Skip to content

Amylea panah cinta

10 June, 2009

Sebagai gadis memasuki usia dewasa, penyanyi yang bakatnya dicungkil menerusi rancangan realiti TV popular, Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), Amylea Azizan, 23, atau Amylea tidak terkecuali.

SEMUA orang dahagakan cinta dan apabila disayangi kebanyakan kita berasakan hidup tidak lagi kesunyian kerana ada pihak yang senantiasa mengambil berat.

Apatah lagi dalam usia yang dianggap sudah memperoleh kunci kebebasan membolehkan gadis berasal dari Alor Star, Kedah ini untuk mengenali dan mengalami nikmat bercinta.

Ditemui sewaktu sesi fotografi khas bersama Rap di kelab M Cicle yang terletak di pusat beli-belah Starhill, Amylea secara jujur mengakui dia mahu bercinta.

“Tanyalah gadis manapun pasti mahu disayangi dan dicintai. Begitu juga dengan saya, tetapi buat masa ini saya belum lagi bertemu dengan jejaka yang mampu memenangi hati ini,” katanya.

Bagaimanapun dalam membicarakan soal itu, pengurusnya, Redza Fahmy sempat mengusik meminta agar wartawan Rap terus mencungkil mengenai kisah cinta Amylea yang dikatakan sedang berputik dengan seorang pemuzik.

“Tidaklah. Mana ada saya bercinta. Kalau benar seperti apa yang dikatakan Redza, saya akan mengaku. Buat apa saya mahu menjadi hipokrit dan membohongi peminat.

“Realitinya saya memang tidak bercinta. Kalau adapun itu dulu. Cerita lama, tetapi kami sudah lama putus,” katanya yang enggan mendedahkan identiti lelaki dimaksudkan.

Kata Amylea, walaupun kini sibuk dengan kegiatan seni yang semakin rancak, ia tidak seharusnya menghalang dia menikmati kehidupan seperti orang lain.

“Mengapa pula kalau saya sibuk menyanyi tidak boleh bercinta? Bukankah perkara seperti itu memerlukan komitmen? Apa yang penting sekiranya saya menemui lelaki yang sesuai dan menyayangi diri saya sudah tentu saya akan cuba membahagikan masa untuknya.

“Perkara itu boleh dirancang. Kalau saya tidak sempat bertemu dengannya, dia boleh datang berjumpa saya. Kalau bercinta selalu jumpa pun bosan. Kalau sesekali bertemu rasanya ia lebih manis,” katanya.

Beralih topik kepada kerjaya seni, Amylea dilihat lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh bercerita mengenai perancangan dilakukan bagi menaikkan kembali namanya dalam persada muzik tempatan.

Apatah lagi selepas tidak bernaung di bawah syarikat pengurusan Maestro Talent and Management (MTAM) yang kini sudah ditutup, Amylea bersama dua pengurusnya iaitu Redza dan James Wong menubuhkan unit pengurusan The Republic Enterprise Sdn Bhd.

“Saya bersyukur kerana ditemukan dengan mereka berdua, di saat hilang arah. James sendiri sebelum ini pernah menjadi pengurus saya. Bagaimanapun saya tidak terasa sangat apabila MTAM ditutup kerana sepanjang bernaung di bawahnya, saya lebih banyak menguruskan kerjaya seni sendiri.

“Hendak dijadikan cerita, rezeki kami untuk bekerjasama kembali datang apabila James sendiri menghubungi saya dan lalu diperkenalkan kepada Redza.

“Saya yakin dengan kemampuan mereka berdua kerana Redza sendiri punya banyak pengalaman dan pernah menguruskan kerjaya seni Liza Hanim,” katanya.

Kini Amylea sibuk merangka kembali promosi albumnya, Selepas 3 yang agak lama tertangguh.

“Sayang jika album yang dihasilkan ini tidak dipromosikan kerana kebanyakan lagu dimuatkan dalam Selepas 3 mendapat sambutan.

“Malah, single seperti Sinderella turut menduduki carta 10 lagu paling popular di kebanyakan stesen radio tempatan.

“Selain itu, Selepas 3 amat berharga buat saya kerana banyak usaha sudah dicurahkan.

“Kerana tidak mempunyai wang yang cukup proses pembikinannya mengambil masa tiga tahun dan ia dilakukan secara perlahan-lahan.

“Apabila memperoleh duit hasil wang persembahan, sebahagiannya saya laburkan ke dalam album ini dan ramai rakan membantu termasuklah pengarah, Afdlin Shauki yang memang saya minati,” katanya.

Keputusan Amylea menyertai rancangan realiti TV One In A Million musim ketiga (OIAM3) yang berakhir Mei lalu mendapat kecaman daripada peminat.

Ramai kurang bersetuju dengan berkata, pemenang tempat ketiga AF3 itu tidak seharusnya menyertai rancangan corak sama, apatah lagi ia tidak memberikan hasil membanggakan.

Begitupun di majlis pradengar album sulungnya yang diadakan di restoran Bangkok Jazz, Chulan Square baru-baru ini, Amylea menjelaskan dia sedikitpun tidak berasa menyesal dengan keputusan diambil.

Katanya, sewaktu sidang media ringkas diadakan, memang jauh di sudut hati, dia berasa terkilan kerana tersingkir pada minggu kesembilan.

“Sedangkan waktu itu saya hanya mempunyai satu minggu lagi untuk ke konsert akhir. Saya berasa kecewa namun saya anggap sudah bukan menjadi rezeki saya. Begitupun sepanjang membabitkan diri dalam pertandingan OIAM3, banyak perkara baru yang saya pelajari.

“Paling penting apabila menyertai rancangan itu saya tahu yang saya berkemampuan untuk mengubah lagu. Keyakinan saya berbanding sewaktu menyertai AF3 jauh berbeza.

“Saya tidak lagi berasa gementar apabila mahu naik ke pentas menyanyi, sebaliknya seronok dan teruja,” katanya.

Keyakinan Amylea terserlah apabila tampil mengadakan persembahan pada majlis diadakan.

Menarik apabila dia turut mendendangkan lagu diciptanya sendiri seperti Sinderella dan Satu Dalam Sejuta yang turut didendangkan di OIAM3.

Persembahannya bertambah menarik apabila Tomok turut tampil berduet dengannya.

Antara peserta OIAM3 turut hadir memberi sokongan, Nine dan Aweera.

>Profil

Nama Penuh: Amylea Azizan

Nama Komersial: Amylea

Tarikh Lahir: 26 November 1986

Umur: 22 tahun

Asal: Alor Star, Kedah

Ahli Keluarga: Sulung dari tiga beradik

Makanan Kegemaran: Roti dan Sambal

Minuman Kegemaran: Milo dan Ribena

Artis Pujaan: Alicia Keys, Afdlin Shauki, Natasha Bedingfield, Dido dan Kumpulan Hujan

Album: Selepas 3

Pencapaian: Pemenang Tempat Ketiga Akademi Fantasia Musim Ketiga (AF3)

One Comment leave one →
  1. flowerHoRN permalink
    10 June, 2009 pm

    xpe ar ko nk brcinta ke tidak yg penting kalau nk brcinta jgn ngan laki org…especially ngan laki aku he he he……..ooooppss terlebih sudah……..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: