Skip to content

Ajaran sesat ayah

8 June, 2009

KUALA LUMPUR: Usianya baru 13 tahun dan sepatutnya menghabiskan masa di sekolah, namun sungguh mengejutkan kerana dia mengaku tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah, sebaliknya ‘sekolah’nya selama ini ialah premis mesin judi haram.

Tidak kira siang atau malam, di situlah remaja itu yang hanya mahu dikenali dengan nama Irwan ‘bersekolah’ dan ‘gurunya’ pula mesin judi kuda, ‘jackpot’, ‘badut’, ‘kungfu’ serta meja snuker sehingga dia mampu ‘mencari makan’ dengan permainan judi snuker ‘lucky ball’.

Selama dua minggu wartawan Metro Ahad memantau gerak-geri Irwan di kawasan sekitar Puchong sebelum berjaya mendekatinya hingga bersedia ditemubual.

Menurut Irwan, dia tidak pernah bersekolah dan menetap bersama bapanya yang tidak bekerja.

“Saya ‘anak terbiar’. Bapa saya juga seperti saya… menghabiskan masa di premis mesin judi. Kami menyewa bilik, tetapi biasanya saya tidur di pusat judi,” katanya.

Irwan mengakui dia buntu memikirkan masa depannya dan seboleh-bolehnya tidak mahu terus hidup begitu.

“Saya teringin sangat hendak bersekolah, tetapi nak buat macam mana. Kebanyakan kawan saya juga ‘rosak’ sebab sepenuh masa dihabiskan di premis mesin judi.

“Tiada siapa mahu membimbing saya. Saya tidak tahu saya akan jadi apa apabila dewasa nanti,” katanya.

Irwan berkata, dia mula mengenali mesin judi dan snuker sejak berusia 10 tahun apabila kerap mengikuti ayahnya ke premis judi.

“Saya tidak sekolah, lalu apa yang boleh saya buat melainkan ikut ayah ke tempat seperti itu. Sejak itu saya mula mengenali mesin judi dan snuker.

“Apabila ayah beri wang, saya mencuba nasib. Kadangkala jika ayah ada duit lebih, dia beri saya wang dan suruh saya main,” katanya.

Menurut Irwan, sejak itu dia menjadi ketagih bermain mesin judi terutama judi kuda, kerana modalnya hanya RM1.

“Menang main kuda tidaklah banyak. Masuk RM1 kalau kena pilihan dapatlah RM4. Kadangkala kalau pilihan bagus boleh kena sehingga RM500.

“Menang besar, main pula mesin lain seperti ‘jackpot’, ‘badut’ dan ‘kungfu’. Masuk RM10 atau RM20 sekali jalan. Kalau nasib baik boleh dapat untung sehingga RM200,” katanya.

Irwan berkata, dari usia 10 hingga 13 tahun begitulah rutin hariannya sehingga dia mahir bermain snuker dan mencari makan dengan permainan itu.

“Saya mampu mengalahkan orang dewasa. Jika bermain judi snuker ‘lucky ball’, saya selalu menang dan kadangkala ambil upah mainkan untuk orang,” katanya.

Menurut Irwan, lumrah berjudi, dia selalu kalah daripada menang sehingga terpaksa meminta simpati orang lain untuk makan dan minum.

“Kadangkala wang ada RM2, semua dihabiskan ke mesin kuda. Kesudahannya, nak makan pun tiada wang. Harapkan ayah, ayah tak peduli sebab dia selalu tiada wang dan jika ada wang, semuanya lebur di mesin judi. Kami dua beranak memang mencari ‘rezeki’ dengan bermain mesin judi,” katanya.

Irwan berkata, selain mencari wang dengan berjudi, dia juga sanggup menjadi kuli pelanggan premis mesin judi.

“Saya sedia disuruh membeli rokok atau makanan. Kalau ada pelanggan yang baik, saya dapat upah, tetapi jika yang buat tak tahu saja, upahnya adalah lebihan wang yang diberi dalam jumlah beberapa sen saja.

“Wang upah itulah saya gunakan untuk membeli makanan dan minuman, tetapi biasanya wang itu lebur dibuat berjudi,” katanya.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: