Skip to content

Bio-Nik wira baru tempatan

12 June, 2009

KITA sering disogokkan dengan watak-watak wira Barat seperti Superman, Spiderman, Robocop dan Wonder Woman.


Norman Abdul Halim (berdiri empat dari kanan) bersama barisan pelakon dan krew yang menjayakan drama bersiri Bio-Nik.

Bila difikirkan, watak-watak wira tempatan amat kurang jumlahnya menyebabkan ia kurang melekat di hati penonton.

Atas kesedaran itu, KRU Studios sekali lagi mencipta satu watak wira yang bakal menjadi ikon remaja masa kini selepas Cicakman.

Wira manusia besi yang dimaksudkan ialah Bio-Nik yang kini disiarkan di Slot Aksi di TV3 dan diterajui oleh barisan pelakon remaja yang bakal bersinar.

Drama bersiri berkonsepkan futuristik yang menggunakan teknik CGI mulai menemui penonton pada 18 Mei lalu dan bersiaran setiap Isnin pukul 9 malam selama 26 minggu.

Penerbit Eksekutif Bio-Nik, Norman Abdul Halim berkata, drama bersiri ini merupakan drama bersiri tempatan pertama yang tampil dengan sebegitu banyak shot CGI dan kesan khas audio.

“Kami cuba memberi kelainan melalui kepakaran dalam penerbitan rancangan televisyen dengan penggunaan teknik CGI disamping jalan cerita yang menarik.

“Pendekatan ini diharapkan akan membantu menyumbang ke arah kenaikan taraf penerbitan rancangan televisyen secara keseluruhan,” ujarnya ketika majlis pelancaran drama bersiri Bio-Nik di sini baru-baru ini.

Bio-Nik menampilkan Kamal Adli memegang peranan sebagai Nik, remaja yang dicipta menjadi manusia besi oleh ayahnya yang juga seorang profesor setelah dia mengalami kemalangan.

Turut menjayakan Bio-Nik ini ialah Fizzow Omar, Shaz Jazle, Intan Ladyana, Tam, Amanda dan Nor Aliah Lee.

Bio-Nik mengisahkan Kamal sebagai Nik, seorang remaja yang mengalami kemalangan ngeri hingga menyebabkan dia mengalami kecederaan yang serius.

Dia kemudian diselamatkan oleh bapanya yang merupakan seorang saintis dengan mengubah-suai Kamal menjadi manusia separuh robot dan mempunyai kekuatan yang luar biasa.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Bakar berkata, permintaan terhadap drama yang bermutu tinggi dengan menggunakan teknologi kesan khas membuatkan mereka bersetuju untuk menerbitkan drama yang memperkenalkan watak-watak wira seperti Bio-Nik.

“Kami percaya dengan menerbitkan lebih banyak drama berunsurkan genre dapat meletakkan Malaysia setanding dengan pengeluaran drama filem negara asing serta memenuhi kepelbagaian permintaan dari penonton.

“TV3 juga menyambut baik percubaan KRU Studios untuk menerbitkan drama bersiri yang menggunakan teknologi kesan khas yang bakal menyumbangkan kejayaan dan pembaharuan kepada industri tanah air,” katanya.

Aksi lasak Kamal

Teraju utama yang memegang watak Bio-Nik ini, Kamal Adli mengakui, dia meletakkan harapan yang sungguh tinggi terhadap drama bersiri Bio-Nik..

Kamal yang juga pemenang Hero Remaja 2007/2008 bersama pelakon lain begitu bersungguh-sungguh ketika penggambaran sehingga semua aksi lasak dilakukan mereka sendiri tanpa bantuan pelakon lagak ngeri.

“Pernah sekali watak saya memerlukan saya melompat dari tembok rumah setinggi dua meter.

“Yakin dengan kemampuan, saya lakukan lompatan itu namun sebaik sahaja terjun, saya mendengar bunyi tulang seperti terkehel. Alhamdulillah tiada yang buruk berlaku,” ujarnya.

Kamal yang juga pelakon drama bersiri Zeti Dan Mawas berharap, maysarakat dapat menilai lakonannya dalam Bio-Nik.

Menyentuh mengenai gosip cintanya dengan pasangannya dalam Bio-Nik iaitu Intan Ladyana, Kamal berkata, dia enggan dikenali kerana gosip liar tetapi biarlah penonton mengenalinya sebagai pelakon yang berbakat.

Kamal pengganti Kevin?

Dan bagi Intan Ladyana pula, dia mengakui, Kamal adalah kekasihnya.

“Memang saya kekasih Kamal Adli, tetapi cuma dalam drama Bio-Nik sahaja,” tangkas jawab Intan Ladyana disaat diajukan soalan berkenaan gosip mereka berdua.

Intan yang baru sahaja putus kasih dengan Kevin Zahri mengakui, dia rapat dengan Kamal namun menyimpulkan hubungan mereka berdua sebagai teman rapat.

Menurut Intan, empat bulan menjalani penggambaran drama bersiri Bio-Nik ini membuatkan dia rapat dengan Kamal dan pelakon-pelakon yang lain.

“Persahabatan saya dengan Kamal disalah erti kerana saya baru putus cinta dengan Kevin,” ujar Intan.

Intan yang memegang watak sebagai Aina, gadis yang dicintai Nik, berkata, wataknya tidak begitu mencabar berbanding dengan pelakon lain yang perlu melakukan aksi lasak sendiri.

“Watak saya sebagai seorang gadis yang sentiasa ditimpa kesusahan dan pasti ada seorang wira akan menyelamatkan saya,” ujarnya lagi.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: