentas. Begitu juga dengan waktu tidur terpaksa saya korbankan.

“Saya hanya tidur jam 5 pagi selepas selesai mengulangkaji pelajaran dan bangun semula dua jam kemudian untuk persediaan ke kelas. Begitulah rutin saya setiap hari sehingga saya susah nak tidur awal setiap malam sekalipun waktu cuti semester. Namun, inilah pengorbanan yang perlu saya lakukan untuk memastikan seni dan pelajaran berjalan seiring menuju kejayaan,” kata Heliza yang semakin manis dengan imej bertudung.

Haliza berduet bersama Mawi dalam Muzik-Muzik ke-23.

Esok, seluruh umat Islam akan menyambut Hari Raya Korban dengan penuh rasa keinsafan dan kesyukuran. Bagi Heliza, Aidiladha sungguh bermakna bagi dirinya yang acap kali merelakan pengorbanan demi menggapai cita-citanya supaya menjadi kenyataan.

Pengorbanan untuk segulung ijazah

“Terlalu banyak pengorbanan yang perlu saya lakukan untuk menggenggam segulung ijazah dan dalam waktu sama membuktikan saya boleh berjaya di arena seni suara, lakonan dan pengacaraan. Falsafah saya mudah, untuk mencapai kejayaan dalam hidup, pengorbanan memang tidak dapat dipisahkan. Justeru, Aidiladha membuat saya bersyukur, betapa besarnya erti sebuah pengorbanan,” tambah Heliza.

Bagaimana pula dengan cinta dan kekasih, adakah Heliza punya buah hati yang boleh dijadikan sumber inspirasi dalam mengejar cita-cita?

“Mencintai diri sendiri pun belum sepenuhnya, inikan pula memberi cinta saya kepada orang lain, memang saya tak mampu. Terus-terang, saya belum bersedia dengan cinta seorang lelaki kerana apabila kita bercinta, biarlah dengan sepenuh hati, bukannya sekadar melepas batuk di tangga apabila terperangkap dengan batasan waktu yang tidak mengizinkan kita mentaati cinta sejati.

“Tapi, jika cinta itu hadir juga, saya tidak pernah mencari alasan untuk menolaknya. Berdasarkan pengalaman kawan-kawan yang bercinta, khabarnya berada di alam percintaan, ia menyeronokkan. Justeru, saya memang teruja untuk bercinta, tapi biarlah rasa cinta itu hadir tanpa paksaan. Paling penting, cinta tidak mengganggu cita-cita saya,” jelas Heliza mengakhiri bicara.

PROFIL: Heliza

NAMA PENUH: Nur Heliza Helmi

TARIKH LAHIR: 3 Februari 1986

ASAL: Kuala Terengganu, Terengganu

KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik

PENDIDIKAN: Tahun tiga, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Dengan Sains, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, Sabah

PENCAPAIAN: Tempat keempat, Akademi Fantasia 5 (AF5) pada 2007

SINGLE: Warna Sendu Tarian Jiwaku (working title) dan Bila (working title)

FILEM: Syurga Cinta, dijangka tayang Februari 2009

PROGRAM TV: Sinar Korea Bersama Mawi & Heliza (Astro Oasis)

PERTANDINGAN: Finalis kategori Etnik Kreatif, Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) menerusi Doa Dalam Lagu, duet bersama Mawi AF3 pada 18 Januari depan.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: