Skip to content

Sedar populariti tak kekal lama

8 June, 2009

Anak Wayang bakal memaparkan sandiwara 25 peserta yang akan bertanding demi merebut gelaran bintang lakonan Anak Wayang Astro menerusi pencarian dalam drama bersiri Kecuali Cintamu, manakala Pilih Kasih yang disiarkan menerusi TV2 akan menampilkan 20 peserta diserap ke akademi lakonan

arian.com.my

PROGRAM realiti nyanyian sebelum ini sudah banyak melahirkan bintang baru yang kini bergelar penyanyi, pelakon, pengacara TV dan penyampai radio. Justeru, menyemarakkan lagi industri hiburan tempatan yang ketandusan bintang pelapis, maka wujudlah dua program realiti yang kini berteraskan bakat lakonan semata-mata iaitu Anak Wayang terbitan Astro dan Pilih Kasih yang diilhamkan aktor terkenal, Rosyam Nor.

Anak Wayang bakal memaparkan sandiwara 25 peserta yang akan bertanding demi merebut gelaran bintang lakonan Anak Wayang Astro menerusi pencarian dalam drama bersiri Kecuali Cintamu, manakala Pilih Kasih yang disiarkan menerusi TV2 akan menampilkan 20 peserta diserap masuk ke akademi lakonan untuk melatih bakat baru menjadi pelakon versatil membintangi filem Kekasih dan dua drama bersiri sebagai tugasan mingguan.

Namun, tidak lengkap sebuah program realiti tanpa pengacara yang bijak mengendalikan perjalanannya. Memandangkan Anak Wayang dan Pilih Kasih menampilkan konsep hampir sama iaitu SMS – ‘jari menjadi juri’, maka aktres jelita, Nur Fazura diberi tanggung jawab sebagai hos Anak Wayang, sementara bakat baru dunia hiburan, Pasha diberi kepercayaan mengendalikan Pilih Kasih, sekali gus digandingkan dalam fotografi ini.

Fazura, 26, akan mengendalikan segmen Sesi Anak Wayang setiap Isnin hingga Rabu jam 9.30 malam di Astro Ria dan pasangannya aktor terkenal, Rusdi Ramli dalam Pentas Anak Wayang. Manakala bakat Pasha, 21, boleh dinilai apabila melihatnya muncul dalam Kisah Pilih Kasih, setiap Isnin hingga Khamis, jam 4.30 petang menerusi TV2. Siaran langsung Pilih Kasih pula akan dikendali Raja Azura dan Reza Era FM.

Penulis mula mengenali Fazura ketika dia masih berusia 19 tahun dan hari ini, industri lakonan menyaksikan kemunculan ramai bakat baru. Nama Fazura dikatakan semakin kelam ditenggelami glamor dan populariti artis wajah baru yang menjadi pilihan pengarah serta produser.

“Saya sememangnya sudah lama menjangkakan hal ini, semakin hari, semakin ramai muka baru muncul di pentas lakonan. Ini satu perkembangan yang sihat. Saya buat Anak Wayang pun sebab nak tengok muka baru sebagai pelakon. Aktor mahupun aktres datang dan pergi setiap masa. Ia keadaan yang pasti berlaku dalam dunia lakonan.

“Kita kena terima hakikat dan harus sedar sendiri, industri memerlukan wajah segar. Apabila orang dah tak nak tengok kita di kaca TV mahupun layar lebar, saya sebagai pelakon harus bersedia menghadapinya. Buatlah persediaan sewajarnya menjelang hari mendatang, saat populariti kita semakin dilupai. Kini, saya masih mencari peluang perniagaan sebagai persediaan masa depan,” kata Fazura yang semakin cantik dan ramping.

Suatu ketika dulu, gosip mendakwa Fazura sudah menemui cinta baru. Pemuda yang dikatakan berjaya bertakhta di hati Fazura bukan

insan biasa, sebaliknya kerabat diraja Pahang. Fazura pernah mengaku berkawan dengan Tengku Bakar atau lebih mesra dengan panggilan Tengku Burn atau Tengku B, 24. Difahamkan, Tengku B masih menuntut di Melbourne, Australia. Namun, hari ini tiada lagi cinta antara mereka.

Putus cinta dengan Tengku B

“Selepas dua tahun kami berkawan rapat, hari ini semua itu menjadi kenangan terindah. Saya dah tak ada apa-apa hubungan dengannya (Tengku B). Dia masih belajar, saya pula sudah bekerja. Justeru, saya berasakan hubungan kami seolah-olah tak ada masa depan. Dalam usia hari ini, sewajarnya saya mencari teman hidup yang sudah bekerja,” katanya berterus-terang.

Pada masa sama, Fazura dikatakan berkawan baik dengan seseorang yang sentiasa berada di sisinya selama tiga tahun kebelakangan ini, namun dia tidak menyedari keadaan itu. Fazura juga tidak menyedari pemuda berkenaan menyukainya. Tambah Fazura, pemuda itu menyayanginya kerana dia sebagai Nur Fazura, bukan aktres yang dikenali ramai.

“Memang dia rapat dengan saya, tapi nak kata dia kekasih, biarlah masa menentukannya, saya juga belum bersedia mendedahkan identitinya. Sekiranya kami bercinta, mahupun baru nak bertunang, saya tak nak heboh-heboh. Orang tak berminat nak tahu pun perkara yang belum pasti. Lagipun kalau tak jadi, buat malu saja! Bagi saya, ‘esok’ nak kahwin, baru saya pukul canang berita di media massa,” kata Fazura lagi.

Terdengar desas-desas Fazura pernah ‘perang dingin’ dengan seorang selebriti popular awal tahun ini gara-gara ‘mulut jahat’ orang sekeliling. Sejauh mana kesahihannya?

“Saya sudah melupakan perkara itu kerana selepas diselidiki, dia bukanlah orang yang membawa mulut memburuk-burukkan nama saya. Akhirnya saya dapat tahu ada orang sekeliling yang cuba melaga-lagakan kami, semuanya gara-gara mulut jahat. Saya mengharapkan hubungan dengan selebriti popular itu akan segera pulih.

“Paling penting, saya tak mahu ambil peduli apa orang nak cakap, saya tak nak dengar cakap-cakap orang lain yang bertujuan negatif. Sewajarnya saya fikir yang positif saja, hati pun tak sakit,” kata Fazura mengakhiri bicara.

Pasha sudah berpunya

Sementara itu, kemunculan Pasha dalam industri hiburan segala-galanya baru baginya. Dia tidak pernah terbabit dalam sebarang aktiviti seni sebelum ini, namun Rosyam memberinya peluang. Sesi fotografi bersama Fazura adalah kali pertama baginya untuk beraksi bagi gambar muka depan ruangan hiburan. Pasha tidak pernah bermimpi digandingkan bersama Fazura yang sebelum ini hanya dilihatnya di kaca TV dan filem saja.

“Pilih Kasih adalah jambatan penghubung saya kepada dunia seni. Kepercayaan yang diberikan Rosyam tidak akan dipersiakan. Saya seronok dapat bercakap depan kamera, mengawal mood penonton dan memperoleh banyak ilmu. Selepas habis belajar, barulah saya tahu, pengacaraan adalah jiwa saya dan akan membuktikannya, kerjaya ini boleh memberi jaminan,” katanya yang mengagumi bakat pengacara seperti Datuk Mahathir Lokman.

Bergelar selebriti yang bakal dikenali ramai, Pasha akan berdepan ‘makanan’ anak seni, gosip dan kontroversi. Ia tidak semudah disangka, bukan hanya glamor dan populariti mengejar mereka, tapi jika tersilap langkah, terlanjur kata-kata, tiada siapa menduga, mungkin ia akan dicemuh dan dipulaukan peminat dan pihak dalam industri!

“Harap-harap ia tidak berlaku pada diri saya. Bagi saya, yang penting buat saja kerja kita, jangan kacau orang. Sentiasa jadi diri sendiri dan jangan plastik (berpura-pura),” kata Pasha yang mengakui dirinya sudah berpunya dan hanya mahu memperkenalkan temannya itu sebagai I saja.

  • Info FazuraNAMA PENUH: Nur Fazura Sharifuddin

    TARIKH LAHIR: 27 September 1983

    ASAL: Pekan, Pahang

    KELUARGA: Anak ketiga daripada empat beradik

    IKLAN: Pantene dan Kalsio Sweets

    DUTA: Olay

    PROGRAM TV: Teensworld (TV2), MTV Jus, MTV Pop Inc dan Anak Wayang (Astro)

    FILEM: Bicara Hati, Qaisy & Laila, Senario XX, Gol & Gincu, Kayangan, Selamat Pagi Cinta!, Kantoi, Pisau Cukur dan Lagenda Budak Setan

    DRAMA: Inspirion, Dalam Hati Ada Cinta, Kasih Suci, Datin Diaries, Gol & Gincu The Series, Rendang Untuk Mentua dan Ezora

    PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-17 (FFM17)

  • Info PashaNAMA PENUH: Pasha Abdul Rahim

    TARIKH LAHIR: 1 Disember 1987

    ASAL: Lahir di Kuala Lumpur, namun dibesarkan di Klang, Selangor

    KELUARGA: Bongsu daripada dua beradik

    PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Selangor

    KERJAYA ASAL: Eksekutif Pemasaran di sebuah syarikat perunding pemasaran

    PROFESION: Pengacara

    PROGRAM TV: Pilih Kasih (TV2)

  • No comments yet

    Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: