Skip to content

Scha tidak mahu tamak

6 June, 2009

TIDAK mahu tamak dan terus menyusahkan produksi RTM. Itulah sebab utama mengapa Scha Al-Yahya melepaskan tanggung jawab mengacarakan program Sehati Sejiwa yang mengupas realiti dunia rumah tangga selebriti tanah air.


Scha

Namun, artis yang sedang membina nama itu cukup menghargai peluang yang diberikan RTM menimba pengalaman sebagai hos walaupun agak berat untuk berbuat demikian memandangkan komitmennya dalam bidang lakonan.

Tempat Scha kini digantikan penyanyi Misha Omar sejak 3 Jun lalu. Pelakon berasal dari Sungai Petani, Kedah itu mula diberi kepercayaan mengacarakan program itu sejak 7 Januari lalu. Malah, selain Sehati Sejiwa, Scha pun sudah tidak lagi bersama program Chopp! yang disiarkan di TV9.

“Terbit juga rasa ralat di hati apabila terpaksa melakukan semua ini demi kebaikan saya dan pihak RTM. Bayangkan sejak awal mengacarakan program ini, saya sering dikritik terlalu kaku dan keras di hadapan kamera.

“Namun, seiring masa yang berganjak, saya perlahan demi perlahan mampu mengendalikannya dengan baik. Tambahan pula, ia disiarkan secara langsung.

“Saya berhenti secara baik dan mengikut aturan yang betul dengan berjumpa penerbit. Keputusan ini dilakukan dengan wajar, malah RTM pun tidak mempunyai sebarang masalah dengan tindakan yang dibuat. Apa terjadi, Sehati Sejiwa menjadi landasan terbaik untuk saya mengendalikan program secara langsung. Ia tetap menjadi kenangan terindah di dalam hidup saya.

GAMBAR kenangan Scha bersama produksi Sehati Sejiwa sewaktu episod membabitkan pasangan Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari.

“Banyak pengalaman dan aspek kerja yang saya peroleh sepanjang bersama Sehati Sejiwa termasuklah hal yang membabitkan kerja di belakang tabir. Mengendalikan program secara langsung juga bukan satu tugas yang mudah, malah, saya harus bijak bertindak secara spontan mengikut keadaan yang tidak dijangka,” katanya yang bakal menjalani penggambaran filem Libas arahan Jurey Latif di samping hero idaman Malaya, Rosyam Nor.

Kalau ada yang masih ingat, aktor kacak yang bertakhta di hatinya kini iaitu Fahrin Ahmad turut memberi tunjuk ajar dan memberi khidmat nasihat kepadanya sejak awal dia mengendalikan program itu. Seiring dengan pengalaman yang ada pada Fahrin, dia tidak lokek berkongsi ilmu dengan pelakon Histeria dan Antoo Fighter itu. Kesungguhan Fahrin itu menunjukkan betapa jejaka bertubuh sasa itu sangat mengambil berat mengenai Scha.

Jika sebelum ini, Scha seboleh-bolehnya tidak mahu terlalu menggembar-gemburkan ikatan yang terjalin antaranya dan Fahrin. namun dalam kenyataan terbarunya yang dipetik ketika menghiasi muka depan sisipan B*Pop, Scha agak berani meluahkan isi hati sebenarnya terhadap Fahrin yang tersimpul erat atas paksi cinta.

Menurut pelakon yang cukup dikenali dengan drama Awan Dania itu, selepas melakukan beberapa pertimbangan yang nyata, dia mula memijak kepada realiti sebuah kehidupan. Adat dalam sebuah perhubungan, ada fasa turun dan naik, namun itu lumrah yang terus mematangkan Scha dalam meniti onak kehidupan dan termasuk soal memilih teman hidup.

“Selepas beberapa pertimbangan yang Scha lakukan, akhirnya pilihan yang dibuat berbalik kepada perkara yang elok. Benda yang baik (pilihan bercinta dengan Fahrin) kenapa tidak boleh disambung. Kalau jodoh kami panjang, Insya-Allah Scha berharap penamatnya cukup membahagiakan. Scha harus realistik memilih Fahrin dan harap kekal bahagia. Selebihnya Scha perlu tawakal dengan sebarang kemungkinan mendatang.

“Selepas menemui titik keseimbangan, Scha perlahan-lahan kayuh dalam hubungan ini. Scha tidak mahu terlalu merumitkan keadaan dan banyak berfikir. Scha ikut aliran dan ketentuan kehidupan. Jika sebelum ini, kami tidak mengaku bercinta dan sampai bila ia harus tergantung begitu. Takkan hingga sekarang kami masih nak cakap hubungan kami masih sekadar kawan.

“Sebagai wanita, Scha kalau boleh impikan lelaki yang boleh membimbing dan menjaga Scha. Lalu, ciri yang dicari itu ada pada Fahrin. Lelaki baik sudah ada di depan mata kenapa Scha perlu menolak. Kita berbicara soal jodoh dan ia adalah ketentuan Tuhan. Biarpun sudah membuat kenyataan ini, Scha seboleh-bolehnya tidak mahu kisah cinta ini terlalu diperkatakan,” katanya tanpa berselindung sambil memberitahu belum ada ura-ura untuk bertunang mahupun berkahwin.

Selepas mula mencipta populariti dalam bidang seni, Scha kini sudah mula merangka untuk mencari bidang lain yang boleh dijadikan jaminan pada masa depan. Bukan bermaksud mahu meninggalkan bidang seni yang kini menjadi pintu rezekinya, sebaliknya Scha harus bijak mengatur perjalanan hidupnya.

“Bidang seni ini bukan mampu memberi jaminan hidup bahawa kita akan terus sentiasa berada di atas dan dipuja. Ia seperti putaran roda, ada kalanya, kita berada di atas dan begitulah sebaliknya. Manalah tahu, kalau Scha sudah menamatkan zaman bujang kelak, Scha masih ada kerja lain tanpa mengharapkan dunia seni semata-mata.

“Setakat ini Scha dan ibu sedang berbincang untuk terbabit dalam projek tertentu dan ia sama sekali tidak mempunyai kaitan dalam dunia perniagaan. Sekarang ini nak cerita lebih-lebih pun tak boleh sebab semuanya masih dalam peringkat merancang. Mungkin juga Scha akan membabitkan diri dalam bidang produksi mahupun perihal yang berkaitan dengan dunia modeling,” kata finalis Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 yang lalu.

INFO

Scha Alyahya

Nama Penuh: Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir

Asal: Sungai Petani, Kedah

Tarikh Lahir: 30 Mei 1983

Adik Beradik: Anak kedua daripada empat beradik

Kelulusan: Diploma Teknologi Maklumat, Kolej PTPL cawangan Shah Alam

Pencapaian: Dewi Remaja 2006 dan 50 Wanita Paling Jelita disenaraikan majalah Female

Kerjaya: Pelakon, Pengacara Dan Model

Drama: Bella, Luna Fantasiku, Sadiq and Co, Honeyz dan Awan Dania

Filem: Antoo Fighter, Histeria, Papadom, Evolusi KL Drift 2 dan Dimensi Cinta, Libas dan Adik Manja Returns.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: