Skip to content

Rendahnya ‘nilai’ artis Malaysia!

12 June, 2009

Disebabkan ingin merebut peluang nyanyian, ada sebilangan penyanyi popular tanah air sanggup ‘mengacau’ periuk nasi penyanyi lain.



BERSESUAIAN dengan gelarannya sebagai artis nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza dilihat terus berada dalam keadaan selesa walaupun ekonomi goyah.



BADRUL tidak menurunkan harga artis di bawah pengurusannya dengan sesuka hati.



SAM enggan mengamalkan sikap pentingkan diri sehingga menutup punca rezeki penyanyi lain.



DIDDY antara penyanyi yang masih sering meraih undangan nyanyian biarpun dalam keadaan ekonomi tidak stabil sepenuhnya.



NORYN tidak kisah mengambil undangan nyanyian bagi tujuan amal.



DALAM situasi ekonomi yang kurang stabil pada hari ini tidak dinafikan telah membuatkan banyak pihak yang mulai tidak senang duduk.

Baik golongan berpendapatan rendah, pertengahan ataupun atasan, masing-masing sudah merasai bahangnya sejak beberapa bulan lalu.

Tempias itu juga terpercik kepada kalangan artis di negara ini. Perkara itu dapat dilihat menerusi pasaran persembahan artis terkenal tanah air yang semakin menjunam. Malah, ada terdengar cakap-cakap belakang yang mengatakan beberapa artis sudah berani membuat onar.

Onar yang dimaksudkan itu adalah merosakkan pasaran. Semuanya berpunca kerana mereka sanggup menerima bayaran jauh lebih murah. Biasalah, mereka juga bijak mengambil kesempatan yang ada di depan mata.

Bayangkan apabila harga undangan nyanyian selama 30 minit kini sudah boleh dibayar separuh daripada harga standard.

Kedengaran luar biasa kenyataan berkenaan. Tetapi itulah hakikat sebenar yang terjadi dalam industri seni di Malaysia.

Tidak kisah dibayar sedikit. Sekurang-kurangnya ada pihak yang sudi mengambil mereka untuk bekerja.

Dalam ekonomi mulai memperlihatkan geloranya, siapa sahaja yang tidak mahu menggunakan khidmat mereka, bahkan ada penyanyi popular yang sudah berpakat dengan menawarkan harga jauh lebih rendah.

Disebabkan senario itu juga, penyanyi lain yang sama ‘darjatnya’ dengan penyanyi yang berharga rendah itu pula yang mendapat susah. Ini kerana mereka berkemungkinan turut dinilai sebagai artis berharga rendah oleh promoter dan penganjur majlis.

Jika sebelum ini ada penyanyi yang dengan mudah menjana pendapatan sebanyak RM15,000 hingga RM25,000 atau barangkali lebih untuk menjayakan sebuah persembahan, kini tawaran jatuh kepada RM8,000 hingga RM14,000 sahaja.

Jelas sekali jauh bezanya harga tersebut sebelum dan selepas ekonomi goyah.

Banyak yang merungut, mengeluh dan melatah. Tidak terkecuali ada juga penyanyi yang terang-terangan meluahkan kekesalan terhadap situasi yang tidak sepatutnya terjadi itu.

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa ia menjadi petanda yang tidak sihat kepada industri serta penyanyi sendiri.

Masakan tidak, mereka duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan penyanyi lain. Namun, ada penyanyi yang sanggup menurunkan harga semata-mata mahu mengejar undangan nyanyian agar tidak diperolehi oleh artis sama status dengannya.

Contohnya penyanyi A dan B mempunyai nilai harga yang sama iaitu sebanyak RM15,000 untuk menjayakan undangan nyanyian. Si penyanyi A menawarkan empat buah lagu, sebaliknya penyanyi B pula menegaskan mahu tampil dengan lima lagu.

Lantaran itu, sudah pastilah klien atau promoter akan mengambil penyanyi B walaupun tujuan asalnya mahu mendapatkan khidmat penyanyi A.

Secara tidak langsung, periuk nasi penyanyi A tertutup gara-gara ada penyanyi yang menawarkan lebih banyak ‘kebaikan’.

Bahkan penyanyi B boleh lagi menurunkan harga kepada RM12,000. Dalam ekonomi sekarang, maka siapa sahaja yang tidak mahu mendapatkan khidmat penyanyi B. Itu memang jelas.

Padahal sebelum ini penyanyi A dan B sudah bersepakat untuk tidak menurunkan harga walau dalam apa keadaan sekalipun. Dek mengejar wang, mereka mula ada perasaan tidak puas hati dan mula bertelagah sesama sendiri.

Turun harga ikut skala

Dalam pada itu, pengurus kepada penyanyi Diddy iaitu Badrul Hashim mengakui ada segelintir pihak pengurusan artis yang terpaksa menurunkan bayaran disebabkan keadaan ekonomi.

“Cuma harus diingatkan, pengurusan yang baik menurunkan kadar bayaran mengikut skala dan bukannya sesuka hati.

“Tidak dinafikan, masing-masing ingin mencari persembahan untuk artis mereka. Dalam soal ‘perebutan’ ini, memang ada segelintir pihak yang menurunkan harga dengan sengaja hingga menimbulkan gangguan kepada periuk nasi artis lain.

“Tetapi perkara ini adalah satu perkara yang sukar untuk dielakkan. Ada yang berpendapat mungkin artis-artis yang tergolong dalam senarai gred A akan lebih berasa peritnya kerana bayaran untuk persembahan mereka agak tinggi sebelum ini.

“Justeru, penurunan harga bayaran membuka ruang untuk pengurusan artis-artis baru dan anak seni yang kurang berkira soal bayaran untuk menerima peluang menjayakan persembahan pentas.

“Bahkan klien biasanya akan mencari alternatif yang lebih murah untuk disesuaikan dengan bajet yang mereka ada,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Ada kebenarannya kata-kata Badrul itu. Tetapi dalam waktu sama satu garis panduan perlu diwujudkan bagi menetapkan harga asas sesebuah persembahan mengikut status artis.

Cuma perkara itu bukan menjadi penyelesaian hakiki. Keadaan itu juga bergantung kepada klien untuk memilih artis mana yang dikehendaki mengikut peruntukan yang ada.

Dalam keadaan ekonomi hari ini dan memandangkan pendapatan artis bukanlah satu pendapatan yang tetap, memang tidak mustahil ada pihak pengurusan artis yang sanggup menurunkan bayaran demi mencari sesuap nasi.

Biar apa sahaja jawapan yang diberikan, masing-masing ada tujuan tertentu sebelum menerima atau menolak undangan nyanyian yang diperolehi. Baik mahupun buruk niat mereka, ia terpulang kepada individu itu sendiri.

Nekad tidak turunkan harga

Sam Kassim yang menguruskan penyanyi jelita Noryn Aziz pula memberitahu, dia bekerja mengikut keadaan memandangkan musim sekarang dikatakan gawat.

“Kebiasaannya saya akan bertanyakan kepada penganjur jumlah bajet yang mereka tetapkan. Daripada situlah kita akan berbincang sebelum kata sepakat dicapai.

“Bukan semua majlis promoter minta kurangkan harga. Kalau ada majlis yang berskala besar, mereka selalunya sudah sediakan bajet tertentu.

“Noryn juga selalu berpesan kalau ada majlis amal, buat sahaja. Tidak jadi masalah kepada dia (dari segi bayaran) kerana rezeki ada di mana-mana,” jelasnya.

Bagi Sam, tidak wujud istilah untuk menutup pintu rezeki artis lain dalam soal tersebut.

“Paling penting bayaran untuk sesebuah tawaran persembahan setimpal dengan artis di bawah naungan kita.

“Tidak perlulah hendak kejar tawaran sampai bersetuju dengan apa sahaja harga yang diberikan klien,” jawabnya ringkas.

Dalam pada itu, ada juga beberapa pengurus artis yang nekad tidak tidak menurunkan harga persembahan penyanyi mereka walaupun dalam keadaan ekonomi gawat.

Biar harga yang ditawarkan sama sebelum ini namun untuk merendahkan bayaran memang tidak sesekali terjadi. Menurut sumber Kosmo!, biasanya artis di bawah kendalian mereka terdiri daripada kalangan mereka yang berada dalam gred A.

Senario menurunkan harga penyanyi yang mengadakan persembahan pentas tidak berlaku di negara luar, apatah lagi terhadap artis luar yang membuat persembahan di negara ini.

Isu menurunkan harga dengan mengikut perasaan sebaliknya berlaku dengan berleluasa di sini. Adakah permasalahan tersebut difikirkan oleh pengurus artis dan pihak promoter?

Apabila melintasi garis tamat ketidakstabilan ekonomi nanti tahukah mereka sukar untuk menaikkan semula kadar harga bagi menjayakan persembahan?

Beberapa pengurus artis memberitahu, mereka beranggapan semua pihak akan faham dengan harga yang ditetapkan selepas ini.

Menurut mereka, kenaikan semula harga undangan nyanyian dapat diselesaikan dengan mudah jika ada perbincangan secara terperinci dilakukan.

Tidak wujud istilah penyanyi di negara ini mengada-ngada atau minta ditatang bagai minyak yang penuh.

Mereka sebaliknya hanya menuntut hak yang patut menjadi milik masing-masing.

Dalam pada itu, pengurus artis juga tidak boleh terlalu leka mengambil undangan nyanyian dengan sesuka hati tanpa mengira soal bayaran.

Asal dibayar, artis kesayangan mereka boleh menyanyi dan menghiburkan penonton di pentas. Realitinya, hanya si artis dan pengurus mereka sahaja yang tahu tentang bayaran yang mereka dapat. Gah di pentas tetapi bayaran suam-suam suku.

Tidak hanya menyalahkan pengurus dan artis sebaliknya klien juga kena faham situasi tentang pembayaran kepada artis.

Walaupun ekonomi sedikit terumbang-ambing namun ia bukan menjadi faktor utama kepada mereka untuk merendahkan peruntukan bayaran penyanyi yang ada di Malaysia. Perlu ada situasi menang-menang dalam soal itu.

Mereka seharusnya bijak dan menggunakan akal fikiran yang waras untuk menilai yang mana satu yang memberi kebaikan dan keburukan.

Jangan disebabkan terlalu kedekut untuk mengeluarkan bajet, natijahnya penyanyi berlindung dalam satu entiti sama mengalami ‘sesak nafas’ untuk meneruskan kehidupan.

Ironinya, jika pemikiran klien ataupun promoter persembahan masih berada ditakuk lama dan tidak berubah, nampaknya penyanyi yang ada di negara ini terus berada dalam keadaan dilema.

Memang tiada sebarang penyudah kepada permasalahan itu. Pengurus, penyanyi dan klien sendiri yang seharusnya berfikiran bijak memainkan peranan mereka.

Paling penting, sikap saling memahami harus wujud dalam diri setiap individu yang terlibat agar penurunan harga persembahan artis tidak terus membayangi industri seni. Itu baru betul!

2 Comments leave one →
  1. trAnForMers permalink
    12 June, 2009 pm

    Hhhmmmm…..ada aku kesah…….

  2. catalina permalink
    12 June, 2009 pm

    aku lg tk kisah …

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: