Skip to content

Serbuk sewel kurus badan

2 June, 2009

KUALA LUMPUR: Bahagian Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan mengesan satu produk menguruskan badan yang boleh mendedahkan pengguna wanita kepada risiko gila berikutan penemuan bahan kimia berbahaya sibutramine atau digelar ‘serbuk sewel’.


Produk terbabit yang didakwa mampu membersihkan tubuh daripada toksik selain membakar lemak dikesan sengaja dicampur bahan kimia terlarang itu bagi memastikan pelanggan memperoleh perubahan pantas.

Dijual dengan harga lebih RM60 sekotak, ia berselindung di sebalik kandungan protein soya, beras dan ekstrak teh hijau untuk memperdaya pengguna yang membeli produk terbabit.

Jurucakap Bahagian Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan berkata, resipi sulit dalam produk melangsingkan tubuh itu dikesan selepas pihaknya menjalankan siasatan kandungannya, baru-baru ini.

Menurutnya, hasil ujian makmal di Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, produk berkenaan mengandungi kimia berbahaya sibutramine tanpa pengetahuan pengguna.

“Hasil ujian makmal itu, kami melakukan serbuan serentak jam 11.30 pagi semalam di pusat penjualan dan stokis syarikat yang dikesan menjual produk itu di ibu kota, Pahang, Selangor dan Terengganu sejak beberapa bulan lalu.

“Di ibu pejabat syarikat itu di sini lebih 1,700 kotak produk terbabit dirampas.

“Hasil serbuan sama, lebih 50 pegawai penguat kuasa farmasi terbabit dengan serbuan itu merampas 53 kotak di Pahang dan 43 kotak di Selangor.

“Semua produk yang dirampas dianggarkan bernilai lebih RM150,000. Sepanjang operasi terbabit, kami tidak mendapat sebarang tentangan,” katanya.

Berdasarkan siasatan, pihak pengedar produk terbabit mengelirukan pengguna apabila memberitahu kononnya kandungan serbuk menguruskan badan itu diperbuat daripada susu soya, beras, herba dan ekstrak teh hijau.

Beliau berkata, agak aneh apabila produk serbuk mengandungi kimia terlarang itu turut didakwa boleh menyembuhkan pelbagai sakit puan.

Jurucakap itu berkata, ubat yang mengandungi sibutramine hanya boleh dibekal doktor atau diperoleh daripada farmasi dengan preskripsi doktor kerana penggunaan tanpa pengawasan doktor tidak selamat.

Penggunaan ubat yang mengandungi sibutramine tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan serius seperti tekanan darah dan kesan kardiovaskular lain.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan mengingatkan penjualan, pemilikan untuk penjualan dan pengedaran produk itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1985.

Individu yang melakukan kesalahan mengikut peraturan itu boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: