Skip to content

Menyelami rentak alam, jiwa M Nasir

2 June, 2009

NOVELIS berbangsa Brazil, Paulo Coelho, menulis di dalam bukunya The Witch of Portobello: “Apabila sesebuah teks suci ditulis, ia mengandungi jiwa penulisnya yang menjadi instrumen untuk menyebarkannya ke seluruh dunia. Hakikat ini bukan saja benar bagi teks suci, tetapi bagi setiap ayat yang kita lakarkan pada kertas. Kerana tangan yang melakar setiap kata, menjadi cermin kepada jiwa si penulis.”

Jika tulisan Coelho, spiritualis yang juga penulis lirik lagu terkenal di negaranya itu benar, maka menerusi konsert Alam Muzik M Nasir selama tiga malam berturut-turut di Istana Budaya, M Nasir mendedahkan jiwanya – apa yang tersurat dan tersirat sepanjang 30 tahun bergelumang dalam dunia seni.

Jiwanya menggambarkan rasa dunia Melayu yang penuh lara, penuh mimpi panjang, permusuhan dan kesumat yang dalam tetapi juga penuh rentak, berisi kasih yang tersemat, penuh menungan yang melankolik. Rasa dunia Melayu Nusantara juga penuh falsafah, sindiran dan kiasan walau turut sarat dengan angan dan khayalan, didorong oleh detak detik gong dan gendang.

M Nasir mendedahkan gelodak jiwanya yang ada ketikanya pesimis dengan rentak Melayu tetapi tetap juga bersulam humor – mempersenda diri sendiri, mampu tertawa walau ‘hidup bagai roller coaster, susah dan senang bersilih ganti” seperti sebahagian lirik lagu Apokalips dalam Saudagar Mimpi (1992).

Tiga malam peminat M Nasir, yang menurut katanya sendiri – marhain atau cendekiawan, hartawan atau bangsawan – melepaskan dahaga hampir sembilan tahun tidak minum dari cangkir jiwa yang berentak Melayu bersalut falsafah hidup yang mudah seperti lirik Apokapils – ‘Satu Dua Tiga… Do Re Mi, apa nak jadi, alif ba ta A B C, apa nak jadi, akan terjadi hujan pasti berhenti’.

Alam Muzik pada malam ketiga bermula Di Sebalik Cermin Mimpi (album Saudagar Mimpi – 1992) dengan bantuan grafik komputer pada lukisan si gadis yang merengkok dengan mimpinya sendiri, bibirnya mengikut alunan suara M Nasir dalam kegelapan. Sebenarnya, dari kaca mata seorang peminat yang boleh saja menutup mata dan mendengar raungan terus dari jiwa seniman ini, props dan pantomin tidak perlu dalam persembahan M Nasir, namun itulah jiwanya yang kompleks.

Dia harus juga mahu menzahirkan ilham secara abstrak, biarpun pernyataannya secara mudah sampai lebih dekat kepada rasa khalayak. Pada konsert Akar, misalnya, figurin berselimut merah dan perarakan simbolik mengisi acara.

Konsep bagi Alam Muzik adalah ilham M Nasir sendiri manakala Ali Bakar bertindak sebagai penerbit dan pengarah. Barisan penggerak konsert termasuk pemuzik adalah ‘sifu’ dalam bidang masing-masing, pantas saja mentafsir setiap pergerakan ‘kepala sifu’ yang seperti biasa, berinteraksi dengan khalayak seperlunya saja. Tidak kurang dan tidak lebih. Kerana bahasa komunikasi M Nasir adalah suara jiwa dalam lagunya.

Malah, pengalaman lalu menunjukkan M Nasir yang terlebih bicara cenderung untuk tergigit lidahnya sendiri! Penari latar berkostum Sunda/Jawa mengubah definisi lazim seksi, satu lagi petanda humor sinis seniman ini. Ya, mengapa tidak? Penari latar tidak semestinya berpinggang kerengga untuk mentafsir gerak dan rentak.

Usaha Ali membawa M Nasir ke Istana Budaya harus dipuji jika persembahan di Panggung Sari adalah ukuran kepada status teratas pengamal seni tanah air. Namun jiwa lagu M Nasir adalah pernyataan rasa si marhain. Ia laungan rasa anak muda yang mungkin berteleku di wakaf ketika malam bulan mengambang, mengutuk hidup yang ‘menghumbankanku ke penjara ini, adakah bentuk emansipasiku, merupakan sebuah pusara’ – petikan lagu Balada Seorang Teman dari album Sang Pencinta (2007).

Di kerusi empuk Panggung Sari, si marhain ini awalnya kekok untuk menyahut panggilan rebana yang bergetar hampir dengan jantungnya. Mereka diam di samping cendekiawan dan bangsawan yang turut jatuh cinta dengan alam jiwa M Nasir selepas dia bergelar sifu. Yang bergelar peminat pasca Canggong Mendonan pula tidak begitu akrab dengan lagu dari album Solo (1989) seperti Rajawali Terbang Tinggi, Sayembara Hidup atau Mustika.

Hanya apabila M Nasir memulakan lagu popular Raikan Cinta (Phoenix Bangkit – 2001) si marhain dan khalayak muda kota melemparkan rasa canggung ke awan dan bangkit menyahut rentaknya. Bagai gerak tari sufi yang mempunyai rhythm tersendiri. Mulai saat itu hingga jam 11 malam dan berlarutan setengah jam lagi selepas itu apabila khalayak tidak mahu berganjak dari tempat duduk meskipun disuruh pulang, rasa dan rentak bersatu dalam meraikan irama yang tidak syak lagi berjiwa Melayu.

Kerana seperti kata Sasterawan Negara Datuk Dr Usman Awang menerusi sajaknya berjudul Melayu:

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya

Jawa itu Melayu

Bugis itu Melayu

Banjar juga disebut Melayu

Minangkabau memang Melayu

Keturunan Acheh adalah Melayu

Jakun dan Sakai asli Melayu

Arab dan Pakistani, semua Melayu

Mamak dan Malbari serap ke Melayu

Malah muaalaf bertakrif Melayu

Jika rencana ini nadanya memuja, ia bukanlah memuja personaliti. M Nasir bagi saya hanya biasa-biasa. Tetapi gandingan suara jiwanya yang memahami psikik ‘lara’ bangsanya, apabila disatukan dengan lirik S Amin Shahab, arwah Loloq, Bob atau Nurbisa melahirkan sesuatu yang luar biasa. Dia memahami bahawa ‘di balik cermin, cermin mimpi, ada realiti yang tidak kita sedari, hanya keyakinan dapat merestui, hakikat cinta yang sejati.’

Penulis mendengar lagu Sentuhan Listrikmu beratus kali namun inilah kali pertama berasakan rohnya. Apabila M Nasir meminta penonton mengangkat tangan dan berasakan ‘kuingin sentuhanmu, kudamba sentuhanmu, tiada lain kuinginkan, hanyalah, hanyalah sentuhanmu’ mantera cinta berkumandang di Panggung Sari.

Dan ini benar, kerana sebuah mesej pesanan ringkas SMS yang diterima daripada sahabat yang sudah berkahwin 20 tahun memberitahu: “Kami tiba di rumah jam 2 pagi, menikmati asmara yang hangat, dicetus oleh Sentuhan Listrikmu!’

“Oh my God” luahan kata kata spontan seorang urban profesional di sebelah tempat duduk saya di Panggung Sari pad amalam itu, lantas bangkit menari joget, zapin atau rentak inang yang saya fikir tidak akan dibuatnya dalam kelab di Jalan Sultan Ismail. Dia pun mengenal cinta yang dilakar oleh jiwa Melayu M Nasir, walau tafsirannya mungkin berbeza.

Falsafah Cinta, lagu duet bersama Rahim Maarof dalam album Solo (1989) misalnya, mempertikai cinta yang ‘sesat di perjalanan’ apabila kerana cinta, bangsa sanggup berperang. Lagu cinta lain yang turut didendangkan malam itu termasuk Ada, Suatu Masa dan Tanya Sama Itu Hud Hud.

Jika alam rasa dan jiwa dalam lagunya menyentuh dua golongan, pasangan 40-an yang hampir lupa hangatnya sentuhan tangan cinta dan eksekutif 20-an yang menari zapin dengan jemari terangkat bersimbol rock, benarlah Alam Muzik M Nasir berjaya merentasi sempadan generasinya. Tersenyumlah Pak Dogol sambil berlanggam: ‘Langgam Dogol langgam keramat, bisik-bisik dalam kelambu, lagak bodoh tapi bersengat, sambil elak (bila ngelik ) dia main siku’.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: