Skip to content

Bergaya sejak sekolah-Maizawati

6 June, 2009

KAJANG: “Bagi mereka yang mengenali saya, ini gaya saya sejak zaman sekolah,” kata Maizawati Zainal, 33, isteri penyanyi nasyid dan penceramah bebas, Akhil Hayy, 40, menepis tohmahan kononnya dia gila glamor apabila tampil dengan gaya selebriti sejak kisah pergolakan rumah tangganya disiarkan media.

Malah, Maizawati berkata ketika di tingkatan dua, dia pernah menerima tawaran berlakon, menyanyi dan peragaan fesyen, tetapi menolak kerana tidak berminat selain tidak mendapat restu keluarga.

“Bagi mereka yang mengenali saya, memang ini gaya saya sejak zaman persekolahan hingga sekarang, malah kalau saya hendak glamor sudah tentu saya terima tawaran itu (berlakon dan menyanyi),” katanya pada sidang media selepas dilantik duta program BondaMama.com oleh Yayasan Pembangunan Nur Hikmah di Taman Mesra di sini, semalam.

Pada sidang media itu, Maizawati sekali lagi menegaskan tindakannya mendedahkan kisah rumah tangga kepada media bukan berniat mengaibkan suami, sebaliknya ingin memberi penjelasan kenapa dia mahu menuntut cerai.

“Saya tidak ada niat mengaibkan suami, tapi mahu menghentikan cerita sedia ada. Bagaimana kisah saya boleh disiarkan media, semuanya kebetulan. Saya cuba untuk mengelak kerana siapa yang mahu kisah peribadi diperbesarkan, tapi ini semua kehendak Allah,” katanya yang kelihatan anggun berjubah hitam.

Ibu enam anak itu turut menafikan tawaran menjadi duta produk berkenaan dibuat bagi mengambil kesempatan terhadap konflik yang berlaku kerana menerusi program yang bakal dilancarkan pada 20 dan 21 Jun ini, Maizawati dijadualkan memberi ceramah motivasi kepada peserta di sebuah hotel.

“Saya akan berkongsi pengalaman dengan peserta secara positif bagaimana menguruskan rumah tangga apabila suami keluar bekerja atau tiada di rumah, bukan menyentuh perkara negatif yang boleh mengaibkan mana-mana pihak.

“Dari sudut kelayakan, saya mempunyai pengalaman menguruskan kelas pengajian al-Quran yang dikendalikan tenaga pengajar bertauliah selain pernah menjadi pembantu peribadi ustaz (Akhil) sebelum ini. Pengalaman itu banyak mengajar erti kehidupan,” katanya.

Baginya lebih penting sekarang ialah meneruskan kehidupan seperti sedia kala dengan anak.

“Kenapa saya hendak berfikir mengenai masalah yang berlaku atau murung dengan keadaan ini sedangkan kehidupan perlu diteruskan. Saya tidak akan mencampurkan hal peribadi dengan pekerjaan.

“Niat saya sebaik bersetuju dengan tawaran ini hanya mahu berkongsi pengalaman dengan ibu tunggal untuk meneruskan kehidupan tanpa suami,” katanya.

Maizawati turut bersyukur kerana pelajaran anaknya tidak terganggu dan mereka dapat menerima keadaan yang dihadapi.

“Alhamdulillah mereka tidak mengambil berat sebarang tanggapan negatif pihak luar sebaliknya lebih menumpukan pelajaran,” katanya.

Mengenai sindiran Akhil terhadapnya kerana menghebahkan masalah rumah tangga mereka kepada umum dengan mengatakan ‘sesiapa ada masalah boleh ke stesen televisyen’, Maizawati hanya berkata, itu hak suaminya untuk bersuara.

Sementara itu, Presiden Yayasan Pembangunan Nur Hikmah, Ameer Soekre Ishak, berkata pemilihan Maizawati sebagai ikon program BondaMama.com dibuat selepas pihaknya membuat kajian dua bulan dan menemubual wanita itu.

“Program ini dibuat bagi membantu dan memberi latihan kepada suri rumah sepenuh masa mencari pendapatan sampingan dengan mengasuh kanak-kanak yang tinggal di kawasan kejiranan mereka.

“Ibu bapa dan pengasuh akan mendaftar diri mereka dalam portal disediakan dan kami akan memadankan mereka melalui satu sistem canggih, malah melalui program ini ibu bapa bukan saja mendapat jaminan pengasuhan persendirian, tetapi memberi peluang pekerjaan kepada suri rumah sepenuh masa,” katanya.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: