Skip to content

‘Brian layak jadi suami saya’-Nana

8 June, 2009

Perkenalan dalam tempoh lima tahun membawa pasangan itu ke gerbang perkahwinan. Majlis berlangsung meriah di kediaman keluarga pihak perempuan walaupun ada di antara pihak yang cuba mencetus ‘cerita’ kononnya majlis berkenaan diadakan tanpa menjemput pihak media.

LUMRAH pasangan bercinta mengakhiri hubungan mereka dengan ikatan perkahwinan. Begitulah yang dilalui pasangan penyampai radio Era FM, Nurul Hana Che Mahazan, 26 atau Nana dan pasangannya yang juga Pengurus Program Hitz FM, Mohamed Raqeem Brian Abdullah, 35 (Brian).

Ketika ditemui Rap, Nana bersyukur kerana majlis yang dirancang dalam tempoh singkat berjaya dilaksanakan dan berjalan lancar.

“Biarpun ada beberapa masalah kecil sebelum ini, namun saya gembira kerana segala yang dirancang berjalan lancar. Biarpun tanpa penaja, majlis ini tetap meriah dan cukup istimewa.

“Sebenarnya, saya sudah membuat persediaan sejak awal lagi. Mungkin kerana faktor usia sudah 26 tahun dan pada masa sama, saya berasa jodoh sudah sampai dan bertemu dengan insan yang layak dijadikan suami. Apa yang lebih penting, saya gembira dan tenang selepas segalanya selesai,” katanya.

Mengulas mengenai Brian, Nana berkata, sejak berkenalan lima tahun lalu mereka hanya berkawan sebagai rakan sekerja. Begitu pun, hubungan mereka mula serius sejak dua tahun lalu. Ternyata, Brian seorang yang baik, memahami dan pandai mengambil hati.

“Biarpun perangai saya agak `gila-gila’ namun Brian tetap sabar dan sentiasa setia melayan kerenah saya. Dia memang baik dan apa yang lebih penting dia menghormati orang lain termasuk orang tua saya,” katanya.

Brian yang berada disisinya turut memuji sikap Nana yang pemurah dan baik hati hingga membuatkan dia tidak teragak-agak untuk bertemu dengan ibu bapa Nana dan seterusnya melamar Nana pada Januari lalu.

Nana kelihatan anggun dengan busana rona putih sedondon dengan suaminya. Pasangan itu dinikahkan Imam Masjid Jamek Sultan Ibrahim merangkap Jurunikah Daerah Muar, Azman Mo’min dengan dua kali lafaz nikah di kediaman keluarga perempuan di Muar, Johor kira-kira jam 11.04 pagi, Sabtu lalu. Terdahulu majlis adat merisik dan pertunangan pasangan sejoli itu berlangsung pada sebelah paginya.

Pihak pengantin lelaki membawa wang hantaran RM21,000 termasuk tujuh hantaran lain dan dibalas dengan set gitar elektrik jenama Gibson bernilai RM10,000 bersama sembilan hantaran istimewa daripada keluarga Nana.

Selepas menghadiahkan set gitar Gibson sebagai hantaran, Nana mengabadikan hari perkahwinannya dengan kejutan menghadiahkan kereta Mercedes Benz C200 Kompressor kepada ibu tersayang, Rosnah Harun, 48.

Dengan hasrat berkongsi kegembiraan selain tanda kasih kepada keluarga yang banyak menyokong pembabitan dalam bidang seni. Malah kenderaan mewah berwarna putih itu turut dihadiahkan sempena hari lahir ibunya pada 2 Jun lalu.

Nana berkata, dia memang merancang menghadiahkan sesuatu yang cukup istimewa sempena hari lahir ibunya. Biarpun mengakui hadiah berkenaan tiada galang ganti dengan pengorbanan dan susah payah sepanjang membesarkannya.

“Memang saya sudah lama merancang untuk menghadiahkan sesuatu yang istimewa kepada ibu sempena hari lahirnya. Saya bertanya kepada bapa mengenai hadiah yang sesuai kepada ibu.

“Selepas itu bapa memaklumkan hasrat ibu untuk mendapatkan kereta baru. Saya bersetuju dan menyuruh bapa menguruskannya,” katanya.

Hadiah berkenaan disampaikan sejurus selepas majlis persandingan pasangan mempelai selesai. Ibu Nana, Rosnah Harun terharu dengan pemberian hadiah itu dan menganggap ia sebagai tanda perpisahan.

Majlis persandingan yang berlangsung pada sebelah petang turut dihadiri kenalan, saudara mara dan rakan artis. Ketibaan pengantin lelaki diarak menaiki motosikal berkuasa besar sambil dinanti dengan penuh debar oleh pasangannya. Kedua-dua keluarga pengantin turut menepung tawar dan mengabdikan foto kenangan bersama mempelai.

Mengulas mengenai perancangan berbulan madu, pasangan itu belum memikirkan tarikh dan masa sesuai untuk bercuti. Sebaliknya, masing-masing akan mula berkerja pada Rabu ini.

“Kami mungkin memikirkan lokasi percutian di tepi pantai seperti Pulau Perhentian, Maldives atau Bali. Segala perancangan berkenaan kemungkinan berlangsung selepas sambutan Aidilfitri nanti,” katanya.

Sementara itu, ibu Brian, Loreta Yong Liew Fui, 62 bersikap terbuka mengenai hubungan anaknya itu, malah dia gembira melihat anaknya bertemu jodoh dengan gadis pilihan.

“Sejak bekerja di Astro saya sudah mengetahui dia (Brian) banyak berkawan dengan orang Melayu. Malah, saya dapat berasakan jodohnya juga bersama orang Melayu,” katanya yang kali pertama bersua muka dengan Nana ketika sakit dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Bapa Nana, Che Mahazan Che Aik, 51 pula berkata, anaknya itu cukup manja dan rapat memandangkan anak perempuan tunggal dalam keluarga.

“Setiap kali dia pulang saya akan menyuruhnya memotong kuku. Memandangkan dia anak perempuan tunggal dan ini perkahwinan pertama dalam keluarga memang kami merancang mengadakannya dengan meriah.

“Saya menerima Brian dengan hati terbuka. Sebelum ini saya sentiasa menerangkan kepadanya mengenai tanggungjawab dan agama. Malah kali pertama bertemu Brian saya memerhatikan dia seorang yang sopan, menghormati orang tua dan tidak sombong,” katanya.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: