Skip to content

‘Dulu saya pemalu’-Shaheizy

8 June, 2009

Shaheizy Sam sudah 15 tahun menjadi pelakon tetapi kini baru dikenali ramai

BUKAN sombong, jauh sekali mendabik dada. Sebaliknya, sikap pemalu yang menebal dalam diri Shaheizy Sam membataskan pergaulannya dengan rakan pelakon, karyawan seni dan wartawan. Malah, suatu ketika dulu, pelakon filem komedi seram, Jangan Pandang Belakang Congkak (JPBC) ini pernah dicop kurang mesra media berikutan jarang mendapat publisiti.


Shaheizy Sam


Kalau diikutkan, Shaheizy bukanlah orang baru dalam dunia seni. Malah, anak kepada pelakon veteran, Khaty Fauziah itu sudah lebih 15 tahun bergelumang dalam pentas hiburan. Shaheizy diperkenalkan menerusi filem Sama Tak Serupa ketika berusia 11 tahun. Namanya mula bercahaya selepas membintangi drama popular, Pa’e pada era pertengahan 90-an. Bagaimanapun, perjalanan seni Shaheizy agak perlahan berbanding kakaknya, pelakon Zizie Ezette. Dan sikap pemalu itulah membataskan segala-galanya.

Secara jujur, Shaheizy berkata: “Saya akui kurang mesra media disebabkan sikap pemalu yang menebal dalam diri. Saya malu mahu menonjolkan diri saya sehingga saya jarang mendapat publisiti walaupun sudah lebih 15 tahun bergelar anak seni.

“Mulanya sukar saya nak buang sifat pemalu, sehingga kini saya masih malu berdepan dengan orang luar tetapi lama kelamaan sifat itu beransur hilang. Ada ketikanya rakan pelakon anggap saya sombong kerana saya selalu menyendiri dan kurang senyum, tetapi mereka tak tahu saya seorang pemalu.

“Peliknya apabila di depan kamera boleh pula saya berlakon. Mungkin juga disebabkan bila berlakon saya menjadi orang lain, bukan Shaheizy Sam. Dulu, saya jarang mendapat tawaran berlakon, boleh dikira… adalah dua atau tiga drama saja dalam setahun. Semuanya sebab sifat malu keterlaluan.

“Saya bukan hanya dicop kurang mesra media, malah rakan pelakon, pengarah atau penerbit pun sukar mendekati saya. Faktor itu jugalah membuatkan kerjaya lakonan saya bergerak perlahan. Bagaimanapun, masa mengubah segala-galanya, saya kini semakin matang melalui arus perubahan hidup. Alhamdullilah, selepas sifat pemalu saya dapat dikikis sedikit demi sedikit, tawaran berlakon drama dan filem semakin mencurah-curah diterima.”

Sejak dua tahun lalu, wajah Shaheizy kerap muncul di kaca TV, malah dia juga membintangi enam filem dalam tempoh singkat. Selepas Sama Tak Serupa pada 1994, nama Shaheizy mula menjadi sebutan ramai sehingga ada yang menganggapnya hero Melayu terbaru apabila membintangi filem Bohsia… Jangan Pilih Jalan Hitam arahan Syamsul Yusof yang berjaya mencapai kutipan RM4.5 juta, baru-baru ini.

Terbaru, Shaheizy muncul dalam filem Syurga Cinta, diikuti Jangan Pandang Belakang Congkak yang kini sedang hangat ditayangkan di seluruh negara. Selepas ini, aksinya juga bakal dilihat dalam filem Evolusi KL Drift 2 dan Rempit Nan Sempit.

Shaheizy juga berkata, dia juga seorang teliti dan mementingkan kesempurnaan dalam lakonan. Setiap watak dilakonkan tidak dilakukan sambil lewa kerana dia seorang yang mementingkan kepuasan diri.

Sambil tersenyum, Shaheizy akui: “Saya memang seorang pemilih dan ingin kesempurnaan dalam apa juga yang dilakukan. Saya akan kaji watak diberikan dan suka tampil dengan kelainan. Saya akan pastikan watak lakonan saya meninggalkan kesan. Saya juga tidak boleh melakukan dua kerja dalam satu masa. Saya tidak mahu tumpuan terganggu apabila terpaksa berkejar-kejar ke dua lokasi. Saya bukan anggap kerjaya lakonan sebagai hobi, sebaliknya inilah kerjaya saya. Apa saja yang saya buat kena ada kejujuran.

“Sejak dulu, saya sentiasa belajar mengenai lakonan, pastinya ada kelemahan yang perlu diperbaiki. Dan tentunya kerusi pengarah menjadi impian saya suatu ketika nanti bila sudah cukup ilmu di dada,” katanya.

Menyentuh mengenai filem terbarunya, Jangan Pandang Belakang Congkak arahan Ahmad Idham dan terbitan MIG, Shaheizy berkata, watak Johan dan hantu raya yang dilakonkan menampilkan kelainan berbanding filem sebelum ini.

Filem yang berada di pawagam sejak 4 Jun lalu itu menggandingkannya dengan dua pelakon komedi berpengalaman iaitu Mazlan Pet Pet dan Cat Farish, selain Lisa Surihani, Zarina AF, Mas Muhaini, Dina (Malaysian Idol), Azlee Senario, Den Wahab, Bob Kuman dan Piee.

“Saya bukan seorang yang komedi, tetapi bila bergandingan dengan dua nama besar dalam dunia komedi iaitu Mazlan Pet Pet dan Cat Farish, saya perlu lakukan sesuatu untuk melihat lakonan saya tidak ketinggalan. Alhamdullilah, saya mampu melakukannya. Sejak dulu, saya seorang yang suka berimaginasi bila ditawarkan sesuatu watak. Saya akan kaji karakter yang diberikan untuk mendapat rasa, jadi bila dapat watak Johan dan hantu raya, saya tidak boleh ikut sebagaimana karakter Mazlan dan Cat.

“Saya jadi seorang yang berkarakter `sengal’ dan lembap dalam filem ini. Saya juga jarang mendekati Mazlan dan Cat ketika di lokasi kerana tidak mahu terikut-ikut karakter mereka yang lucu dan sentiasa buat saya ketawa macam nak pecah perut. Saya juga tidak suka komedi dibuat-buat, jadi saya perlu banyak berimaginasi untuk memastikan saya boleh bergandingan dengan dua pelawak in,” kata pemuda berusia 26 tahun itu.

One Comment leave one →
  1. sha permalink
    17 September, 2010 am

    sedangkan rasullah juge seorang yang pemalu,jada sikap pemalu itu adalah sikap yang mulia dan patut diamalkan.jadi sikap pemalu tak mudah dibuang…..tak pe,malu malu jugak, tapi harus bermanis muka dan mesra alam ye….orang kata senyum membuka pintu rezeki.tak gitu?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: