Skip to content

Protege Adam

8 June, 2009

Bad Boyz jadi pertaruhan sulung bekas pelajar Akademi Fantasia untuk teruskan legasi seni

IMPIAN untuk mengejar cita-cita seperti artis pujaan dan kebanggaannya selama ini iaitu KRU sudah pasti menjadi kenyataan. Laluan getir yang harus dihadapi sejak bergelar artis termasuk onak duri berliku ditangani hebat tanpa sebarang penyesalan. Buktinya, hayat jejaka itu masih relevan.


BAD BOYZ senang bekerja dengan Adam.


Malah, bukan lagi bicara kosong, Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman kini sudah mempunyai artis naungannya sendiri seperti idolanya itu. Kumpulan Bad Boyz menjadi pertaruhan sulung Adam bagi meneruskan legasi seninya. Mimi yang pernah menyertai My Star LG pun bakal disunting Adam tidak lama lagi.

Melonjak selepas menempa populariti sebagai pemenang ketiga pertandingan realiti Akademi Fantasia musim kedua, jejaka berusia 25 tahun itu pantas mengumpul dan menitip pengalaman yang ditimba bersama kumpulan trio tiga beradik itu.

Bijak mengorak langkah demi masa depan yang terjamin, jejaka kelahiran Inanam, Kota Kinabalu, Sabah, Adam sudah pun bergelar usahawan muda selepas menubuhkan Aico Entertainment selain memiliki studio tarian sendiri. Perkataan Bad itu sendiri memberi definisi tertentu iaitu Budak Ada Disiplin.

“Adam tidak boleh berpuas hati dengan apa yang dimiliki. Dengan dunia sekarang yang tidak menentu, Adam harus bijak mencuri peluang di depan mata bagi memastikan survival. Selain kepada diri sendiri, tumpuan sekarang perlu diberikan kepada kumpulan Bad Boyz.

ADAM

“Inisiatif Adam mengambil mereka yang mulanya berasal sebagai penari dari Sabah terdetik memandangkan di Malaysia sudah jarang kumpulan penari yang boleh menyanyi. Lalu, terhasillah konsep muzik yang diberi pop shuffle yang pertama kali diperkenalkan di Malaysia. Berkat pendedahan awal yang Adam berikan kepada mereka di siri jelajah Power Root dan promosi album, kelibat mereka (Bad Boyz) sudah mula diperhatikan.

“Kini Adam rancak merancang fotografi bagi publisiti pengenalan untuk mereka. Single pertama mereka ciptaan Adam sendiri berjudul Pacar Pisau Cukur pun sudah mula diputarkan di beberapa stesen radio. Insya-Allah mereka akan muncul dengan album single memuatkan tiga buah lagu tak lama lagi,” katanya sambil memberitahu album single itu turut akan dijual secara terus ketika mengadakan persembahan.

Tertubuh awal 2008, mulanya kumpulan ini dianggotai empat orang anak muda termasuk cebisan kumpulan Evoke yang pernah menyertai Gang Starz musim pertama yang juga menampilkan Stacy sebelum dia bergelar juara Akademi Fantasia musim keenam.

Selepas Stacy membawa haluan sendiri, Evoke diteruskan oleh Marlon (21), Yandy (25) dan abang kepada Stacy, Chaq. Selepas diuji bakat oleh Adam, Ry’an (21) menyertai jentera kumpulan itu dan dinamakan sebagai Bad Boyz. Bagaimanapun, kini Bad Boyz kekal bertiga selepas Chak mengambil keputusan nekad menyertai Mentor musim terbaru menjadi protege kepada komposer Ajai.

“Mengikuti peredaran zaman remaja, lalu konsep shuffle menjadi pilihan. Apa terjadi, Bad Boyz masih perlu diperjuangkan biarpun tanpa Chaq di sisi yang ingin tampil solo. Selepas lagu Pacar Pisau Cukur, single kedua Sayang Ku Janji menyusul kini dan bakal diikuti dengan Bila Kau Tiada (single ketiga). Insya-Allah projek Adam dengan kumpulan Esdco akan dilaksanakan selepas itu,” katanya yang bakal muncul dengan single terbaru berjudul Kau.

Selain bergelar komposer, Adam kini turut bergelar pengarah muda menghasilkan telefilem yang diolah skripnya sendiri di bantu kawannya. Telefilem superhero itu turut menampilkan Adam sebagai teraju utama dan diberi judul Wira Malam Bisikan Naga.

“Adam turut memperkenalkan Bad Boyz dan Mimi dalam telefilem sulung itu. Insya-Allah telefilem itu akan disiarkan Jun ini di Astro Ria. Telefilem itu mendapat kerjasama dan kepercayaan Curio Communication dan Astro,” kata Adam yang baru saja selesai penggambaran filem Dimensi Cinta arahan Eddie Pak.

Terus berjuang tanpa Chaq

SEWAKTU fotografi ini berlangsung, terdengar panggilan bos yang digunakan kumpulan Bad Boyz kemudian disahut Adam. Begitu erat silaturahim mereka, bagaikan adik beradik. Keserasian itu juga jelas sekali tidak menyukarkan fotografi ini dikendalikan kerana kemampuan mereka menghayun langkah tarian sedikit sebanyak memudahkan pos digayakan.

Begitu menghargai usaha, bantuan dan pelaburan yang diberikan Adam, mereka sebaik mungkin tidak akan mempersiakan peluang yang diberi. Walaupun baru saja ‘kehilangan’ Chaq, mereka tidak sesekali bermusuh dengannya kerana yakin itu pilihannya.

Kata Ry’an, pada mulanya perasaan kecewa mula menyelinap dalam hati dek tindakan Chaq, namun kesungguhan Adam membuatkan mereka terus kental membawa jenama Band Boyz secara bertiga.

“Tipulah kalau saya cakap tak kecewa dengan tindakan Chaq. Bayangkan selepas bertahun-tahun bersama dan mula dikenali dengan Bad Boyz. Malah beberapa proses termasuk menghasilkan klip video sudah dilakukan bersamanya. Namun apakan daya, sudah rezeki dia menyertai Mentor. Kami tak mahu sekat rezekinya.

“Di bawah pengurusan Adam, dialah yang menjaga makan minum dan penginapan. Pendek kata, semua ditanggung beres. Ini namanya situasi menang-menang dan kami tidak sesekali akan melupakan jasa baiknya. Dialah yang mengambil kami untuk menjadi penari pengiringnya dan kemudian dia nak tolong kami bikin album pula,” kata Ry’an yang sudah dua tahun lebih membabitkan diri sebagai penari.

Sementara itu, Marlon yang sudah mula menari sejak usia 16 tahun meletakkan harapan yang tinggi terhadap Bad Boyz. Mengenai Chaq, Marlon berkata biar sedikit terkecil hati dengan langkahnya menyertai Mentor, Marlon yakin semuanya perlu diabaikan demi masa depannya.

“Biarpun sekarang kita lihat kebangkitan band indie yang mula menerjah pasaran arus perdana, ia bukan alasan untuk kami yang memperjuangkan konsep berlainan mencuba nasib dan menguji pasaran. Dengan kemampuan kami menari shuffle dan menyanyi secara vokal harmoni, ia antara kelainan yang dapat kami tawarkan kepada peminat,” kata Marlon.

Manakala bagi Yandy, pada peringkat permulaan memang diakui mereka agak sukar membiasakan diri tanpa Chaq. Namun, seiring perjalanan masa, mereka kini sudah mula membiasakan diri.

“Pada mulanya, saya sendiri tidak bersetuju dengan keputusannya menyertai pertandingan realiti itu. Kalau pun saya di tempatnya, saya mungkin tidak akan melakukan perkara terbabit. Bayangkan kumpulan Bad Boyz sudah bersedia untuk melangkah dengan lagu dan klip video yang sudah siap, dia pula berbuat demikian.

“Kasihan juga dekat Adam yang sudah melabur banyak wang ringgit untuk kami. Tapi apa perlu mengenang lagi perkara ini kerana kami perlu memandang ke depan. Sebagai kawan, saya dan yang lain mendoakan kejayaan Chak dan berharap silaturahim antara kami akan terus kekal bersatu,” kata Yandy yang senang bekerja dan sekepala dengan Adam.

INFO: Kata Adam

  • Shuffle mula meledak dari Melbourne, Australia. Shuffle lebih banyak memberi penekanan kepada gerakan dan langkah kaki. Malah, istilah tetonic pun ada tapi lebih menggunakan kekuatan tangan. Demi kelainan, maka konsep pop digandingkan dengan shuffle.
  • Pernah mencipta lagu sendiri untuk albumnya sebelum ini menerusi beberapa deretan lagi seperti Hai dan Ku Bertanya. Sebagai kesinambungan, Adam turut mencipta lagu hasil nukilan sendiri untuk Bad Boyz.
  • Bad itu turut mempunyai maksud akronim tersendiri iaitu Budak Ada Disiplin dan sudah lama Adam memendam perasaan untuk menggunakan nama itu dan akhirnya ia dilampiaskan menerusi jenama artis sulung di bawah naungan syarikatnya.
One Comment leave one →
  1. 10 July, 2009 pm

    hye…bad boyz…!aQ mnat kat korang sngt2 tauuu……….! n aQ mnat sngt kat yandi..hehe..gpun korang ne suma humble2 guy la kan……aQ suka sngt kat korang ne x sombong la kan…juz, marlon je la kot..huhuhu…but itz okey aQ still mnat kat korang….!! so gud luck la erk..! daaaaa………………….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: