Skip to content

Saya reda – Norish

6 June, 2009

Norish dakwa mental dan emosinya terseksa

TIDAK pernah terdetik di hati pelakon jelita, Norish Karman, 35, untuk mencetuskan kontroversi selepas hampir setahun berpisah dengan bekas suami, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir, 60. Baginya, apa yang berlaku biarlah berlalu.

Jauh di sudut hati, Norish atau lebih mesra dengan panggilan NK hanya mahukan haknya selepas 10 tahun mengabadikan diri sebagai isteri kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Menanti, Negeri Sembilan itu.

Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam menetapkan tarikh 17 Jun ini sebagai tarikh sebutan mendengar hujah plaintif dan responden dalam kes interparte NK membabitkan harta sepencarian dan nafkah anak.

Sejak dulu, baik buruk yang dilalui hanya dipendam dan walau sepahit manapun ditelan sendiri. Bagaimanapun, gara-gara tuntutan harta sepencarian dan nafkah anak yang didakwa tidak mencukupi, satu persatu `pekung’ rumah tangga mereka diselak bekas suami tanpa mengenang jasa NK adalah ibu kepada tiga cahaya mata mereka.

Malah, Hashimuddin juga dikatakan membuat tuntutan hak penjagaan terhadap tiga cahaya mata mereka – Haqiem Armany, 10; Hardy Amieran, 6; dan Puteri Hanyz Amanda, 5. Lebih perit lagi, pelakon filem Sayang Salmah itu diserang dengan `cerita peribadi’ apabila bekas suami tampil membuat kenyataan demi kenyataan yang mengaibkan menerusi akhbar.

Namun, tanpa ketabahan dan kecekalan, NK tidak mungkin mampu berdepan dengan satu persatu kontroversi yang menghimpit diri. B*Pop cuba menyelami keperitan yang dihadapi pelakon kelahiran Kota Singa itu.

B*Pop: Kenapa selepas hampir setahun bercerai timbul macam-macam cerita tidak menyenangkan ini? Kenapa baru sekarang dikibarkan, bukan sejak mula proses perceraian dulu?

Norish Karman (NK): Saya tak berniat mahu menimbulkan kekecohan atau membuat tohmahan pada bekas suami. Asalnya perbualan saya dengan wartawan untuk memberitahu penggiat seni yang masih beranggapan saya seorang wanita kaya. Ramai produser dan pengarah beranggapan saya tinggal di banglo besar, memandu kereta mewah dan mempunyai wang simpanan berjuta-juta ringgit selepas berpisah dengan bekas suami. Mereka anggap saya tidak perlu bersusah payah bekerja lagi dengan berlakon drama terutama dalam keadaan kegawatan. Namun hakikatnya, tidak.

Secara jujur, saya hanya mahu membetulkan tanggapan orang luar terhadap saya. Saya perlu bekerja untuk menampung keperluan hidup, membayar sewa rumah yang didiami bersama anak-anak dan membiayai keperluan anak-anak yang tidak mencukupi. Saya hanya bersuara selepas hampir empat bulan tidak mendapat sebarang tawaran berlakon. Saya hanya jelaskan situasi diri saya, bukan mahu memburukkan bekas suami atau mencetuskan kontroversi.

Malah, sekarang sewa rumah tidak berbayar dan bil elektrik sudah dapat surat merah. Saya tak malu nak memberitahu saya tidak lagi punya duit untuk menaiki teksi membawa anak-anak keluar.

B*Pop: Dalam kenyataan sebelum ini, bekas suami mendakwa memberikan wang sejumlah RM5,000 sebulan dalam tempoh edah selama tiga bulan 10 hari, membayar sewa rumah RM15,000 di Tropicana, Petaling Jaya, memberi pendahuluan rumah RM9,000 dan menanggung kos perpindahan sebanyak RM3,000. Semuanya diberikan dalam tempoh edah, tahun lalu.

NK: Ya, saya menerima wang RM5,000 selama tempoh edah tetapi hanya tiga bulan saja. Sudah termaktub dalam Islam, bekas suami wajar memberi wang edah selepas perceraian berlaku tetapi jumlah saja berbeza, mengikut kemampuan. Selama 10 tahun hidup bersamanya, kami tidak pernah memiliki rumah sendiri, malah kami menyewa dan berpindah dari satu rumah ke rumah yang lain. Memang beliau membayarkan sewa rumah di Tropicana sebanyak RM15,000 tetapi ketika itu, beliau turut tinggal di situ selama tiga bulan tempoh edah. Beliau keluar dari rumah itu pada 15 Oktober 2008, bagaimanapun saya dan anak-anak tetap tinggal di situ selama tempoh sebulan kerana saya terbabit dalam penggambaran drama Spa Q dan masih mencari rumah yang mampu saya bayar sewa. Saya terpaksa keluar rumah berkenaan dan disarankan cari rumah lain.

Beliau menawarkan membayar pendahuluan rumah sebanyak RM9,000 untuk saya dan anak-anak berpindah ke rumah sewa di Bandar Utama, Petaling Jaya, supaya beliau tidak perlu lagi membayar sewa rumah Tropicana itu. Sekiranya beliau seorang yang budiman, beliau tidak sepatutnya mengungkit pertolongan yang diberikan pada saya, ia juga untuk anak-anak beliau sendiri.

Saya akui bekas suami juga membantu membayarkan kos perpindahan bernilai RM3,000. Ini kerana kami terpaksa mengosongkan rumah berkenaan dengan segera. Beliau juga mengungkit mengeluarkan wang RM7,000 membeli perabot untuk bilik anak-anak ketika berpindah. Saya rasa perkara itu tak seharusnya timbul, itukan anak-anaknya. Dan itu juga atas permintaan anak-anak.

B*Pop: NK menuntut sebuah kereta, Nissan Murano sedangkan bekas suami menyediakan seorang pemandu untuk keperluan anak-anak?

NK: Kereta Nissan Murano bukan kepunyaan saya, milik bekas suami. Beliau hanya meminjamkan kepada saya sebagai ihsan seorang suami kepada isteri dulu. Saya juga akui bekas suami menyediakan seorang pemandu yang menghantar dan mengambil anak sekolah antara jam 7 pagi hingga 5 petang. Dan selanjutnya sekiranya anak sakit, perlu membeli barang keperluan sekolah atau apa saja, saya terpaksa meminjam kereta kawan dan menggunakan teksi. Permohonan awal saya, hanyalah untuk kesenangan anak-anak.

B*POP: Hanya RM700 diberikan belanja untuk tiga anak sebulan iaitu RM300 pada Armany, RM200 (Amieran) dan RM200 (Amanda) yang dikatakan sebagai duit poket.

NK: Ya, beliau memperuntukkan wang poket kepada anak-anak sebanyak RM700 yang dimasukkan dalam akaun saya. Hidup dalam kota besar dan anak-anak yang sedang membesar, adakah ia mencukupi? Saya hanya menuntut wang belanja RM1,500 bagi setiap anak, bayar sewa rumah, kelas mengaji, makan minum dan kereta dikembalikan.

B*POP: Bekas suami cuba mengaitkan isu lain yang berbaur peribadi, adakah ia relevan dengan tuntutan NK?

NK: Saya kesal dan kasihan terhadap beliau yang usianya sudah mencecah 61 tahun namun tidak berfikiran matang. Isu mengenai teman lelaki dan bercuti bersama anak-anak di Pulau Tioman tiada kaitan dengannya. Apakah beliau lupa atau hidup dalam fantasi, kami sudah hampir setahun berpisah. Kami bukan lagi suami isteri. Saya rasa ini bukan isu dengan siapa saya berkawan, tetapi isu saya, beliau dan anak-anak.

Isu keperluan anak-anak yang tidak mencukupi. Isu orang lain tak perlu ditimbulkan, kalau saya nak menimbulkan isu beliau dan wanita-wanita lain yang hadir dalam hidup ketika saya masih lagi bergelar isterinya, peperangan bodoh ini tidak berpenghujung.

Tapi saya tidak serendah beliau, saya tidak akan mengaibkan bapa kepada anak-anak saya buat ketika ini. Jadi saya harap beliau tidak mengheret dan membabitkan orang lain dalam isu kami. Ini adalah mengenai anak-anak dan hak saya selama 10 tahun hidup bersamanya yang mana saya tidak dibenarkan bekerja. Saya juga dipaksa melepaskan tuntutan mutaah untuk mendapatkan kebebasan ini.

Kalau ini taktik keji beliau supaya masyarakat mengecam saya, industri menyisihkan saya dan menghalang lelaki mendekati untuk saya, Alhamdullilah. Saya terima dugaan dan saya serahkan pada Ilahi.

B*Pop: Betulkah perceraian NK berpunca daripada faktor lain?

NK: Perceraian sudah ditimba dalam hati dan pemikiran saya bertahun-tahun lamanya. Selain faktor tiada persefahaman dan kepercayaan, saya tidak tahan hidup dengannya selepas didera mental dan emosi. Dan hasutan orang sekelilingnya membuatkan keadaan rumah tangga kami tidak pernah aman. Saya rasa tak perlu menuding jari menyalahkan sesiapa, kaji dan akuilah kesilapan masing-masing.

B*POP: Bekas suami pernah menghalang hubungan NK dengan seorang teman baik dan mendakwa keluarga teman itu turut meminta pertolongannya menghalang perhubungan anda.

NK: Sewaktu berkahwin dengannya, adalah menjadi satu tabiat beliau suka menyerang dan mengugut kawan-kawan saya berserta keluarga mereka. Saya menyangkal dakwaan itu, keluarga teman baik saya tidak pernah berbuat demikian sama sekali. Malah hingga kini saya, teman baik dan keluarga mereka tetap akrab.

B*Pop: Selepas apa yang berlaku dan satu persatu aib serta maruah cuba diperkotak-katikkan, bagaimana NK berdepan masyarakat?

NK: Saya reda. Dengan penuh kesedihan, saya tak tahu ke mana hala tuju peperangan bodoh ini. Saya berharap beliau dapat menghentikan segala kebodohan ini dengan penuh kematangan dan meredakan kami tidak lagi hidup bersama. Biarkan saya mencari dan mengecapi kebahagiaan dengan cara saya sendiri. Dengan penuh kerendahan hati juga, saya berharap hentikan penyiksaan mental dan emosi yang tempiasnya turut terkena pada anak-anak. Segala paparan keburukan seumpama mencuci kain buruk di khalayak ramai dan jangan lupa apa pun saya, siapa pun saya, saya tetap ibu kepada tiga anaknya.

Jika saya insan kerdil, lagi naif dapat bersikap rasional, permintaan kecil saya, hormatilah saya sebagai ibu kepada tiga anak beliau. Sekiranya peperangan bodoh ini berterusan, saya hanya berserah pada Allah SWT dan masyarakat untuk menilainya. Saya yakin mahkamah akan memberikan keadilan yang selama 10 tahun saya inginkan. Isu ini dimulakan di mahkamah, saya mahu menyelesaikannya di mahkamah tanpa mengheret orang lain.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: