Skip to content

Umpan Ziela

6 June, 2009

KUALA LUMPUR: Taktik ‘auta’ digunakan seorang lelaki cukup mudah – menyamar sebagai anak saudara kesayangan dramatis dan penerbit drama terkenal, Ziela Jalil.

Dia juga menjaja nama beberapa artis popular tanah air untuk menipu beberapa pelakon baru bagi meminjam wang.

Suspek berusia 23 tahun yang turut menyamar penulis skrip dan penerbit drama terkenal, didakwa menjual nama pelakon tanah air seperti Yatt, Elly Mazlin, Raja Azri dan Kencana Dewi untuk meyakinkan artis baru meminjamkan sejumlah wang kepadanya.

Difahamkan, suspek yang turut mendakwa dibesarkan dalam keluarga seni dikesan menjadikan sesi uji bakat sebagai medan mencari mangsa sebelum lesap menghilangkan diri bersama wang berkenaan.

Seorang mangsa yang juga pelakon drama, Siti Nor Faridah Shamsuddin, 26, berkata dia diperdaya ‘pengarah’ drama terbabit ketika hadir menjalani uji lakonan (casting) di Perbadanan Filem Nasional (Finas), Hulu Klang dekat sini, awal Mei lalu.

Menurutnya, dia mulanya mendapat tahu satu produksi drama sedang menjalani uji lakonan bagi mencari pelakon sesuai untuk membintangi drama bertajuk Pengantin Kepoh.

“Saya yang tertarik membintangi drama itu kemudian hadir sesi casting yang diadakan suspek berhampiran Finas sekitar jam 5 petang.

“Ketika itu, kira-kira 30 individu termasuk beberapa pelakon baru dan pembantu, hadir untuk sesi uji bakat drama terbabit yang bermula jam 5 petang hingga 6 pagi keesokannya,” katanya.

Menurutnya, dia yang pertama kali bersua muka dengan ‘kaki auta’ terbabit tidak menyangka apabila lelaki terbabit yang mengaku pengarah dan penulis skrip drama berkenaan, mendakwa dia anak saudara Ziela Jalil.

“Dia memberitahu drama Pengantin Kepoh terbabit akan diterbitkan syarikat produksi milik Ziela Jalil dan sedang dalam proses mencari pelakon sesuai bagi membintangi drama berkenaan.

“Tidak cukup dengan itu, dia mendakwa sebelum ini pernah mencungkil dan menaikkan nama beberapa pelakon terkenal tanah air seperti Elly Mazlin, Raja Azri, Haryati Hamzah (Yatt), Kencana Dewi dan Nora Danish melalui beberapa drama dihasilkan sebelum ini,” katanya yang glamor dengan panggilan ‘CT Chubby’.

Menurutnya, dia yang menjalani uji bakat itu akhirnya diberitahu berjaya dan ditawarkan berlakon 66 episod drama berkenaan dengan memegang watak ibu kepada hero utama.

“Saya diberikan watak Mak Leha iaitu ibu kepada watak hero yang berlakon sebagai seorang anak yang panas baran. Bagaimanapun, saya diminta menjalani uji bakat sekali lagi di hadapan ibu saudaranya, Ziela Jalil, keesokan harinya.

“Saya lantas bersetuju dengan tawaran diberikan berikutan uji bakat itu dilakukan di bangunan Finas. Tidak sekadar itu, dia memberitahu bahawa pengarah Finas adalah bapa saudaranya juga,” katanya.

Menurutnya, ‘pengarah’ itu berpura-pura memberitahu tertinggal dompet duitnya sebelum menyatakan hasrat meminjam RM300 daripadanya.

“Saya yang percaya dengan kredibiliti ditunjukkan pengarah itu kemudian memberikan wang terbabit tanpa banyak soal sebelum pulang ke rumah. Namun, saya yang menunggu peluang diuji bakat Ziela Jalil keesokan harinya mula hairan apabila lelaki terbabit tidak menghubungi saya seperti dijanjikan.

“Setiap kali telefon bimbitnya dihubungi, lelaki berkenaan memberi alasan sibuk dan pelbagai dalih lain. Bagaimanapun, penipuannya terbongkar selepas lima lagi pelakon yang datang pada uji bakat terbabit turut mendakwa diperdaya suspek,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit yang turut menggunakan taktik penipuan sama meminjam wang sehingga RM2,000 daripada mangsa sebelum menghilangkan diri.

“Dia menggunakan alasan sama untuk mendapatkan wang dengan berjanji akan memulangkan semula wang dipinjam itu dalam tempoh terdekat. Ia jelas penipuan kerana peluang berlakon drama yang dijanjikan sebenarnya tidak pernah wujud,” katanya.

Dia yang menyedari diperdaya bersama lima pelakon lain kemudian membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati, dekat sini, Rabu lalu, berhubung penipuan berkenaan.

Sementara itu, sumber polis berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan terhadap suspek yang berasal dari Puchong dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pelakon Yatt, Kencana Dewi, Nora Danish dan Elly Mazlin yang dihubungi semalam mendakwa tidak pernah mengenali pengarah atau penulis skrip yang dinyatakan itu dan yakin nama mereka dijual untuk tujuan negatif.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: