Skip to content

Artis tidak puas hati

12 June, 2009

Isu artis tempatan dilayan secara tidak profesional membawa kepada cadangan bagi menyelesaikan permasalahan tersebut iaitu dengan menubuhkan sebuah badan atau organisasi khas bagi memantaunya.


DAYANG NURFAIZAH

SIKAP pengurus yang menurunkan harga persembahan artis di bawah jagaan masing-masing dilihat menimbulkan impak tidak baik dan perasaan kurang puas hati kepada pihak lain.

Penyanyi berkulit hitam manis Dayang Nurfaizah sebelum ini pernah menyuarakan kekecewaan dirinya tentang isu berkenaan yang dilihat semakin menjadi-jadi.

Menurut wanita berusia 27 tahun itu, situasi menurunkan bayaran di kalangan penyanyi tidak seharusnya berlaku walaupun dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

“Saya tahu setiap penyanyi ingin cari makan tetapi mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menurunkan harga berbanding kadar biasa sebelum ini.

“Tindakan ini dilihat tidak membantu industri atau artis sendiri. Sebagai penyanyi, saya dan artis lain juga mencari rezeki dengan menyanyi.

“Cuma janganlah sampai kena menurunkan harga sesuka hati. Barangkali rundingan boleh dilakukan terlebih dahulu dengan klien sebelum tawaran bertukar kepada penyanyi lain,” ujarnya.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Seandainya Masih Ada Cinta itu memberitahu, penurunan harga persembahan boleh diumpamakan sebagai merendah-rendahkan harga diri penyanyi di Malaysia.

“Pihak penganjur juga harus dipersalahkan dalam hal ini kerana mereka sendiri mengeluarkan peruntukan yang rendah apabila tibanya bab berkaitan penyanyi tempatan.

“Kalau artis luar boleh pula mereka memberikan bajet tinggi dan layanan kelas pertama sedangkan orang di bumi sendiri seakan-akan dipinggirkan.

“Di mana letaknya keadilan kepada penyanyi di Malaysia. Klien sepatutnya menghargai anak-anak tempatan yang berbakat dalam bidang seni.

“Kalau artis tempatan mendapat pengiktirafan yang sewajarnya maka saya percaya isu penurunan harga ke atas persembahan penyanyi tidak akan berlaku secara berleluasa walaupun berdepan dengan ekonomi tidak menentu,” jelas Dayang meluahkan pendapat peribadinya.

Biarpun dihantui perkara yang melibatkan ada artis lain yang memintas rezekinya, namun Dayang tidak mahu memperbesar-besarkan isu berkenaan.

“Saya percaya kepada nasib yang datang menyebelahi. Jika kita benar-benar ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai anak seni, rezeki datang juga akhirnya,” ujar Dayang.

Sementara itu, penyanyi lelaki yang mempunyai vokal hebat, Anuar Zain bagaimanapun mengakui situasi menurunkan harga bagi menjayakan undangan pentas tidak berlaku kepada dirinya.

Walau dalam apa jua keadaan sekalipun, Anuar lebih rela tidak merendahkan bayaran untuk persembahan yang ditawarkan oleh klien atau promoter.

“Walaupun kita berdepan dengan keadaan pasaran ekonomi yang tidak stabil, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menurunkan harga.

“Kena ada perbincangan lanjut sebelum satu-satu keputusan dibuat contohnya dengan memberikan diskaun yang berpatutan kepada pihak penganjur. Saya juga bersikap fleksibel dalam soal ini dan masih boleh di bawa berbincang.

“Cuba bayangkan kalau ekonomi pulih seperti sedia kala, bagaimanakah kita ingin terangkan kepada penganjur tentang bayaran yang sudah berubah nilainya.

“Perkara ini tidak boleh dibuat main-main kerana ia melibatkan sikap profesional seorang artis. Tidak manis rasanya sebelum ini menawarkan harga rendah tetapi untuk persembahan seterusnya harga semakin meningkat.

“Lantaran itu, saya rasa ada baiknya saya mengekalkan kadar harga undangan nyanyian yang sudah ditetapkan sebelum ini agar tidak timbul kekeliruan di belakang hari,” tegasnya ketika ditemui di Studio Utusan Isnin lalu.


ANUAR nekad tidak menurunkan kadar bayaran dalam apa jua situasi sekalipun.

Sambung penyanyi yang terkenal dengan lagu Ketulusan Hati itu, bukan menjadi sikapnya untuk menutup periuk penyanyi lain kalau berbicara tentang isu tersebut.

“Contohnya kalau ada penganjur yang memberikan sejumlah bajet kepada saya namun hakikatnya ia di bawah peruntukan sebenar saya maka saya akan menolak dengan baik.

“Bukan itu sahaja, saya akan meminta pihak penganjur untuk mencari artis lain yang dirasakan bersesuaian dengan bajet ini.

“Secara tidak langsung saya dapat membantu artis lain untuk mendapat tawaran undangan pentas. Saya percaya tawaran nyanyian ini mungkin berpihak kepada artis yang seorang lagi.

“Saya juga tidak mengamalkan sikap mementingkan diri. Demi wang yang tersedia di depan mata, saya tidak sesekali mengkhianati rakan artis lain yang juga mencari rezeki dalam bidang sama ini.

“Sikap individualistik tidak seharusnya ada kepada anak seni kerana dunia hiburan kita kecil sahaja ruangnya.

“Apakah tidak sedar mereka bahawa pusing-pusing dalam dunia seni tetap akan berjumpa dengan muka sama.

“Sebelum melakukan apa-apa, kita kena fikir berbagai-bagai aspek. Sikap hormat-menghormati kena wujud terlebih dahulu dalam perkara ini,” akui Anuar dalam nada perlahan.

Bagi menyelesaikan masalah tersebut, kata Anuar, sebuah badan atau organisasi harus diwujudkan yang dapat memantau kadar persembahan untuk artis di Malaysia.

“Saya tahu ramai artis yang terjerut dengan masalah ini. Bukan sahaja sekarang sebaliknya isu ini sudah lama dibangkitkan.

“Kalau ada persatuan yang dapat membantu artis dalam perkara ini, saya percaya penurunan harga persembahan artis tidak akan berlaku dengan serius.

“Semua anak seni di negara ini dapat bekerja dalam situasi yang aman tanpa perlu bermasam muka atau bersaing secara tidak sihat,” akhiri Anuar.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: