Skip to content

Tak mahu Aleesya jadi anak wayang

6 June, 2009

Erra Fazira, Engku Emran lebih utamakan pendidikan

RATU filem Melayu alaf baru, Erra Fazira, tetap dengan pendirian untuk tidak menggalakkan anak sulungnya, Engku Aleesya, menceburkan diri dalam dunia seni. Sudah tentu sebagai ibu, bintang jelita ini mahukan kehidupan lebih bermakna buat puterinya. Justeru, dia berasakan pendidikan adalah perkara paling penting buat Aleesya.


ERRA bahagia dengan kehadiran puteri sulung, Engku Aleesya.

Begitupun, bukan menghalang sepenuhnya, ada masa Erra akan ‘berlembut’ dengan keputusan memangkah bidang seni buat cahaya mata comel ini. Jika sekadar berlakon iklan, dia mungkin memberikan keizinan mengenangkan tempoh pembikinannya yang singkat dan bayarannya juga agak lumayan.

Paling baru, dia turut menonjolkan anak pertamanya itu menerusi sebuah program 10 episod yang mengikuti kehidupan mereka anak-beranak, Gugu Gaga Erra, yang mula disiarkan Astro Ria, bermula 9 Jun ini.

Rancangan setengah jam terbitan Box Lite Film itu disiarkan setiap Selasa, jam 9 malam. Ulangannya pula boleh diikuti setiap Ahad, jam 1.30 tengah hari.

Pada majlis pelancaran siri realiti itu di Bangsar baru-baru ini, Erra tetap menegaskan, dia dan suami masih dengan pendirian untuk tidak menggalakkan Aleesya menyertai bidang seni.

“Begitupun, memandangkan rancangan ini berbentuk realiti, takkan kami hendak gunakan anak orang lain pula? Jadi, suka atau tidak, kami tonjolkan juga kehidupan sebenar kami anak-beranak termasuk Aleesya. Lagipun, program ini bakal memberikan manfaat kepada wanita yang bakal dan sudah pun bergelar ibu,” katanya.

Menafikan program terbabit sebagai batu loncatan buat puterinya itu, Erra memberitahu, pembabitan mereka dalam rancangan berkenaan bukan semudah yang disangka.

“Pihak penerbit juga banyak kali memujuk kami, supaya menerima tawaran menjayakan rancangan Gugu Gara Erra ini. Pada awalnya, sudah tentu Erra dan Emran menolak permintaan berkenaan. Hanya setelah beberapa kali perbincangan dilakukan, barulah persetujuan dicapai.

“Menjalani penggambaran siri ini juga bukanlah pengalaman yang mudah. Bayangkan, ke mana saja kita pergi, ada kamera mengekori. Nasib baik penggambaran hanya dilakukan dalam tempoh kira-kira dua minggu saja. Jika ia mencecah 20 hari, mungkin saya juga terfikir untuk menarik diri daripada menjayakannya,” dedah Erra.

Wajah eksklusif Astro ini juga berkata, kesediaan mereka untuk menjayakan program itu bukanlah semata-mata disebabkan faktor bayaran yang lumayan, sebaliknya banyak sebab lain termasuk peluang mempelajari cara penjagaan bayi yang boleh dikongsi bersama ibu lain di seluruh negara, termasuk cara mengurut bayi, menidurkan mereka dalam cara terbaik dan sebagainya.

Lebih daripada itu, kata Erra, mungkin pembabitannya itu memberikan ruang kepada lebih ramai selebriti untuk turut mengecap rezeki serupa pada masa akan datang, apabila kisah kehidupan mereka sekeluarga pula yang dirakam. Erra muncul artis pertama negara ini yang mempunyai rancangan realiti mengenai kehidupannya bersama anak dan suami.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul berkata, saluran itu cukup berbesar hati apabila buat julung kali, Ria berjaya menerbitkan program realiti khas buat artis terkemuka terbabit.

“Kami sedar, ramai peminat Erra di luar sana yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa, sebelum dan selepas dia melahirkan anak. Penerbitan program ini juga antara inisiatif yang diusahakan Astro dan penaja, Johnson’s Baby, bagi mendekati dan secara tidak langsung mendidik golongan ibu yang baru saja menempuh alam baru iaitu kehidupan selepas mendapatkan anak,” katanya.

Melalui program berkenaan, penonton berpeluang mengikuti pengalaman Erra membahagikan masa antara kehidupan barunya selepas bergelar ibu dan kembali aktif dalam kerjayanya sebagai anak seni.

Bukan sekadar berhibur dengan gelagat spontan Erra sekeluarga, program itu turut mendidik penonton mengenai pendekatan perlu diambil oleh setiap anggota keluarga yang menerima kehadiran orang baru dalam hidup mereka.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: