Skip to content

Tomok jadi motosikal

8 June, 2009

Walaupun dia masih sibuk dalam proses rakaman album sulung, tetapi rezeki Tomok tidak putus.

Bagi peminat Tomok, penyanyi berusia 24 tahun ini membawa berita gembira apabila dia bersetuju membintangi filem baru, Mantera yang akan memulakan penggambaran pada 23 Julai nanti.

SEBULAN selepas bergelar jutawan segera, perjalanan karier seni Shah Indrawan Ismail atau Tomok, juara program realiti, One In A Million musim ketiga (OIAM3), terus berkembang.

Menariknya, kemunculan kedua Tomok di layar perak kali ini berbeza dengan pengalaman ketika menjadi pelakon pembantu filem seram, Makar lima tahun lalu.

Tomok diberi kepercayaan oleh produksi Flare Studios Sdn Bhd yang bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Spacetoon Russia memegang watak utama iaitu superhero dikenali Mantera.

Superhero ini yang turut dikenali sebagai Azman menggandingkan Tomok bersama seorang pelakon wanita dari Russia.

Pelakon tempatan lain yang terbabit adalah Lisa Surihani dan Hairie Othman.

Kata Tomok, dia teruja sebaik mendapat tawaran berlakon filem dan tidak menunggu masa lama untuk memberi persetujuan.

Dia menganggap tawaran filem itu yang hadir selepas dia menang OIAM3 sebagai peluang besar yang tidak seharusnya dilepaskan.

“Saya berpandangan plot filem ini menarik dan mampu memberi tarikan kepada golongan muda untuk menonton. Walaupun saya kurang pengalaman lakon, tetapi saya berusaha untuk berikan lakonan terbaik dan belajar daripada pengalaman pelakon lain.

“Peluang seperti berlakon filem ini tidak datang selalu. Namun, saya tidak lupa dengan matlamat saya dalam bidang nyanyian untuk menyiapkan album solo saya.

“Apa yang saya harapkan, kedua-dua kerjaya ini berjalan lancar,” katanya.

Lisa pula menganggap filem itu mempunyai kelebihan dari aspek kerjasama antara kedua-dua negara yang memberi peluang kepada pelakon untuk menimba pengalaman baru dengan produksi luar negara.

Malah, dia percaya pengalaman yang diraih mampu membawa pelakon tempatan ke peringkat global. Mengenai watak, dia melakonkan peranan Dina yang berkawan rapat dengan Azman dan melanjutkan pelajaran dalam bidang robotik di Jepun.

“Secara peribadi, saya suka belajar dan menerokai perkara dan pengalaman baru. Lalu, saya menyahut cabaran untuk berlakon filem ini.

“Tidak dinafikan perasaan bimbang tetap ada untuk menjayakan filem ini kerana sebelum ini, saya tidak pernah terbabit dengan produksi luar negara. Namun, saya fikir, belum cuba belum tahu,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Flare Studios Sdn Bhd, Miza Mohamad berkata pemilihan Tomok sebagai pelakon utama filem itu dianggap tepat dengan karakter yang dibawa.

Filem berkonsep aksi ini yang turut dibantu imej janaan komputer (CGI) mencipta kelainan kerana superhero yang diperkenalkan mempunyai kuasa yang boleh bertukar menjadi motosikal.

Filem itu menelan kos sebanyak RM5.5 juta dan turut mendapat Skim Pinjaman Filem Cereka dari Finas sebanyak RM1.5 juta.

Di samping kolaborasi pelakon tempatan dan Russia, filem berkenaan juga diarah dua pengarah berbeza iaitu Mohd Aliar Ali Tutty dan seorang pengarah dari Rusia.

Kerjasama antara dua negara ini terjalin menerusi majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang diadakan di Finas, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Turut hadir, Naib Presiden Spacetoon Rusia, Andrey Chirkin.

“Saya cuba hasilkan produk yang dapat dipasarkan ke peringkat antarabangsa dan yang penting, filem kita berpeluang menembusi pasaran negara lain.

“Di Russia, ada 900 pawagam dan ini memberi kelebihan pada filem ini untuk ditonton ramai.

“Watak Mantera merujuk pada maksud manusia jentera. Biarpun filem ini mungkin ada persamaan dengan Transformers atau Ironman, namun filem ini cuba menampilkan superhero yang mempunyai identiti sendiri. Buat masa ini, watak pelakon utama wanita belum dikenal pasti.

“Ada kemungkinan pelakon kita akan dibawa ke Russia untuk sebahagian penggambaran di sana. Biarpun risiko besar untuk menghasilkan filem ini hingga ia dibawa untuk tayangan di luar negara, tetapi berdasarkan kajian yang dibuat sebelum ini, saya yakin filem ini mampu menarik perhatian.

“Apa yang saya harapkan pelakon kita dapat menyerlah bakat sendiri dan filem ini mampu meraih sambutan positif penonton,” katanya.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: