Skip to content

Mampukah Pas jadi parti utama?

7 June, 2009

”Bersandarkan kepada latar belakang politik negara yang kelam kabut dan iklim dunia yang semakin parah suasana geopolitiknya pada waktu ini, maka marilah kita sama-sama mengorak langkah untuk terus mara dengan memimpin rakyat dan negara ke arah perubahan yang hakiki menerusi tema muktamar kali ini iaitu – Islam Memimpin Perubahan.

Demikianlah petikan ucapan dasar oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Muktamar Tahunan Pas Ke-55 di Shah Alam, kelmarin yang sekaligus memberikan isyarat yang jelas bahawa parti itu kini bukan sahaja sudah bersedia menjadi parti utama dalam pakatan pembangkang malah mula mengatur langkah untuk menerajui negara ini.

Atas sebab itulah, Abdul Hadi ketika menyampaikan ucapan tersebut yang turut dihadiri oleh Lim Kit Siang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail menegaskan, Pas bersedia menawarkan diri untuk memimpin perubahan dan memikul amanah kepimpinan negara dalam sebuah masyarakat majmuk seperti yang terdapat di Malaysia selepas berlangsung Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, jika diberi mandat oleh rakyat.

Dalam soal ini mana-mana juga pihak termasuk pakatan pembangkang tidak harus merasa gundah gulana dengan apa yang diperkatakan oleh Abdul Hadi kerana kenyataan itu hakikatnya adalah hasrat yang dizahirkan atas keyakinan bahawa “keadilan sejagat Islam yang sememangnya bersesuaian dengan fitrah manusia boleh menjadi tiang seri yang mampu untuk menyatukan hati manusia.”

Tambahan pula, kenyataan Abdul Hadi itu selaras dengan desakan yang bergema dalam perbahasan di peringkat Dewan Pemuda mahupun muktamar yang mahu Pas menjadi parti dominan atau tulang belakang kepada pakatan pembangkang dan bukan sekadar pengikut sahaja.

Sememangnya kenyataan Abdul Hadi adalah tepat pada masanya kerana selama ini sepanjang berada dalam pakatan tersebut, Pas dilihat seolah-olah tidak berdaya untuk ‘menyanggah’ apa yang dilakukan oleh rakan pembangkang yang lain.

Ada ketikanya pula, rakyat mempertikaikan pendirian Pas apabila ada sesetengah isu yang dicetuskan oleh pembangkang biarpun dilihat tidak betul tetapi tidak disanggah oleh Pas. Perjuangan Pas yang berteraskan Islam menambahkan lagi desakan bahawa parti itu sepatutnya berada teratas berbanding parti-parti lain kerana di situ Islam sepatutnya diletakkan.

Berkemungkinan

Sememangnya sementara kita mengakui bahawa dalam politik segalanya berkemungkinan, namun begitu dalam usaha Pas mencapai cita-cita tersebut, terlalu banyak yang harus dilakukan oleh parti itu bagi memastikan apa yang diimpikan menjadi kenyataan. Ia termasuklah untuk menyakinkan PKR dan DAP untuk menerima konsep Islam yang diperjuangkan.

Apa pun, cabaran utama Pas ialah memperkukuhkan kedudukan politik dan dalaman jika mereka berhasrat untuk bukan sahaja menjadi peneraju dalam pakatan pembangkang tetapi juga memerintah negara. Pas perlu memberi keyakinan kepada rakyat secara keseluruhan bahawa mereka alternatif terbaik.

Dari segi politik, jika Pas ingin menjadi dominan, mereka perlu terlebih dahulu mempunyai kerusi Parlimen yang mencukupi. Pada masa ini Pas hanya mempunyai 23 kerusi Parlimen iaitu lapan kerusi di Kelantan, enam kerusi di Kedah, dua kerusi di Terengganu, dua kerusi di Perak, empat kerusi di Selangor dan satu kerusi di Wilayah Persekutuan.

Ia bermakna kedudukan Pas adalah terlalu rapuh untuk menjadi dominan hatta dalam pakatan pembangkang sekali pun. Oleh itu Pas harus mengkaji dari sekarang kerusi-kerusi yang boleh ditandingi oleh parti tersebut. Mahu tidak mahu, Pas harus menjadi parti yang memiliki majoriti dalam Parlimen seperti mana kedudukan UMNO sekarang yang mempunyai 78 kerusi.

Jika Pas tidak mempunyai kerusi majoriti dalam Parlimen maka apa juga yang diperkatakan oleh Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya hanya akan menjadi satu mimpi indah yang tidak akan kesampaian. Dalam soal ini ketegasan pucuk pimpinan Pas adalah penting terutamanya ketika pembahagian kerusi untuk PRU13 hendak dilakukan.

Pas tidak boleh tunduk kepada sebarang tekanan daripada DAP atau PKR sehingga terpaksa sekali lagi menjadi pengikut seperti mana berlaku dalam pilihan raya umum lalu. Begitu juga di peringkat negeri, Pas perlu menguasai kerusi majoriti dalam Dewan Undangan Negeri seperti mana kejayaan dicapai di Kedah dan Kelantan.

Parti itu perlu mempunyai keyakinan diri untuk bertanding di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu kerana seperti mana kata Abdul Hadi, “Sepanjang tempoh puluhan tahun kewujudan Pas ini, kita telah berjaya untuk memecahkan tembok masyarakat bukan Islam yang dahulunya merasa janggal dengan Pas.”

Bagi melaksanakan tujuan itu, Pas perlu memberi peluang kepada ahli-ahli yang berada di dalam Kelab Penyokong Pas untuk menjadi calon.

Persoalannya, mahukah DAP dan PKR memenuhi jumlah kerusi yang dituntut oleh Pas termasuklah di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu? Biarlah persoalan ini diselesaikan oleh pucuk pimpinan Pas tetapi apa yang pasti kalaulah benar Pas berhasrat menjadi peneraju kepada pemerintahan negara, inilah cabaran pertama yang harus ditempuh.

Seperkara lagi, apabila Pas membentangkan slogan bertemakan, ‘Islam Memimpin Perubahan’, parti itu haruslah melakukan usaha bersungguh-sungguh untuk membuktikan bahawa Islam bersifat universal seperti mana ditegaskan oleh Abdul Hadi bahawa “kita perlu menyedari bahawa Islam adalah sebuah addin yang lengkap dan syumul. Ia sama sekali tidak bersifat kaku, jumud dan eksklusif sebagaimana yang dikritik oleh para orientalis barat yang buruk sangka terhadap Islam.”

Kita tidak menafikan bahawa sokongan bukan Islam kepada Pas semakin meningkat tetapi dalam masa yang sama keyakinan mereka terhadap pelaksanaan kepimpinan berteraskan Islam harus diperkukuhkan. Jika mereka melihat bahawa Pas sememangnya boleh menjadi alternatif terbaik melalui pendekatan Islamnya tidak mustahil calon-calon Pas yang bertanding dalam pilihan raya akan mencapai kejayaan.

Taksub

Bagaimanapun dalam keghairahan Pas untuk menumbangkan UMNO janganlah terlalu taksub melihat apa sahaja yang dilakukan oleh parti induk Melayu itu semuanya salah. Ini kerana pendekatan seumpama itu boleh menimbulkan kebencian di kalangan rakyat.

Dalam soal ini, pemimpin-pemimpin Pas perlu bersikap terbuka, mereka perlu menyokong jika sesuatu yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO adalah betul mereka perlu menyokong tetapi kalau sebaliknya maka menegurlah dengan baik. Jangan terlalu ghairah melihat UMNO seolah-olah ‘musuh kamu yang paling nyata’

Sebagai sebuah parti politik, Pas sudah pastilah mempunyai kelemahan dan tidak semestinya segala tindakan politik mereka semuanya betul belaka, begitu juga dengan UMNO.

Pendirian memberikan teguran secara baik adalah selaras dengan pendirian Abdul Hadi yang menegaskan sebanyak dua kali dalam ucapan dasarnya bahawa; “Pas mempunyai sikap keterbukaannya untuk bertemu serta berbincang dengan sesiapa sahaja bagi kepentingan Islam dan seterusnya rakyat di dalam negara kita ini.” dan “Marilah kita melaksanakan mesej dakwah secara muwajahah silmiyyah dengan sedia berdialog, bermuzakarah dan berdebat dengan sesiapa sahaja demi merealisasikan tema ‘Islam Memimpin Perubahan’.

Oleh itu prinsip ini perlu dipegang teguh oleh semua kepimpinan dan ahli Pas. Tidak salah untuk mempunyai hasrat untuk menggantikan UMNO, malah bukanlah satu ‘dosa’ mempunyai niat sedemikian, tetapi janganlah mempunyai perasaan seolah-olah melihat segala keburukan yang berlaku di dalam negara ini adalah akibat perbuatan UMNO.

Langkah itu bersesuaian dengan penegasan Abdul Hadi kepada wartawan, kelmarin bahawa, “pada ketika ini Pas menjadi penasihat kepada kerajaan dan bukannya membangkang membuta tuli”.

Kesimpulannya, Abdul Hadi sudah pun secara terbuka menyatakan hasrat Pas untuk menjadi parti utama di negara ini, oleh itu terserahlah kepada pemimpin dan ahli Pas untuk membuat persiapan bagi merealisasikan impian beliau itu, tetapi apa yang pasti ia bukanlah sesuatu yang mudah dicapai seperti mana ‘selancar’ ia dilafazkan.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: