Skip to content

Ustaz Radzi terkenang zaman Cinta Untuk Nabila

8 June, 2009

Bekas penyanyi kumpulan Melissa kini tampil dengan album solo sesudah bergelar imam

MELIHAT penampilannya yang kini berserban dan berjubah, siapa sangka beliau adalah bekas vokalis kumpulan rcok terkenal, Melissa dan pernah mempopularkan lagu hit, Cinta Untuk Nabila. Lagu itu begitu popular dan sering menjadi siulan anak muda lebih 15 tahun lalu kerana melodi dan liriknya yang berkesan, apatah lagi vokal penyanyinya yang nyaring dan meruntun hati.


Kenangan Radzi (tiga dari kiri) ketika bersama anggota Melissa.


Cinta Untuk Nabila pernah menaikkan nama kumpulan Melissa di persada muzik tanah air pada awal era 1990-an malah hingga kini, lagu ciptaan dan lirik oleh Rosli Selasih itu masih menjadi pilihan pendengar di corong radio.

Selepas 18 tahun berlalu, kumpulan Melissa kini sudah berkubur, yang tinggal hanyalah Cinta Untuk Nabila sebagai lagu evergreen. Nyata, pengundurun penyanyi utama kumpulan itu, Radzi memberi kesan mendalam hingga anggotanya silih bertukar ganti. Akhirnya kumpulan Melissa rebah menyembah bumi.

Kini, Radzi yang lebih mesra disapa dengan panggilan Ustaz Radzi bukan lagi Radzi yang dulu dengan imej rambut panjang kerinting, berkaca mata hitam, berseluar jeans ketat dan berjaket kulit. Ustaz Radzi kini tampil dengan gaya seorang ustaz sesuai dengan kerjayanya sekarang sebagai penceramah bebas dan menjadi pembantu imam di Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah.

Ketika B8Pop menemuiny baru-baru ini, dengan nada perlahan, Ustaz Radzi mengakui: “Selepas 17 tahun mengundurkan diri daripada Melissa, hanya baru-baru ini saya bertemu seorang bekas anggotanya. Saya tak sangka kehilangan saya memberi kesan mendalam pada kumpulan itu hingga mereka tidak mampu bertahan walaupun sudah mendapat pengganti saya ketika itu.

“Dulu kami memang mempunyai masalah dalaman hingga saya tak mampu berdepan anggota Melissa lagi. Masing-masing rasa diri popular dan mula besar kepala. Kalau diikutkan, masalah yang dihadapi bukanlah besar mana… cuma kami tak mahu mengalah dan masing-masing rasa diri betul. Saya juga tak salahkan rakan Melissa lain, saya juga sama seperti mereka, tak mahu mengalah.

“Lalu, saya ambil keputusan meninggalkan Melissa selepas berkahwin. Ketika itu, saya fikir tak boleh cari makan lagi dengan menyanyi dan saya pula perlu menanggung anak orang. Jadi saya tekad tinggalkan dunia seni dan kembali jadi orang biasa. Memang saya lakukan pengorbanan besar kerana ketika itu Melissa sedang popular.”

Katanya, beliau menghilang diri selepas bertikam lidah dengan anggota Melissa dan hanyalah baru-baru ini, beliau keluar dari kepompong persembunyian dan mencari rakan-rakan yang pernah berjuang bersamanya dulu.

“Dulu sebelum keluar album pertama, Pendirian yang memuatkan lagu popular, Cinta Untuk Nabila, hubungan sesama anggota memang akrab. Umpamanya kalau makan sepinggan, tidur sebantal dan susah senang bersama. Kalau tak makan pun sanggup bersama. Selepas lagu Cinta Untuk Nabila meletup, masing-masing sudah makin lupa diri. Kalau dulu kami boleh menghasilkan enam lagu dalam seminggu tetapi bila popular, seminggu pun susah nak siapkan satu lagu.

“Apa yang dapat saya katakan, menyanyi sesebuah lagu memerlukan gabungan hati, bukan hanya meletakkan bebanan pada penyanyi semata-mata. Sebab itu, lagu dulu begitu melekat di hati dan dikenang sampai bila-bila kerana ia adalah gabungan hati penyanyi, pemuzik, pencipta dan penulis lirik,” katanya yang bertugas sebagai Pembantu Hal Ehwal Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah dan bertugas sebagai pembantu Imam sejak 1994.

Ustaz Radzi, bekas penuntut Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, berkata beliau tekad meninggalkan dunia nyanyian dan kembali mendalami ilmu agama bersama bapanya, Ustaz Abdul Hamid Ahmad di kampung halaman.

“Sejak usia lima tahun saya sudah ditekankan dengan ilmu agama oleh arwah bapa dan sambung belajar di sekolah pondok selepas tamat pengajian di Kolej Sultan Abdul Hamid. Apabila tamat pengajian pondok, saya datang ke Kuala Lumpur, tetapi niat asal saya bukan mahu jadi penyanyi, saya hanya nak cari kerja tetap.

“Saya kerja kilang dan tinggal di Kampung Pandan dan ketika itu, saya mula kenal dengan dunia nyanyian. Dulu muzik rock pun saya tak tahu. Bermula dengan menyanyi di kenduri kahwin, saya beralih pula ke kelab malam sebelum menghasilkan album bersama Melissa. Kalau ikutkan, masa mula-mula nak menyanyi memang susah, saya pernah makan nasi yang dikutip dalam tong sampah sebab tak ada duit… gila menyanyi hingga tak mahu buat kerja lain. Hari-hari kerja saya melalak saja,” kata bapa kepada enam cahaya mata itu.

Terbaru, Ustaz Radzi muncul dengan album solo berkonsep ketuhanan berjudul Penyesalan. Album yang berada di pasaran awal minggu lalu itu turut mengundang seorang penyanyi wanita dari Acheh, Yeny. Ia memuatkan enam lagu nyanyian Ustaz Radzi dan empat lagu nyanyian Yeny serta diterbitkan Deen Production Sdn Bhd.

“Album ini berbeza dengan album lain, ia bukanlah kategori album nasyid. Saya tak mampu bersaing dengan penyanyi nasyid yang berbakat. Saya bersetuju kembali mewarnai dunia nyanyian selepas 17 tahun menghilangkan diri kerana konsep album ini. Ia dihasilkan mengikut keupayaan dan jiwa saya sebagai seorang penyanyi rock, cuma liriknya lebih kepada ketuhanan dan nasihat,” katanya.

One Comment leave one →
  1. atiem permalink
    8 June, 2009 pm

    borak sakan…… naper senyap jer? mana post baru? tak sabar nak dapatkan informasi terkini ni…. bz buat website lain ker? kongsi lah ngan kami peminat borak sakan ni…..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: