Skip to content

Lisa ‘pelajari’ ilmu hitam

8 June, 2009

Pelakon Jangan Pandang Belakang Congkak mengakui demam ketika pengambaran

SUKAR buat Lisa Surihani melupakan peristiwa pelik yang berlaku ketika menjalani penggambaran filem terbaru, Jangan Pandang Belakang Congkak (JPBC) sekitar Perlis. Bukan hanya terkena cirit birit selama tiga hari, malah lebih teruk Lisa turut demam panas sehingga mengganggu tumpuan pada lakonan.


Lisa (kiri) dan Zarina jelitawan Jangan Pandang Belakang Congkak.

Yang peliknya, hanya pelakon utama dan pengarah saja terkena cirit birit dan demam, manakala krew penerbitan yang menjamah sama hidangan tidak terkena. Lebih misteri apabila perut masing-masing mula bergelora dan kesakitan setiap jam tiga hingga tujuh pagi hingga mereka tidak mampu melelapkan mata. Berkali-kali ke klinik dan makan apa saja ubat, tetapi perut tetap bergelora di awal pagi. Ketika itu, penggambaran dilakukan di Gua Cenderawasih, Perlis.

Sambil tersenyum, Lisa akui: “Kalau ikutkan saya memang sudah tidak berdaya selepas tiga malam tak tidur lena dan terkena cirit birit. Berkali-kali saya terpaksa berulang ke tandas sehingga badan saya jadi lemah. Keesokannya pula saya terpaksa bangun awal pagi dan shooting pula.

“Yang peliknya, pada siang hari tidak pula saya sakit perut, sebaliknya bermula jam 3 pagi hingga 7 pagi pagi, ketika mahu berehat dan melelapkan mata, perut saya mula meragam. Saya pergi ke klinik tetapi ubat yang diberi tidak memberi apa-apa kesan. Saya makan pula ubat lain, tetapi tetap cirit birit. Berat badan saya juga turun secara mendadak apabila terkena cirit birit dan tidak tidur malam.

“Saya juga hairan apabila hanya saya, pengarah Ahmad Idham dan Dina saja terkena penyakit ini, pelakon dan krew lain tidak pula berdepan apa-apa masalah sedangkan kami menikmati makanan sama. Lebih parah, saya terkena demam panas selepas berendam dalam air di Bukit Air, Perlis selama sembilan jam, bermula jam 8 malam hingga 5 pagi.

“Bayangkan dalam keadaan demam teruk dan baru pulih cirit birit, saya terpaksa gagahkan hati meneruskan penggambaran filem JPBC. Saya sanggup ketepikan soal kesihatan demi watak Mustika, seorang pengamal ilmu hitam. Saya akui sudah sedaya upaya melakonkan watak Mustika dengan sempurna, masalah kesihatan sedikit menjejaskan penghayatan saya. Apapun, saya puas mampu melakukan yang terbaik.”

Gadis berusia 23 tahun yang dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan aktor dan pengarah, Farid Kamil itu mengakui pengalamannya berdamping dengan ular juga adalah perkara cukup menyeksakan. Nasiblah Mazlan Pet Pet dan penjaga ular berkenaan banyak membantu menghilangkan rasa geli dan takut pada binatang itu.

Secara jujur, Lisa berkata: “Saya akui saya memang penakut, saya jarang menyaksikan filem hantu tetapi apabila produser, David Teo menawarkan watak Mustika, saya perlu ambil cabaran ini. Apatah lagi saya terpaksa bergelumang dengan ular dalam beberapa babak.

“Saya pegang cabaran David dan perlu mempelbagai watak dalam lakonan saya walaupun saya tahu, saya bukanlah seorang yang berani. Bukan seekor ular yang terpaksa saya pegang malah ada tiga, nasiblah Mazlan dan penjaga ular berkenaan memberi tunjuk ajar bagaimana menundukkan ular supaya tidak membelit tubuh saya. Tangan saya menggeletar ketika memegang ular-ular itu, tetapi saya tekad saja.

“Ini juga pengalaman pertama saya membawa watak antagonis. Walaupun kurang arif mengenai ilmu hitam dan bacaan mantera, tetapi saya mendapat banyak pendedahan yang menarik.”

Zarina seram membasuh di tepi sungai

Pelakon Zarina Zainoordin pula berkata, empat lokasi penggambaran JPBC di Gua Kelam, Wang Kelian, Bukit Air dan Gua Cenderawasih sekitar Perlis memang menyeramkan, apatah lagi tempat berkenaan dianggap keras.

Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur tidak berdepan apa-apa peristiwa pelik sepanjang berada di lokasi berkenaan.

“Saya tak mengamalkan apa-apa petua sepanjang berada di lokasi berkenaan, cuma saya sentiasa beringat dan mengamalkan membaca ayat al-Quran jika rasa tak sedap hati. Saya juga sentiasa menjaga tutur kata dan mengelak ketawa atau membuat bising ketika di lokasi.

“Saya juga mengikut petua orang tua meminta izin terlebih dulu ketika sampai di mana-mana lokasi yang dianggap menyeramkan. Alhamdullilah, saya sihat dan tidak terkena cirit birit atau demam seperti Lisa, Dina dan Idham. Sepanjang dengan mereka, saya tahu mereka juga tidak melanggar pantang larang tetapi nasib tidak menyebelahi, saya diberitahu ada yang tidak senang hati dengan kehadiran mereka.

“Apapun saya bersyukur filem JPBC berjaya disiapkan dalam masa yang ditetapkan walaupun berdepan dengan sedikit ujian getir,” katanya yang memegang watak sebagai Wati, kekasih kepada Punai (Mazlan).

Zarina yang sebelum ini pernah muncul dalam filem Cinta Fotokopi, Gol & Gincu, Pontianak Menjerit berkata, dia hanya berdepan dengan sedikit masalah apabila melakonkan watak gadis kampung. Selain disuruh menyanyi, saat yang paling menyeksakan apabila terpaksa memakai kain batik dan membasuh pakaian di sungai.

“Bukanlah lupa diri, tetapi saya memang tak pernah memakai kain batik. Saya terpaksa meminta krew membantu. Saya juga tak pernah mencuci pakaian di sungai tetapi ia adalah pengalaman manis yang tidak akan saya lupakan. Dalam satu babak, wajah saya disolek hodoh selama dua jam, tetapi penggambaran dijalankan mengambil masa tak sampai dua minit. Memang memenatkan.

“Bagaimanapun, saya akui terpaksa melakukan sesuatu bagi watak saya sebagai kekasih Mazlan nampak benar-benar berkesan. Bila berdamping dengan seorang pelawak yang agresif, saya perlu memastikan lakonan saya tidak ketinggalan atau hambar. Saya berterima kasih pada Idham dan Mazlan yang memberi tunjuk ajar pada saya,” katanya.

2 Comments leave one →
  1. PlanetLeo.com permalink
    8 June, 2009 am

    comel gak dia ni!!

  2. 8 June, 2009 pm

    Lisa ni dulu kawan Borak Sakan…waktu zaman universiti dulu…skrg ni dah tak contact dah…dia pun makin famous kan…huhuhu…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: