Skip to content

Kesibukan bantu Wardina kurus

12 June, 2009

DI MATA ramai, Wardina Saffiyah Fadhlullah Wilmot mungkin dilihat sebagai wanita yang cukup bertuah kerana memiliki hampir segala-galanya yang didambakan – terkenal, cantik, dianugerahkan anak-anak yang comel dan keluarga bahagia.

Wardina sedang mencuba rawatan di SlimWorld.



Hakikatnya pelakon dan personaliti televisyen terkenal ini seperti wanita-wanita lain yang setiap hari bergelut untuk melunaskan tuntutan kerjaya dan rumah tangga sehingga ada ketika terpaksa mengorbankan impian sendiri.

Sebagai individu, dia juga mempunyai impian dan keinginan yang sehingga kini tidak berpeluang untuk dicapai demi memberi keutamaan kepada keluarga yang sedang dibina.

“Dengan tiga anak ini saya rasa mungkin buat masa ini mencukupi. Sudah tiba masa untuk saya melakukan sesuatu yang saya minat yang terhenti seketika setelah berkahwin dan melahirkan anak.

“Saya tidak mahu menyesal di usia tua kelak kerana tidak dapat melaksanakan impian dan cita-cita saya,” katanya pada majlis pembukaan salun SlimWorld di Kota Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Ditemani anak pertama dan keduanya, Amna Nafeesa, 6 dan Azra Sareera, 3, Wardina yang genap usia 30 tahun pada 5 Jun lalu, tampak begitu bersemangat dan gembira dengan apa yang telah dirancang selepas tujuh bulan melahirkan anak ketiganya, Imran Arrazi, tujuh bulan.

”Pada bulan Julai ini saya akan menyambung pengajian di peringkat ijazah sama ada dalam bidang psikologi atau sains politik. Tapi saya rasa saya lebih berminat kepada psikologi kerana ia turut dapat membantu dalam cara mendidik anak-anak.

”Saya ini jenis yang suka bercakap. Saya boleh bercakap lama tanpa henti asalkan memberi manfaat kepada orang lain. Jadi ditambah dengan ilmu yang ada, apa yang diucapkan akan lebih didengari,” ujarnya yang memiliki Diploma Senibina Dalaman dari sebuah kolej swasta.

Wardina menambah, sebagai wanita, isteri dan ibu, perancangan adalah penting untuk berjaya dalam rumah tangga dan bidang yang diminati. Rancang sebaiknya dan sentiasa berfikir ke hadapan. Pun begitu, keluarga harus menjadi keutamaan dan jangan diketepikan.

Justeru, selepas menamatkan pengajian ijazah nanti, dia berhasrat untuk meneruskan hingga ke peringkat doktor falsafah sebelum mencecah usia 40 tahun.

Wardina beruntung kerana impian tersebut turut disokong oleh suami, Ikhwan Johari, 33, yang dirasakan cukup memahami.

Dalam pada itu, dia juga baru-baru ini berhasil menyiapkan dua buah buku, iaitu sebuah buku cerita kanak-kanak dan sebuah lagi mengenai pengalamannya membesarkan anak-anak.

”Ilham menulis datang tanpa henti hingga saya berjaya menyiapkan kedua-dua buah tersebut dalam masa singkat. Saya juga ingin berkongsi dengan orang lain apa yang saya amalkan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. Insya-Allah ia mungkin akan dilancarkan dalam dua atau tiga bulan lagi,” katanya yang masih merahsiakan judul kedua-dua buah buku tersebut.

Kesibukan menguruskan rumah tangga, meladeni anak-anak, menjadi pengacara Malaysia Hari Ini, menjalani penggambaran drama, menerima undangan mengacara dan terbaru menjadi jurucakap atau duta pusat pelangsingan badan SlimWorld, semestinya sudah cukup membuat Wardina sibuk sepanjang masa.

Mungkin juga kerana itu, ibu kepada tiga cahaya mata ini masih memiliki bentuk tubuh yang langsing dan dicemburui oleh ramai wanita lain.

Berkongsi pengalamannya, kata Wardina, berat badannya pernah naik mendadak sehingga lebih 90 kilogram semasa hamil anak kedua. Selepas melahirkan anak, beliau terus mengikuti skim pelangsingan dengan SlimWorld dan turun sedikit-sedikit dalam tempoh satu setengah tahun.

”Saya tidak menyangka akan hamil anak ketiga dalam masa terdekat. Apabila hamil, saya tidak begitu menjaga berat badan dan sehingga ke akhir tempoh hamil, berat badan saya naik sehingga 80 kilogram.

”Selepas bersalin dan tempoh berpantang selama dua bulan, berat badan saya turun 10 kilogram dan sehingga kini setelah anak saya berumur tujuh bulan, saya masih mengikuti program SlimWorld.

” Walaupun berat badan saya sekarang sudah turun sehingga 58 kilogram namun saya sedang berusaha keras untuk menurunkan enam kilogram lagi,” katanya yang mengikat kontrak dengan SlimWorld sehingga tahun 2010.

Menurut Wardina, di pusat pelangsingan itu, dia diberikan beberapa jenis rawatan seperti sistem kontur tubuh, pengendalian tisu dalaman, program bentuk badan, sistem rawatan bawang putih, pembersihan sistem limfa, program rehat, sauna, urutan dan sebagainya.

Selain itu, Wardina turut mengamalkan amalan pemakanan sendiri seperti tidak makan nasi pada waktu malam, tidak makan makanan dan minuman manis, banyak memakan sayur dan buah-buahan, minum air kosong sekurang-kurangnya dua botol sehari dan tidak meninggalkan pengambilan pil suplemen seperti minyak ikan, omega, vitamin B, C, E dan zat besi.

”Sebenarnya kita kena peka dengan keperluan badan kita. Makan bila perlu dan jika tidak, jangan makan. Amalkan bersenam kerana apabila bersenam, semua tekanan akan hilang dan metabolisme tubuh pun tinggi,” ujar Wardina lagi.

3 Comments leave one →
  1. puteriaquarius81 permalink
    12 June, 2009 am

    hmmm mmg cntk.. alhmdllh bersyukur atas apa yang ada

  2. trAnForMers permalink
    12 June, 2009 pm

    cantik cantik cantik….

  3. catalina permalink
    12 June, 2009 pm

    ada duit tk pe la… bo g slim world,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: