Skip to content

Debaran bakal pengantin – Nana

6 June, 2009

Nurul Hana Che Mahazan dan Mohamed Raqeem Brian Abdullah akan tamatkan zaman solo di Muar, Johor, esok



SETELAH hujan pun berhenti, flora cintaku pun bersemi, lalu bait-bait lirik lagu dendangan penyanyi Min Malik yang pernah dinyanyikan kembali oleh pelajar AF7, Aishah ini memang sesuai menggambarkan betapa cukup berbunga-bunga hati penyampai radio Era, Nurul Hana Che Mahazan atau Nana itu.

Kisah cinta hatinya, Pengurus Program Hitz FM, Mohamed Raqeem Brian Abdullah bukan lagi rahsia ketika ini. Mereka mula terbuka berkongsi cerita cinta dengan semua, apatah lagi esok Brian akan menjadi milik Nana secara mutlak.

Majlis pertunangan dijadualkan bermula jam 10 pagi dan diikuti dengan upacara pernikahan jam 11 pagi di kediaman keluarga Nana di Muar, Johor. Majlis persandingan pula sekitar 2 petang dan sebelah malamnya pula diadakan majlis joget lambak.

Menurut Nana yang bakal mengikuti jejak rakan seperjuangannya Khai, Rosma dan Atie daripada Akademi Fantasia musim pertama yang sudah berkahwin, kalau ikutkan majlis kahwin mahu diadakan pada tarikh hari lahir Brian iaitu 7 Ogos.

“Namun atas beberapa sebab termasuk masalah yang dihadapi Brian selepas memeluk agama Islam, maka pernikahan kami terpaksa dipercepatkan. Malah Ogos pula bapa Nana perlu menghadiri kursus anjuran tempat kerjanya. Dalam penuh debaran di dada, Nana seronok untuk menikmati fasa baru dalam kehidupan.

“Keluarga masing-masing merestui hubungan kami dan itu sudah cukup membahagiakan Nana. Nana gembira apabila abah dan emak gembira. Ikutkan hati Nana nak adakan majlis perkahwinan seringkas mungkin, tapi abah yang beriya-iya nak buat majlis besar-besaran. Lagipun Nana anak tunggal perempuan dalam adik beradik dan menjadi yang pertama untuk berkahwin.

“Abah Nana bertugas sebagai pegawai polis dan dia sudah menjemput rakan setugas yang dikenalinya untuk sama-sama meraikan hari besar itu nanti. Majlis kahwin hanya akan diadakan sekali saja di Muar dan setakat ini tiada perancangan ke arah melakukan majlis yang sama di ibu kota,” kata Nana yang bakal melaram busana rekaan Cosry untuk majlis persandingan dan pernikahan. Di samping itu, jurusolek popular, Ezral yang sinonim dengan Nana akan memastikan tugas mencantikkan pengantin berjalan lancar.

Sementara itu, Brian yang memeluk Islam sejak Januari lalu sebenarnya sudah bersedia lama untuk memegang status sebagai suami. Namun tanpa berselindung, Brian mengakui perasan berdebar mula dirasai menanti waktu untuk diijab kabul. Sambil berseloroh, Brian memberitahu kawan-kawannya sudah mula menyakat dan mengusik untuk menakutkan dirinya.

Kata Brian lagi, dia mengharapkan ikatan perkahwinan yang bakal terpateri esok akan menjadi yang pertama dan terakhir di dalam hidupnya. Apa yang diharapkan Brian sebagai tunjang kekuatan bahtera perkahwinan yang dibina kelak ialah untuk terus memastikan kehidupan mendatang akan diberkati, aman dan rukun.

“Tanpa ragu saya harus katakan Nana adalah pilihan tepat untuk saya jadikan pasangan hidup. Sudah lama saya mencari calon yang sesuai dan ia sudah dimakbulkan. Keluarga memahami dan menyokong apa yang saya sedang lakukan sekarang ini. Apa yang penting ialah saya lakukan dengan ikhlas, malah ibu saya tidak terlalu berkeras terutama dalam soal pilihan agama yang saya peluk sekarang.

“Selepas kahwin nanti maka bermula langkah baru buat saya dan tanggung jawab yang lebih besar menanti. Ikatan perkahwinan yang bakal saya layari nanti bersama Nana ialah jalan seterusnya dalam setiap kehidupan yang harus dilalui oleh setiap insan di muka bumi ini,” kata anak bongsu dua beradik itu.

Cuba mengelak klise, fotografi yang diaturkan pasangan ini tidak seperti yang lazim dilaksanakan mengenakan busana pengantin. Sebaliknya Nana dan Brian hanya bergaya kasual di tambah seri dengan jambangan bunga mawar. Kelopak mawar yang kembang cantik itu menjadi simbolik kepada erti kebahagiaan yang didakap mereka.

Kisah pendakap gigi dekatkan dua hati

MENGIMBAS kembali detik perkenalan mereka empat tahun lalu, kala bertegur sapa, hanya perkataan ‘hai’ menjadi modal bicara. Nak dijadikan dan dipendekkan cerita, pertemuan di dalam lif dalam jangka waktu tidak terduga menjadi titik tolak permulaan ceritera cinta mereka.

Jelas Nana, kisah pendakap gigi yang dipakai ketika itu menjadi alasan bermakna yang terus merapatkan hubungan dua hati ini. Pertemuan itu terus berputik dan berlanjutan hingga mereka mula mengenali diri masing-masing.

“Lucu juga dikenang kembali kisah pendakap gigi itu dan bayangkan hanya bercakap mengenai benda itu, kami boleh terus menjalinkan hubungan intim. Itulah namanya kalau sudah jodoh. Ikatan kami mula serius apabila kami pulang ke kampung Nana untuk berbicara lanjut mengenai hala tuju hubungan kami.

“Ketika di kampung, tak dinafikan Brian memang agak gementar apabila berjumpa dengan abah untuk melamar Nana. Dia cakap dekat abah mahu bersama Nana hingga ke akhir hayat. Abah pun mula mengusik Brian bertanyakan mengenai jumlah wang hantaran dan macam-macam lagi disoal dengan tujuan untuk menguji bakal menantunya,” kata Nana yang leka disolek jurusolek Famee.

Mengenai soal anak, pasangan ini menerima dengan penuh keredaan jika rezeki cepat datang untuk mereka menimang anak. Ditanya mengenai lokasi berbulan madu, kata Brian, mereka belum dapat memastikan ke mana lokasi pilihan yang bakal dilakukan.

“Soal masa yang tidak mengizinkan kami memikirkan lanjut soal berbulan madu. Kami hanya dapat cuti kahwin selama tiga hari sebelum majlis kahwin dan selebihnya berbaki dua hari selepas selesai majlis di Muar nanti. Dalam fikiran, kami ada merancang untuk berbulan madu di kepulauan menarik seperti Maldives, Mauritius, Krabi atau pun sekadar pulau di Malaysia.

“Paling cepat pun, kami mungkin akan pergi berbulan madu sekitar Oktober nanti. Selepas kahwin, kami akan mula sibuk dengan kerja, malahan masing-masing perlu bertungkus-lumus untuk melunaskan bancian radio pada minggu pertama dan kedua Ogos. Bagaimanapun, persediaan bancian itu perlu dilakukan lebih awal seperti kebiasaan yang dilakukan sebelum ini,” kata Brian yang pernah dikatakan mempunyai iras muka penyanyi Faizal Tahir.

Info menarik

  • Kata Nana, Brian memang tidak romantik dan tidak pandai ‘mengayat’. Malah bakal suaminya itu seorang yang sangat ringkas, gila-gila, ikhlas dan terlalu menyayangi ibunya. Karakter yang dimiliki Brian itulah yang membuatkan Nana mula jatuh hati.
  • Brian pula menyifatkan Nana seorang yang pemurah hati, lucu dan menggemari idea lawaknya yang pelik. Sikap gila-gila Nana masih mampu diterima akal Brian. Kata Brian lagi, dalam gemar berlawak, masih ada sisi serius Nana yang dikaguminya.
  • Kenangan indah Nana bersama Brian ialah jejaka kelahiran Sarawak itu selalu menggembirakan hati Nana. Brian tahu Nana sukakan benda yang comel, maka dia selalu menghadiahkan barang yang bersifat comel termasuklah jam yang dipakainya sewaktu fotografi bersama Hip berlangsung.
  • Bagi Brian pula, waktu bersama yang sering dikenang ialah ketika menonton konsert. Biarpun ada sesetengah konsert itu bukan daripada genre muzik yang diminati Nana, dia tetap menonton untuk menimba pengalaman.
  • Mengenai gosip yang disiarkan akhbar sisipan B*pop kononnya tidak mahu mengundang media meraikan majlis hari bahagiannya, Nana memberitahu dia agak sedih dan terkilan apabila artikel itu ditulis. Tidak timbul isu Nana tidak mahu menjemput wartawan kerana sebelum artikel itu diterbitkan, Nana sudah meminta senarai nama wartawan yang ingin dijemputnya.
  • Malah sudah ada rakan wartawan yang menerima undangan daripadanya. Nana juga lebih suka menghantar kad kahwinnya secara langsung tanpa perlu menghantarnya secara pos. Nana berharap isu salah faham itu akan berakhir dan dia tidak boleh berkata-kata apa lagi.Info Brian Nama penuh: Mohamed Raqeem Brian Panggilan: Brian

    Tarikh lahir: 7 Ogos 1974

    Umur: 35 tahun

    Asal: Kuching, Sarawak

    Jawatan: Pengurus Program Hitz FM

    INFO

    Nana

    Nama Penuh: Nurul Hana Che Mahazan

    Panggilan: Nana

    Tarikh Lahir: 1 Julai 1983

    Umur: 26 tahun

    Asal: Muar, Johor

    Keluarga: Anak kedua daripada empat beradik

    Pendidikan: Diploma Pengurusan Teknologi Maklumat, Cosmopoint

    Profesion: Penyampai radio Era dan pelakon

    Filem: Maut dan Gangster.

  • No comments yet

    Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: