Skip to content

Penyatuan cinta Nana, Brian

9 June, 2009

PAGI Sabtu lalu, selepas menjalin ikatan persahabatan selama lima tahun, penyampai radio Era, Nurul Hana Che Mahazan, 26, atau Nana, akhirnya selamat diijabkabulkan dengan Pengurus Kanan Hitz FM, Mohamed Raqeem Brian Abdullah, 34, atau Brian.

MENGENAKAN busana pengantin rekaan Cosry, Nana dan Brian tampak anggun dan berseri.



Berlangsung di kediaman keluarga Nana di Persiaran Bahagia, Jalan Abdul Rahman, Muar, Johor, pastinya ia bukanlah detik penuh bahagia dan gembira yang hanya dikongsi Nana serta Brian tetapi oleh seluruh ahli keluarga mereka.

Tampak berseri mengenakan busana pengantin berwarna putih hasil sentuhan dan rekaan butik Cosry, Bangsar, Kuala Lumpur. Insan yang paling bahagia dengan perkahwinan tersebut sudah tentunya pasangan Che Mahazan Che Aik dan Rosnah Harun iaitu bapa serta ibu Nana.

Turut sama berkongsi rasa puas bercampur terharu, sebak dan gembira melihat dua mempelai bak ‘pinang di belah dua’ ini adalah ibu Brian, Loreta Yong Liew Fui.

Bagi pasangan Che Mahazan dan Rosnah, ini adalah saat penuh bersejarah apabila buat pertama kali menerima kehadiran menantu di dalam keluarga kecil mereka.

Biarpun Brian berlainan bangsa dan merupakan saudara baru, ia bukanlah penghalang untuk melihat anak tunggal perempuan mereka ini disatukan dengan jejaka pilihan hatinya itu.

Begitu juga dengan Loreta. Ibu berwajah tenang ini bersikap terbuka tatkala Brian menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam dan berkahwin dengan wanita Melayu.

Takdir Ilahi

Dinikahkan oleh Imam Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Muar, Azman Moomin, Nana yang merupakan bekas pelajar Akademi Fantasia musim pertama (AF1) menerima hantaran berjumlah RM21,000 dan mas kahwin RM22.50.

Membalas sembilan dulang hantaran selepas menerima tujuh dulang daripada Brian, majlis terlebih dahulu dimulakan dengan adat pertunangan yang dilangsungkan pada pukul 9.30 pagi.

Serba ringkas dan hanya dihadiri keluarga terdekat, ruang hadapan rumah milik keluarga Nana kemudiannya penuh sesak dengan ramai orang yang kemudiannya ingin menyaksikan majlis akad nikah dua mempelai ini.

Dengan dua kali lafaz, meski gugup, Brian dan Nana sudah pun bergelar suami isteri yang sah.

Pada majlis itu, Brian membawa rombongan ahli keluarganya yang datang bukan sahaja dari Kuala Lumpur malah dari Kuching, Sarawak, Singapura, Belanda, Australia serta Taiwan.

Nana saat ditemui sebaik selesai majlis akad nikah, memberitahu yang dia tidak memperoleh cuti panjang apabila terpaksa bertugas esok (Rabu).

Nana juga tidak lupa memanjatkan kesyukuran kerana dikurniakan seorang suami yang mempunyai hati yang baik iaitu Brian.

Memilih Brian kerana sikapnya yang memahami dirinya, tidak banyak kerenah dan menghormati orang tua, Nana mengharapkan agar perkahwinan ini akan berkekalan selamanya.

“Kami berdua sebenarnya sudah kenal selama lima tahun namun menjadi rapat sejak dua tahun lalu. Kami hanya membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga pada Januari lepas.

“Buat masa ini kami masih belum ada perancangan berbulan madu kerana masing-masing sibuk. Kalau boleh, Nana teringin ke pulau dan pantai.

“Insya-Allah selepas Aidilfitri nanti kami mungkin akan bercuti,” katanya.

Ujar Nana, mengenai anak, dirinya tidak kisah akan perkara tersebut kerana semua adalah rezeki daripada Allah.

Saat diajukan soalan tentang hadiah kepada ibu dan bapanya sempena majlis pernikahan iaitu berupa sebuah kereta Mercedes C200, Nana berkata, ia sebagai tanda kasih dan sayangnya terhadap mereka.

“Mak (ibu) memang sudah lama suka kereta ini. Dengan bantuan ayah, kami belikan dan dijadikan kejutan pada majlis perkahwinan saya serta Brian.

“Ini juga hadiah sempena ulang tahun kelahiran ibu yang ke-48 pada 2 Jun lepas. Kereta ini juga tanda kasih saya kepada ayah,” katanya.

Bagi Brian pula, selepas berkahwin, dia dan Nana merancang untuk membeli rumah baru di Kuala Lumpur.

“Buat masa ini, masing-masing sudah ada rumah sendiri,” jelasnya yang teringat saat pertama bertemu keluarga Nana untuk menyatakan hasrat menikahi wanita itu pada Januari lalu.

Berpegang kepada ajaran Islam – Bapa

Dalam pada itu, bapa Nana, Che Mahazan mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan Nana dan Brian agar tidak lupa kepada ajaran agama.

Jelasnya, sebelum ini juga, dia sudah bertemu dengan Brian secara berdua dan menerangkan kepada menantunya itu tentang tanggungjawab sebagai orang Islam.

“Kepada Nana juga saya berpesan supaya jaga Brian elok-elok dan membimbingnya dengan baik. Kalau ada masalah, baliklah dan kita bincang bersama,” tegasnya.

Menurut Che Mahazan, dia dan keluarga tidak kisah soal kahwin campur kerana adiknya yang juga makcik kepada Nana, Noorizan Che Aik, 46, telah lama mengahwini seorang saudara baru berketurunan Eurasian.

“Kali pertama bertemu Brian adalah ketika dia berkunjung ke rumah kami pada Aidilfitri, dua tahun lalu. Daripada situ, saya dan isteri cukup suka dengan tingkah lakunya,” katanya.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: