Skip to content

Remy minta peluang kedua

5 June, 2009

Sikapnya baru-baru ini yang cuba melarikan diri daripada wartawan sewaktu menghadiri majlis pelancaran drama lakonan terbarunya Nur Kasih, turut ditegur.

KONTROVERSI hubungan dingin membabitkan pelakon muda yang sedang mencipta nama, Mohd Zalimie Ishak (Remy Ishak), 26 dengan beberapa pihak media masih lagi berlarutan.

Pastinya situasi kurang menyenangkan ini akan memberikan implikasi buruk kepada kerjaya seni Remy sekiranya ia berpanjangan.

Takut apabila terlalu banyak berita tidak baik dilaporkan mengenainya, ia akan memberikan penggiat seni mahupun peminat Remy persepsi buruk terhadap pelakon yang bakatnya mula diketengahkan menerusi filem Anak Halal itu.

Sewaktu dihubungi Remy bagaimanapun menafikan dia cuba melarikan diri daripada pihak media, apatah lagi pelancaran drama bersiri Nur Kasih yang disiarkan setiap Jumaat, jam 9 malam di TV3, turut membabitkan dirinya sebagai pelakon utama.

“Waktu itu saya dan Ummi Nazeera yang turut berlakon dalam Nur Kasih mahu ke kereta kerana hendak mengambil barang. Sebaik mahu bergerak datang wakil dari TV3 memberitahu ada wartawan mahu menemubual saya.

“Dalam beberapa minit kemudian saya kembali dan temubual berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang perkara kurang menyenangkan berlaku antara kami,” jelasnya.

Kata Remy lagi, kebelakangan ini dia cuba tidak menimbulkan masalah kepada pihak media, apatah lagi sejak membabitkan diri dalam bidang lakonan rakan wartawan banyak memberikan sokongan.

“Sebenarnya tiada sebab saya mahu melarikan diri daripada media atau mahu menyembunyikan sesuatu. Apabila perkara ini berlaku saya sendiri keliru dan tidak tahu apakah punca dan sebabnya.

“Saya tidak menafikan sebelum ini saya pernah melakukan kesilapan. Itupun kerana saya orang baru dan masih belum dapat menyesuaikan diri.

“Sebelum ini apabila mereka menghubungi saya untuk mengadakan temubual dan sesi fotografi saya tidak dapat hadir kerana gagal mengatur jadual dengan lebih baik. Saya sudah belajar daripada kesilapan lalu.

“Bagaimanapun saya akan cuba pastikan perkara sama tidak berulang. Jadual kerja juga sudah dapat diatur dengan baik kerana saya sudah mempunyai pengurus. Sebaik mungkin saya akan cuba memenuhi setiap pelawaan temubual atau sesi fotografi sekiranya tidak sibuk dengan penggambaran drama,” katanya.

Remy turut mengharapkan rakan media melupakan kesalahan yang pernah dilakukan dan memberikannya peluang kedua.

Waktu sama rakan media beranggapan yang Remy mahu melarikan diri kerana bimbang mereka bertanyakan mengenai hubungan cintanya dengan Ummi Nazeera yang sekarang ini sedang hangat diperkatakan.

“Saya tidak nafikan memang kami berkawan tetapi saya berasa kurang senang sekiranya ia digembar-gemburkan sehingga orang lupa akan kerjaya saya sebagai pelakon.

“Memang sejak dulu saya tidak suka membabitkan hal peribadi dengan kerjaya seni.

“Bayangkan ada ketika rakan wartawan bertanyakan mengenai saya dan Ummi Nazeera dan apa perkembangannya saya tidak mempunyai jawapan untuk itu. Malah saya tidak tahu hendak menjelaskan apa yang akan berlaku antara kami.

“Begitupun ia bukan sebab saya mahu melarikan diri. Cuma saya lebih senang bersikap berterus-terang. Saya menyertai industri perfileman kerana mahu mengasah bakat lakonan yang ada. Saya mahu orang mengenali saya kerana bakat tetapi bukan cerita gosip,” katanya.

One Comment leave one →
  1. puteriaquarius81 permalink
    5 June, 2009 am

    hmmmmmmm

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: