Skip to content

Capoeira seni rahsia hamba abdi

6 June, 2009

KETANGKASAN seorang pemuda yang menewaskan empat penjahat menggunakan teknik serangan kaki dengan badan berpusing-pusing bermain di fikirannya sejak dari usia kanak-kanak.

SENI bela diri Capoeira yang kini semakin mendapat sambutan khususnya di kalangan generasi muda di negara ini.



Kisah yang disaksi dan diceritakan semula oleh bapanya itu membuatkan Formado Soldado berazam untuk terus ‘memburu’ seni bela diri itu dengan hasrat mempelajarinya.

Ketika berusia 16 tahun semasa menghadiri perarakan jalanan di tempat kelahirannya di Recife, Brazil, Soldado melihat sekumpulan manusia berpakaian seragam putih yang bersorak meriah di dalam bentuk bulatan.

Di dalamnya dua lelaki sedang lincah beraksi dengan badan berputar-putar mengikut irama muzik tradisional yang dimainkan.

Soldado menarik tangan bapanya dan terus bertanya adakah ia adalah seni mempertahankan diri yang pernah diceritakan kepadanya.

Tanpa berfikir panjang bapanya menganggukkan kepala dan beberapa minggu kemudian beliau terus mendaftar dan memulakan latihan di salah sebuah sekolah latihan seni bela diri itu.

Itulah permulaan minat kepada seni mempertahankan diri Brazil yang dikongsi Cristiano Genuino Da Silva atau lebih dikenali dengan gelaran Formado Soldado di kalangan pengamal Capoiera di negara ini.

Seni mempertahankan diri Capoeira dikatakan berasal daripada gerakan rahsia yang dipraktikkan oleh golongan hamba abdi Afrika untuk menentang kekerasan penjajah di Brazil suatu ketika dahulu.

satu gaya hidup

Sejak bertapak di negara ini pada 2007, mahaguru pertubuhan Escola Brasileira de Capoeira (EBC-Malaysia) yang mempunyai 19 tahun pengalaman itu kini mempunyai kira-kira 50 pelajar di enam lokasi kelasnya di Semenyih, Cyberjaya, Klang, Sri Hartamas dan Kuala Lumpur.

Peranan aktif yang dimainkan oleh EBC Malaysia melalui latihan, acara dan persidangan berkaitan di peringkat antarabangsa dan tempatan turut mempopularkan Capoeira di negara ini.

Bagi Soldado, Capoeira bukan sekadar seni bela diri tetapi gaya hidup yang dapat meningkatkan keupayaan setiap individu dari segi rohani dan jasmani.

“Di sini bukan sekadar tempat untuk belajar berlawan dan melompat tetapi semua pelajar diajar mengenal budaya dan adat resam seni ini.

“Falsafah Capoeira juga bukan sekadar mementingkan kekuatan tetapi turut menerap nilai disiplin, rendah diri dan menghormati orang lain,” katanya ketika di temui di pejabatnya di Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ujar Soldado, dalam pembelajaran seni itu, pergerakan asas bermula dengan latihan menyusun langkah (ginga), diikuti asas tendangan dan pertahanan (negativa) yang ‘dimainkan’ mengikut rentak muzik tradisional Capoeira.

“Melalui latihan empat kali sebulan, langkah ginga biasanya dapat dikuasai oleh seorang pelajar selepas enam bulan.

“Selepas menguasai ginga pelajar akan diajar pergerakan yang lebih kompleks seperti akrobatik yang sering dikaitkan dengan seni ini,”katanya.

Selain menguasai langkah Capoeira, pelajar turut diberi pendedahan mengenai pembelajaran bahasa Portugis melalui nyanyian lagu-lagu Capoeira.

Seperti juga silat, permainan dan persembahan Capoeira juga sinonim dengan alunan muzik tradisional Brazil menggunakan peralatan seperti berimbau, pandeiro, atabaque dan agogo.

Ditanya kelebihan seni bela diri itu, Soldado memberitahu, Capoeira menggunakan kesemua anggota badan sebagai senjata serangan dalam setiap pertarungan.

Tambahnya, cuma serangan paling menonjol adalah teknik menggunakan kaki secara bersilang-silang seperti yang banyak dipopularkan di dalam filem dan permainan video.

“Ramai tidak mengetahui bahawa Capoeira tidak menggunakan penumbuk sebaliknya kita menggunakan teknik tampar.

“Selain kaki, siku juga anggota badan yang berbahaya sekiranya dimanfaatkan dengan betul,”ujarnya sambil menunjukkan parut pada muka kesan pergaduhan sebenar yang pernah dilalui.

Di Brazil ujarnya, Capoeira sudah menjadi sebahagian daripada budaya hidup masyarakat setempat. Walaupun pelbagai aliran diperkenalkan tetapi tradisi asas dalam Capoeira masih dikekalkan.

Apa kata pelajar

Bagi Azura Zainal, 28, keseronokan mempelajari Capoeira adalah keupayaan melakukan pergerakan unik yang tidak ramai mampu melakukannya. Namun untuk mencapai tahap itu, latihan berterusan merupakan satu kemestian.

“Bagi saya kesukaran dalam Capoeira adalah untuk mendapatkan anggota badan yang elastik dan fleksibel.

“Tetapi setiap pergerakan tidak sukar dipelajari kerana Soldado akan menumpukan latihan kepada satu-satu teknik sehingga semua pelajar dapat menguasainya,”jelas beliau.

Cowboys

Di akhir pertemuan kami, Soldado sempat meluahkan kekecewaannya berhubung segelintir pengamal seni bela diri itu yang mengajar tanpa kelayakan sepatutnya di negara ini.

Ujarnya, sebagai warga negara Brazil dan anggota persekutuan Capoeira yang diiktiraf di peringkat antarabangsa (Escola Brasileria de Capoeira-EBC) beliau kecewa melihat perkara itu.

“Capoiera adalah sebahagian daripada budaya orang Brazil dan sebagai orang Brazil saya tidak senang melihat perkara ini.

“Memang benar seni Capoeira masih asing di sini tetapi mereka yang tidak berkelayakan tidak boleh sewenang-wenangnya mengajar orang lain.

“EBC menggelarkan mereka ini sebagai Cowboys dan kami tidak menyukai mereka kerana mengambil kesempatan daripada pelajar-pelajar yang tidak tahu apa-apa mengenai Capoiera,”katanya dalam nada rendah diri.

Pandangan beliau itu turut dikongsi oleh pelajarnya, Farezza Rashid. Farezza yang menceburi Capoeira sejak dua tahun lalu tidak berminat mengikuti kelas-kelas yang dikendali oleh mereka yang tidak bertauliah.

“Ramai mendakwa mereka memiliki kepakaran tetapi untuk memastikan apa yang kita belajar itu betul kita harus berguru dengan orang yang bertauliah.

“Jika silat lebih layak diajar oleh orang Melayu, saya rasa Capoeira lebih difahami oleh orang Brazil sendiri,” jelasnya.

Tambah beliau, minatnya pada Capoeira bukan hanya pada seni mempertahankan diri tetapi kesinambungan yang dibawa bersamanya seperti muzik tradisional, bahasa Portugis dan percampuran rakan-rakan pelbagai bangsa.

Sementara itu, Soldado yang sudah boleh bertutur menggunakan beberapa ayat Bahasa Melayu itu berkata, pemilihan pusat latihan Capoeira di negara ini dibuat berdasarkan minat yang mendalam pada seni mempertahankan diri.

“Masyarakat luar memandang Asia sebagai pusat kepada seni bela diri dunia. Kemunculan Capoeira di Asia Tenggara diharap akan menghidupkan lagi sukan bela diri di rantau ini,”kata bekas askar itu.

Maklumat lanjut mengenai latihan dan persembahan boleh diperolehi dengan melayari laman web http://www.ebcmalaysia.com.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: