Skip to content

Mangsa saka Pak Sudir

4 June, 2009

Lisa Surihani, Zarina Zainoordin, Shaheizy Sam kongsi pengalaman beraksi dalam filem seram komedi, Jangan Pandang Belakang Congkak

MENGGUNAKAN formula gabungan filem seram dan komedi, Metrowealth Movies Production sudah pasti mengharapkan kejayaan besar apabila filem terbaru mereka, Jangan Pandang Belakang Congkak (JPBC), menemui penonton mulai hari ini.


Sekali lagi diarahkan Ahmad Idham, sutradara yang sinonim dengan deretan filem box-office daripada syarikat terbabit, JPBC dikatakan menghidangkan hiburan berbeza buat penggemar filem tempatan.

Menggabungkan pelakon baru dan lama, filem yang menelan belanja sekitar RM1.8 termasuk kos promosi ini dijayakan Cat Farish, Mazlan Pet Pet, Shaheizy Sam, Lisa Surihani, Dina, Zarina, Mas Muhari, Piee, Azlee dan ramai lagi.

Berlakon dalam JPBC menjadi pengalaman pertama buat aktres meningkat naik, Lisa Surihani, beraksi dalam judul seram. Walaupun dia seorang yang boleh dianggap penakut (Lisa tidak gemar menonton filem hantu), tetapi peluang dihulurkan David Teo dilihat cabaran terbaik untuk mempelbagaikan keupayaannya dalam dunia lakonan. Justeru, biarpun dalam hati kegelisahan menghimpit, wanita muda meneruskan langkah menyudahkan filem berkenaan.

“Apatah lagi, dalam filem ini, ada babak memerlukan saya berlakon bersama tiga ekor ular di Gua Cenderawasih. Dua daripadanya pula cukup besar. Sudah tentulah saya begitu takut, bimbang jika secara tiba-tiba haiwan itu membelit tubuh.

“Biarpun perut saya kecut mengenangkan aksi bersama haiwan terbabit, saya kena kuatkan semangat. Saya juga bernasib baik sebab Lan Pet Pet banyak memberikan tunjuk ajar bagaimana untuk mengendalikan haiwan ini. Seorang pengendali ular juga turut bersedia di lokasi, bagi memastikan tiada sebarang insiden tidak diingini terjadi,” kata Lisa ketika berkunjung ke Balai Berita baru-baru ini.

Memegang watak jahat buat julung kalinya, Lisa juga tidak dapat melupakan penggambaran di sebatang sungai di Perlis, yang berlanjutan sampai ke pagi hari.

“Penggambaran di kawasan sungai itu bermula jam 8 malam dan hanya berakhir pada 5 pagi. Jadi, bayangkan berapa lama saya perlu berendam dalam air yang sejuk, bagi mendapatkan pelbagai sudut rakaman? Selepas babak itu berakhir, otak saya terasa macam beku dan saya sendiri demam panas selama tiga hari,” cerita Lisa sambil disulam ketawa manja.

Namun, gadis peramah ini percaya, pengalaman itu pastinya bukan paling teruk pernah dihadapi mana-mana pelakon. Dia yakin masih ada pengalaman lebih memeritkan terpaksa ditelan pelakon lain dan kemungkinan besar, suatu hari nanti, dia juga akan berdepan dengan keadaan serupa.

Shaheizy Sam

Ketika ini, pelakon yang mencipta nama menerusi filem I’m Not Single itu sibuk di lokasi filem Legenda Budak Setan bersama Farid Kamil, Shikin, Que Haidar dan Fazura.

Tunggu Virus Zarina

ZARINA Zainoordin yang memegang watak Wati pula, dia seronok menjayakan babak ‘mengacau’ Lan Pet Pet dalam filem berkenaan.

“Bagi menjayakan adegan terbabit, saya disolek hampir dua jam lamanya walaupun ia untuk babak yang amat pendek saja. Solekan itu dilakukan bagi menutup mulut saya. Yang kelakarnya, sebelum mulut saya ditutup, saya terlupa yang saya belum pun menyentuh apa-apa makanan,” cerita Zarina.

Bekas peserta Akademi Fantasia musim kedua ini bagaimanapun bersyukur, sepanjang penggambaran filem komedi seram itu dilakukan, tidak ada pengalaman menyeramkan terpaksa dilaluinya. Sebaliknya, dia ‘jatuh cinta’ pada negeri Perlis yang menjadi lokasi utama filem terbabit, dek keindahan negeri di Utara semenanjung. JPBC muncul projek seram kedua untuk Zarina, selepas terbabit dalam siri Niyang Rapik.

Menyentuh karier nyanyiannya, artis dari Selatan tanah air ini memberitahu, dia masih aktif sebagai penyanyi dan baru-baru ini, suaranya digunakan bagi rakaman lagu tema siri Zati & Si Mawas, yang turut dilakonkan bersama-sama Liyana Jasmay dan Kamal Adli.

“Lagu berjudul Kasih Antara Kita itu menyaksikan saya berduet bersama anggota Fabulous Cats, Adeeb. Lagu ciptaan Cat itu mungkin akan dihantar ke radio dalam masa terdekat. Jadi, selepas kemunculan di televisyen, bolehlah peminat mendengarnya di radio pula.

“Kini, saya menunggu masa untuk masuk ke studio bagi merakam single terbaru berjudul Virus. Berentak rancak, lagu ini juga dicipta oleh Cat. Saya memang merancang untuk menghasilkan album, menggunakan khidmat komposer berbakat itu. Sebab sering sangat bekerja dengannya, dan saya juga senang dengan cara dia bekerja, jadi, baiklah saya gunakan saja khidmat Cat untuk menghasilkan album itu nanti,” kata Zarina.

Wira baru filem Melayu?

BAGI Shaheizy Sam, JPBC menandakan pembabitan pertamanya dalam filem bercorak seram komedi. Sebelum ini, dia banyak membintangi judul yang lebih bersifat aksi dan drama. Bermula dengan Bohsia, langkahnya diteruskan dengan Syurga Cinta, JPBC, Evolusi KL Drift II dan Remp-it Nan Sempit.

Dilihat kepada deretan filem dibintanginya dalam masa yang agak singkat, lalu terkeluar andaian mungkinkah anak muda ialah wira baru dalam filem Melayu?

“Saya tidak berani hendak mengulas jika ada yang mengandaikan saya begitu. Layak atau tidak saya untuk digelar hero baru filem Melayu, biarlah peminat yang menentukannya. Secara jujur, saya masih mempunyai banyak kelemahan sebelum boleh diangkat memegang gelaran berkenaan.

“Saya belajar ilmu lakonan di lokasi penggambaran. Daripada teguran dan tunjuk ajar kawan-kawan, saya juga belajar berdasarkan pemerhatian dan pemikiran. Jika berseorangan di rumah pula, saya banyak belajar daripada filem yang ditonton menerusi DVD. Saya tanya pada diri sendiri, mengapa sesuatu watak itu ditonjolkan sebegitu rupa dan sebagainya,” katanya.

Adik pelakon Zizie Ezette ini juga tidak berasakan, berlakunya pendedahan yang berlebih-lebihan pada dirinya apabila sebuah demi sebuah judul lakonannya menemui penonton pada tahun ini. Bohsia, Syurga Cinta dan JPBC kini sudah pun ditayangkan. Sebelum tirai 2009 dilabuhkan, Evolusi KL Drift II pula akan menjengah pawagam.

“Pada dasarnya, saya agak risau apabila beberapa filem lakonan saya akan menemui penonton pada tahun yang sama. Namun, mengenangkan watak yang dijayakan itu agak berlainan bentuk, jadi saya percaya, peminat tidak akan jemu menontonnya,” katanya akan difahamkan bakal membintangi Niyang Rapik versi filem pula selepas ini.

SINOPSIS:

FILEM ini antara lain mengisahkan bagaimana tiga pemuda berlainan latar belakang mendapat sepucuk surat setiap seorang daripada Pak Sudir, seorang lelaki yang dikatakan mengamalkan ilmu saka. Sebelum kematiannya yang dahsyat, orang tua itu menjemput tiga pemuda berkenaan datang ke rumahnya.

Punai ialah penyeluk saku, manakala Asmat bekerja di tempat letak kereta dan Johan pula seorang jurujual. Pada hari yang ditetapkan, ketiga-tiga mereka tiba di rumah Pak Sudir. Di sana baru mereka tahu Pak Sudir ialah datuk mereka dan mereka bertiga sebenarnya sepupu. Pembantu Pak Sudir, Mustika, memberitahu mereka bertiga bakal mewarisi harta pusaka peninggalan Pak Sudir sekiranya berjaya mematuhi syarat yang ditetapkan.

Mereka hendaklah bermalam di rumah itu selama tiga malam berturut-turut dan tidak boleh menyentuh apa-apa barang terutamanya sebuah congkak usang. Oleh kerana syarat itu dianggap terlalu mudah bagi mereka dan ia peluang untuk hidup senang, mereka bersetuju dengan syarat itu. Apa yang tidak diketahui tiga pemuda ini, mereka akan mewarisi ilmu saka Pak Sudir jika berjaya mengharungi tiga malam berkenaan.

One Comment leave one →
  1. PuccaGurlz permalink
    4 June, 2009 pm

    Best gak citer ni kan…marilah ramai2 tgk citer ni…🙂

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: