Skip to content

‘Syuhadah, Heliza sebenarnya tak sama’- Syurga Cinta

2 June, 2009

SEORANG kelihatan macho, seorang lagi berperangai gila-gila. Sungguhpun memiliki perwatakan berbeza, nyata pelakon utama filem Syurga Cinta, Awal Ashaari dan Heliza memiliki keserasian di layar perak.

Awal dan Heliza digandingkan sebagai pasangan kekasih dalam filem Syurga Cinta arahan Ahmad Idham yang kini masih rancak ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 21 Mei lalu. Sehingga kini, filem berkenaan sudah mencapai kutipan lebih RM1 juta dalam tempoh seminggu di pawagam.

Syurga Cinta adalah filem ke-30 terbitan MIG Production Sdn Bhd. Selain Awal dan Heliza, filem bergenre komedi romantik itu turut dibintangi Hadziq (Tom Tom Bak), Shaheizy Sam, Fizz Fairuz, Hisham Ahmad Tajuddin, Mustapha Kamal dan Dian P Ramlee.

Heliza berkata, Awal ialah seorang yang mudah didekati dan banyak membantunya dalam mencari keserasian sebagai pasangan kekasih dalam filem berkenaan.

“Kami memang berbeza dari segi karakter, saya seorang yang gila-gila, Awal pula bersikap macho. Bagaimanapun, kami akhirnya menemui keserasian selepas kerap berlatih sebelum penggambaran. Kadang kala saya kasihan melihat Awal terpaksa melayan kerenah saya yang suka bertanya, tetapi dia tetap melayan saya dengan baik walaupun sudah penat.

“Awal faham dengan keadaan saya ketika itu. Saya sangat takut apabila pertama kali berada di lokasi penggambaran Syurga Cinta. Hanya Tuhan saja tahu perasaan saya, sudahlah pelakon baru dan tidak pernah berlakon filem, digandingkan dengan pelakon berpengalaman dan pengarah terkenal pula.

“Saya seperti pelakon lain, tetap ditegur Idham jika melakukan kesilapan. Idham juga pelik dan kerap kali bertanya adakah saya berhati batu kerana susah nak mengeluarkan emosi. Bagi saya pula, susah betul nak berlakon apabila terpaksa menjadi orang lain. Bagaimanapun, saya bersyukur Idham dan team produksi banyak membantu dan kritikan mereka juga berguna untuk saya memperbetulkan mutu lakonan,” katanya.

Mengulas wataknya sebagai Syuhadah, seorang gadis ayu dan lemah lembut, Heliza akui ia hanyalah gambaran umum saja, apa yang dilihat, tak sama seperti yang dirasa.

Dengan jujur, penuntut dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Biologi dan Kimia di Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berkata: “Saya seorang yang selamba, lasak dan susah nak mengalirkan air mata sedangkan ekspresi wajah Syuhadah mempamerkan gadis ayu dan lembut. Syuhadah bertentangan dengan keperibadian saya. Awalnya, permasalahan saya bukan hanya tertumpu kepada proses menjiwai emosi malah ketika pembacaan skrip. Bila ingatkan kembali saat itu, saya nak tergelak. Bayangkan saya hafal skrip bulat-bulat seperti menelaah pelajaran. Hasilnya memang nampak kaku. Bagaimanapun nasiblah ada Awal dan Idham sebagai penyelamat keadaan.

“Bagaimanapun, cabaran utama buat saya bila melakonkan adegan romantik dan menangis. Dua perkara saja yang akan membuatkan saya menangis ialah emak dan pelajaran. Bagaimanapun, tetap sukar juga untuk saya menitiskan air mata. Selalunya saya banyak bermain imaginasi diri saya berdepan konflik keluarga, hanya itu dapat mengerahkan air mata saya untuk menitis,” kata gadis berusia 24 tahun itu.

Menangis terkenang watak Irham

AWAL pula berkata, dia semakin serius bergelar pelakon selepas membintangi Syurga Cinta. Sebelum ini, lakonan hanyalah untuk memenuhi masa yang terluang.

Awal akui menyesal tidak serius sepanjang lima tahun menceburi bidang lakonan. Watak Irham berjaya membuka pintu hati dan matanya mengenai dunia lakonan.

“Dulu saya terima tawaran berlakon filem semata-mata untuk memenuhkan portfolio dan tentunya kerana wang. Tetapi dalam Syurga Cinta, barulah saya dapat rasakan apakah yang dimaksudkan berlakon. Jika menerima tawaran selepas ini, saya akan menerimanya kerana benar-benar ingin berlakon dan menikmati kepuasan selepas penat melakukannya.

“Jujurnya saya kerap menitiskan air mata ketika melakonkan watak Irham. Bait-bait kata yang terkandung dalam skrip cukup menusuk kalbu dan saya cepat sebak dan mengalirkan air mata. Saya tidak perlu mengingatkan kisah sedih yang berlaku dalam hidup saya, sebaliknya saya hanya perlu ingat apa yang saya lakukan pada Syuhada, ia seakan keadaan sebenar dan boleh membuatkan saya menangis,” katanya.

Akuinya, berlakon dengan Heliza juga dianggap cabaran kerana dirinya menjadi tekun dan tercabar dengan kesungguhan gadis bermata galak itu.

Mulanya rimas, kemudian serasi

“MULANYA saya rasa rimas apabila Heliza kerap bertanya, bagaimana lama kelamaan saya risau pula kerana saya tidak bersungguh-sungguh sepertinya. Saya juga berterima kasih kepada Heliza kerana kebimbangan dan usaha tanpa mengenal penat mahu berlatih mengubah sikap saya. Banyak kali berlatih dengan Heliza sebelum penggambaran dimulakan juga membuatkan kami cukup serasi,” katanya.

Syurga Cinta mengisahkan Irham (Awal Ashaari), anak hartawan berwajah tampan yang dibesarkan di luar negara sejak kecil dan mengamalkan cara hidup Barat, menerima cabaran daripada dua kawannya Alex (Shaheizy Sam) dan Zainal (Fizz Fairuz) supaya memikat gadis bertudung yang selama ini dipandang rendah mereka.

Syuhada (Heliza) yang dibesarkan datuknya (Hisham Ahmad Tajuddin) tidak menyedari niat sebenar Irham yang cuba merapatinya dengan bantuan adik Irham, Ikmal (Hadziq) yang juga pelajar di sekolah tempat Syuhada mengajar. Melihat usaha Irham untuk mendalami ilmu agama, Syuhada banyak membantu sehingga menimbulkan perasaan kasih antara kedua-duanya.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: