Skip to content

Rozita tak kemaruk hadiah VIP

2 June, 2009
  • Mekap: Amy Janz (012-276 3600)
  • Busana: Koleksi Peribadi Rozita Che Wan
  • Lokasi: Teratak Rahmah, Lot 459-G, Kampung Kerdas 3, Batu 6 Gombak, Kuala Lumpur.MELIHAT pelakon dan model popular ini memandu kereta mewah, BMW 3 Series (M Sports), yang harganya dikatakan mencecah RM200,000, barangkali tentu ada pihak beranggapan ia pemberian istimewa daripada VIP tertentu yang menjadi buah hatinya.

    Timbul juga khabar angin baru-baru ini kononnya kereta mewah itu dihadiahkan seorang ahli perniagaan, yang juga suami kepada seorang penyanyi jelita hingga memaksa pasangan popular itu tampil menjelaskan isu berkenaan kepada media. Namun, memang sedap mulut orang mengata tanpa mempedulikan perasaan orang.Ramai tidak tahu bekas pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) ini yang juga seorang ibu tunggal terpaksa bekerja keras untuk mengecapi kemewahan hidup dengan memenuhi pelbagai tawaran berlakon hingga terpaksa mengorbankan masa bersama anak-anaknya dan keluarga.

    Itulah sebahagian cabaran hebat yang terpaksa ditempuh Rozita Che Wan, 35, sepanjang tiga tahun bergelar anak seni hingga berjaya menempatkan dirinya sebagai seorang dramatis disegani di Malaysia.

    Bagaimanapun, sepanjang penulis mengenali ibu kepada dua anak ini, beliau tidak mudah melenting setiap kali dilanda gosip liar, sebaliknya sentiasa tenang mengendalikan keadaan walaupun ada antara gosip itu mencabar maruahnya serta keluarga.

    “Inilah asam garam dunia artis. Apabila saya membuat keputusan menyertai bidang seni, saya perlu berani menghadapi apa saja kemungkinan. Yang penting, mesti ada kesabaran dan perlu bijak mengendalikan sesuatu isu atau keadaan,” katanya tenang.

    Bagaimanapun, ibu tunggal ini bersyukur kerana sepanjang pembabitannya dalam bidang lakonan, belum pernah beliau mengalami gosip yang boleh memusnahkan kerjaya dan kepercayaan masyarakat terhadap dirinya.

    “Alhamdulillah, kebanyakan gosip saya terkena sebelum cuma sekadar usikan saja. Kadang-kadang rasa mahu ketawa juga bila terbaca gosip dalam surat khabar. Terfikir juga bagaimana gosip sebegitu boleh keluar dan dapat tumpuan walaupun ada antara maklumatnya tidak betul.

    “Namun, saya tetap berhati-hati, malah seboleh-bolehnya mahu mengelak gosip kerana banyak hati dan perasaan perlu saya jaga, terutama anak-anak serta keluarga saya,” katanya yang baru selesai menjalani penggambaran telemovie terbarunya, Sebelum Sejadah Dibentang untuk siaran TV3.

    Rozita bagaimanapun mengakui mengenali usahawan yang dikaitkan dengannya itu, begitu juga isterinya tetapi hanya melalui media massa.

    “Ya, memang saya mengenali beliau tetapi hanya melalui media, malah tidak pernah bertemu seperti digosipkan. Itulah sebabnya saya hairan mengapa tidak semena-mena beliau dikaitkan dengan saya hingga timbul isu kononnya kereta BMW adalah pemberiannya. Ini yang saya sedih sangat sebab saya bekerja keras, pergi penggambaran siang malam dan berkorban masa dengan keluarga semata-mata mahu mencari rezeki halal untuk menyara hidup saya serta anak-anak,” katanya.

    katanya, pernah suatu ketika beliau terpaksa meninggalkan anak-anak selama 40 hari untuk menjalani penggambaran di luar Lembah Klang, sekali gus menunjukkan betapa besar pengorbanan yang terpaksa dilakukannya untuk menyara hidup mereka sekeluarga.

    “Mana tidak saya sedih bila tiba-tiba orang kata semua kesenangan yang kami peroleh ini hasil pemberian seseorang,” katanya yang baru-baru ini turut dilantik sebagai duta produk kecantikan, L�oreal.

    Usah pandang rendah kemampuan artis

    Rozita menjelaskan, kereta itu digunakannya sejak dua tahun lalu, yang dibeli hasil titik peluhnya sebagai pelakon, selain sedikit simpanan ketika bertugas sebagai pramugari dulu.

    “Itu sajalah kereta saya dan sudah lama pun ia digunakan. Kenapa baru sekarang timbul isu kereta itu dihadiahkan seseorang kepada saya. Kalau benarlah ia pemberian Tan Sri, Datuk atau mana-mana VIP pun, tidak perlulah saya pulun berlakon untuk membayar ansuran bulanannya.

    “Ini yang saya kesalkan. Mengapa golongan artis selalu dipandang rendah, seolah-olah kami tidak mampu hidup senang. Persepsi ini harus berubah kerana artis kita sekarang sudah boleh hidup senang. Jika tidak mewah sekalipun, hidup senang,” katanya.

    Bagaimanapun, Rozita mengakui bukan mudah bagi seseorang artis sepertinya untuk mengelakkan sebarang tohmahan, namun berharap masyarakat dapat membuka minda mereka dan menerima hakikat pendapatan sebagai artis setanding sektor pekerjaan profesional lain.

    “Tidak pernah saya mengharapkan apa-apa tajaan VIP. Tidak perlulah… saya masih berkemampuan untuk menyara hidup saya anak-beranak. Lagipun, bekas suami tidak pernah lupa tanggungjawabnya memberi nafkah anak-anak.

    “Ketika mula-mula menceburi bidang seni, nawaitu saya cuma satu iaitu mencari rezeki halal untuk kami sekeluarga. Alhamdulillah, rezeki saya murah sejak kebelakangan ini. Tawaran pun banyak, ada yang terpaksa ditolak sebab takut kalau tidak terkejar,” katanya.

    Akui masih belum berpunya

    Selain memiliki wajah cantik dan bentuk tubuh menawan, statusnya sebagai ibu tunggal turut menaikkan ‘saham’ wanita ini, sekali gus menarik tumpuan lelaki untuk cuba mendampinginya, bukan saja dari kalangan kenamaan, malah golongan marhain.

    Bagaimanapun, beliau mengakui masih belum bersedia untuk bercinta atau berkahwin semula, malah cukup selesa dengan statusnya sebagai ibu tunggal selepas berpisah dengan bekas suaminya, seorang juruterbang kanan MAS, lima tahun lalu.

    “Saya masih solo. Hati saya masih belum terbuka untuk berkahwin lagi, malah tidak terfikir langsung soal itu pun. Saya senang hidup begini. Cukuplah ada anak-anak untuk membahagiakan saya. Melihat mereka membesar sudah cukup menceriakan kehidupan saya,” katanya.

    Rozita turut memberitahu anak sulungnya, Ammar Effendy, 12, mencatatkan kejayaan cemerlang Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan memperoleh 5A dan beliau sedang berusaha menempatkannya anak lelakinya itu di sekolah berasrama penuh.

    “Bagi mana-mana ibu pun, apabila anak mereka berjaya dalam peperiksaan atau menamatkan pengajian mereka, itulah detik yang paling membanggakan. Saya menganggap kejayaan Ammar itu sebagai satu kejayaan peribadi.

    “Saya berjaya membuktikan pada diri sendiri bahawa saya boleh menjadi seorang ibu yang baik, yang boleh membimbing anak-anaknya ke arah kejayaan walaupun terpaksa berseorangan melakukan tugasan itu. Ini juga membuktikan anak-anak ibu tunggal boleh berjaya seperti anak orang lain,” katanya.

    Kepingin bawa watak jahat

    Sepanjang tiga tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, pelbagai watak sudah dilakonkannya, namun jauh di sudut hatinya, beliau begitu teringin membawakan watak jahat seperti ibu tiri kejam atau perempuan gila, sekali gus menguji kemampuan sebenarnya sebagai pelakon.

    “Lakonan saya sebelum ini kebanyakannya watak baik. Malah, watak baik itu seolah-olah sudah sinonim dengan Rozita Che Wan. Saya teringin benar membawakan watak jahat… jadi ibu tiri yang kejam atau perempuan gila.

    “Memang saya pernah berlakon watak ibu tiri tetapi ibu tiri yang baik. Saya ingin melihat diri saya… lakonan saya dalam watak jahat pula. Saya berharap ada yang sudi memberikan saya watak itu selepas ini,” katanya.

    Bila menonton televisyen, boleh dikatakan hampir keseluruhan saluran tv di negara ini dihiasi wajah model dan pelakon jelita ini, terutama menjelang musim perayaan, seolah-olah beliau adalah jelmaan aktor hebat, Rosyam Nor, yang ‘menguasai’ drama dan telefilem tempatan.

    Ini secara tidak langsung membuatkan orang ramai lupa bahawa Rozita juga turut aktif berlakon filem, malah beliau sudah muncul dalam enam filem setakat ini termasuk Misteri Balan Balan The Movie, Sepi, Dunia Baru The Movie, Kantoi, Jangan Tegur dan Sifu & Tonga.

    “Mungkin watak yang saya tidak begitu menonjol, menyebabkan ramai orang ingat lakonan saya lebih bertumpu kepada drama dan filem. Sebenarnya, saya pun sedang berdebar-debar menanti kemunculan dua filem saya, Jangan Tegur dan Sifu & Tonga tahun depan,” katanya.

    INFO: Rozita Che Wan

  • Nama Penuh: Rozita Che Wan
  • Asal: Alor Star, Kedah
  • Umur: 35 tahun
  • Keluarga: Anak Ke-2 (dari tujuh beradik)
  • Status Perkahwinan: Ibu Tunggal
  • Anak: Ammar Effendy, 12, dan Aniq Ezzra, 10
  • Profesion: Model, Duta Produk dan Pelakon
  • Pengalaman Kerjaya: Pramugari (Penerbangan Malaysia)
  • Produk: Rorine, Egyption Potion dan L’oreal
  • Drama Bersiri/Telemovie: Sesuci Cinta Sofia, Jelatang, Susuk 2, Ai Di Beijing, Bara Yang Ku Genggam, Diari Ramadan Raffique dan Ayyad
  • Filem: Misteri Balan Balan The Movie, Sepi, Dunia Baru The Movie, Kantoi, Jangan Tegur dan Sifu & Tonga
  • No comments yet

    Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: