Skip to content

Bilal menangis ketika azan

12 June, 2009

NARATHIWAT (SELATAN THAILAND): Suasana pilu menyelubungi perkarangan Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan di sini apabila orang ramai yang hadir melihat gambar mangsa mati dibunuh ketika menunaikan solat Isyak dikejutkan dengan azan Zuhur dialunkan seorang penduduk tempatan.

Bagaimanapun, solat Zuhur berjemaah terpaksa dilakukan di bawah khemah bersebelahan masjid berikutan keadaan rumah ibadat itu belum dibersihkan sepenuhnya akibat kesan darah dan tembakan.

Difahamkan, tindakan menggantung gambar dan nama mangsa dibunuh serta cedera tidak disenangi pihak keselamatan Thailand kerana beranggapan ia mengundang kemarahan penduduk termasuk dari negara ini yang turut bersedih dengan kejadian berkenaan.

Berikutan insiden itu, tempat kejadian seperti taman larangan apabila dikawal ketat pihak keselamatan terbabit yang membuat kawalan dan pemeriksaan pengunjung yang datang.

Anak seorang mangsa terkorban, Saari Yusof, 31, berkata penduduk mendakwa kampung itu sudah ditanda sebagai kawasan ‘merah’ oleh pihak keselamatan kerana sering berlaku kekacauan.

“Kira-kira empat tahun lalu, dua adik saya pernah ditahan tiga bulan oleh pihak keselamatan sebelum dibawa ke Surathani untuk disoal siasat tanpa alasan munasabah.

“Arwah ayah saya nyaris ditahan, tetapi kerana tiada sebab yang logik, dia gagal ditahan sebelum terbunuh dalam kejadian ini pula,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pattani, Abdul Rahman Daud yang sempat melawat kawasan kejadian melahirkan rasa kesal terhadap insiden terbabit.

“Kami mahu supaya kerajaan mencari pihak yang bertanggungjawab menimbulkan suasana tidak tenteram ini dan pada masa sama tidak wujud syak wasangka dalam kalangan penduduk Islam dan bukan Islam.

“Setakat ini, setiap kali berlaku pembunuhan atau pengeboman, tiada pihak yang pernah ditahan, tetapi akan berlaku tuding menuding antara beberapa pihak sehingga mencetuskan perasaan tidak percaya sesama penduduk,” katanya ketika ditemui, semalam.

Beliau berkata, sememangnya menjadi harapan seluruh penduduk supaya pihak terbabit dapat ditangkap segera sekali gus memulihkan keamanan secepat mungkin.

Dalam kejadian dua hari lalu, 12 jemaah Masjid Al-Furqan dibunuh ketika menunaikan solat Isyak termasuk imamnya, Wan Abdullah Wan Latif, 62.

Sembilan lagi jemaah meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Narathiwat sementara 11 mangsa yang parah masih dirawat di hospital sama.

Kejadian itu insiden tembakan paling buruk dalam masjid di wilayah selatan yang bergolak.

Pada 28 April, 2004, 108 penduduk yang terperangkap dalam kejadian tunjuk perasaan di pekan Takbai terbunuh ketika bertempur dengan pasukan keselamatan serta kejadian di Masjid Kruese yang mengorbankan 32 orang.

One Comment leave one →
  1. catalina permalink
    12 June, 2009 pm

    sedih aku membacanya .. apa la nk jd dgn dunia skrg .. bertuah kan hidup di bumi malaysia !

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: