Skip to content

Tiada istilah ditaja!-Bienda

12 June, 2009

SATU persatu kontroversi datang menghimpit pemilik nama berdaftar Nor Razlinda Razli atau satu Malaysia mengenali dirinya sebagai Bienda, pelakon dan penyanyi lagu berkonsepkan sejagat.



Dia pernah berdepan dakwaan kononnya menggunakan duit sumbangan pembedahan jantung berlubang tahun lalu untuk menjalankan modifikasi terhadap kereta Perodua Myvi miliknya.

Natijahnya, anak kepada penyanyi dangdut Sheeda itu terpaksa bangkit sambil menjelaskan kedudukan sebenar kepada masyarakat di luar sana.

Belum sempat menarik nafas lega, kini satu ‘bala’ muncul kembali. Terkini, penghasilan album baru Bienda yang mengangkat judul Kenaliku dikaitkan ditaja oleh pihak tertentu. Atau lebih tepat dalam bahasa mudahnya ialah sugar daddy.

Tidak ketinggalan, Bienda juga dikatakan menggunakan ‘sisa’ wang sumbangan yang diperolehinya sebelum ini untuk merealisasikan album solo keduanya itu.

Kalau ingin diikutkan, mana mungkin Bienda dapat mencari wang yang banyak untuk melahirkan album dalam waktu yang singkat ditambah dengan situasi ekonomi yang ada geloranya.

Sudahlah undangan nyanyian Bienda dikhabarkan tidak sekencang sebelum ini manakala wajah manisnya juga jarang ditatap menerusi kaca televisyen mahupun di layar lebar, namun dia boleh muncul dengan sebuah album yang menggunakan bajet sendiri.

Bukan calang-calang untuk memperuntukkan bajet sendiri. Paling tidak, ia memakan perbelanjaan keseluruhan yang mencecah berpuluh-puluh ribu ringgit untuk menyudahkan sebuah album walaupun sekadar bernama album mini.

BIENDA ingin bebas daripada gosip negatif.



Kepada wanita yang berusia 24 tahun itu, gosip yang terpalit kepada dirinya dilihat cukup mengerikan. Tetapi jelasnya, dia harus akur tentang ketentuan bergelar anak seni yang tidak lepas diganggu-gugat dengan ‘angin’ yang bernama gosip.

“Ada terdengar juga dakwaan yang tersiar di Internet bahawa saya bikin album baru ini dengan mendapat bantuan daripada seseorang.

“Memanglah terkejut pada awalnya membaca gosip ini kerana apa jua yang saya buat dalam industri ini seolah-olah bagai tidak direstui oleh orang lain.

“Ambil masa jugalah untuk saya menenangkan perasaan duka ini. Lama-kelamaan setelah difikirkan semula, mengapa saya harus takut atau perlu menyorokkan diri jika berada di landasan yang benar.

“Kini saya enggan ambil peduli dengan gosip yang disebarkan oleh manusia-manusia yang berhati busuk ini. Saya sebaliknya ingin meneruskan perjuangan dalam bidang seni selagi terdaya bagi mencari rezeki membantu keluarga dan menjamin masa depan saya.

“Saya tidak mahukan glamor ataupun sanjungan yang tinggi melangit daripada orang ramai. Saya sudah cukup bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan kepada saya selama ini walaupun status saya tidaklah seglamor artis lain.

“Lagipun kalau dilihat, macam kelakar dan pelik jika saya ada sugar daddy secara realitinya. Macam manalah agaknya cerita ini boleh dibangkitkan oleh orang ramai tanpa usul periksa,” luahnya dalam tanda tanya ketika ditemui di Sri Putramas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menceritakan kesusahan menampilkan album baru itu beritahu Bienda, orang lain tidak mengerti kebenaran bagaimana daripada album kosong akhirnya dipenuhkan dengan lapan buah lagu termasuk empat lagu lama yang dirakamkan semula.

AKHIRNYA impian untuk berkolaborasi dengan ibu tercapai.



“Bayangkan, saya simpan wang yang diperolehi daripada hasil lakonan dalam drama bersiri Duda & Dara dan wang daripada bergelar duta produk sebanyak RM20,000 semata-mata ingin melunaskan keinginan untuk punya album baru.

“Wang yang saya kumpul selepas menjalani pembedahan sebelum ini disimpan dengan baik tanpa diusik walaupun sedikit. Kalau wanita lain sebaya saya boleh mengeluarkan wang untuk membeli baju, kasut dan alat solekan tetapi saya pula sanggup berkorban.

“Memanglah sedih kerana tidak dapat berbelanja walaupun ada kemahuan untuk membeli itu dan ini.

“Kalau selepas ini masih ada lagi orang yang ingin berkata bahawa saya ditaja, saya sudah tidak mampu untuk menjelaskan apa-apa lagi.

“Sukar untuk saya memuaskan hati semua pihak,” terang Bienda yang turut menyelar dakwaan dia menggunakan baki wang sumbangan yang diperolehi untuk menghasilkan album Kenaliku.

Bergabung dengan Sheeda

Sejak bergelar penyanyi beberapa tahun lalu, Bienda sudah memasang angan-angan untuk merakamkan lagu bersama ibu tercinta.

Biarpun nuansa muzik yang mereka bawakan jauh berbeza namun ia dilihat tidak menjadi penghalang yang dapat membantutkan kolaborasi unik itu.

Si ibu, Sheeda dikenali menerusi lagu dangdut manakala Bienda pula lebih ke arah muzik berirama sejagat dan kontemporari. Disebabkan jurang perbezaan yang agak jauh, niatnya itu barangkali terpaksa dipendam untuk seketika.

Kini tiada yang lebih membahagiakan Bienda apabila doanya sudah diperkenankan. Bienda dan ibunya berpadu suara menerusi lagu Usah Kau Tanya yang turut dimuatkan dalam album Kenaliku.

BIENDA mengakui sukar untuk memuaskan hati semua pihak.



Berbicara lebih lanjut tentang perkara itu Bienda berkata, lagu tersebut ditampilkan dengan dua elemen iaitu dangdut dan irama padang pasir.

“Dari dulu Bienda teringin untuk menyanyi dengan mama tetapi baru sekarang ia dimakbulkan oleh Tuhan.

“Lagu ini mengisahkan perjalanan hidup saya dan mama. Bukan itu sahaja, saya perlu akui semasa merakamkan lagu ini, prosesnya bukan mudah seperti yang disangka.

“Entah mengapa boleh jadi begitu tetapi saya dan mama sudah melakukan sebaik mungkin semasa merakamkan lagu ini.

“Oleh kerana kami berlainan genre, lagu tersebut perlu dinyanyikan secara berulang kali dalam pelbagai versi.

“Oleh kerana itulah ia dirakamkan dalam pelbagai versi dan akhirnya muzik berlatarkan dangdut dan Arab menjadi pilihan,” jelasnya cukup teruja.

Selain Usah Kau Tanya yang bakal menjadi single kedua Bienda, alunan suaranya menerusi lagu Kenaliku ciptaan Yasin juga kedengaran cukup menarik.

“Kebanyakan lagu dalam album ini berkisar tentang seorang Bienda. Ia umpama luahan hati saya kepada peminat yang ingin mendengarnya.

“Album ini juga menjadi hadiah teristimewa kepada peminat yang tidak jemu-jemu menyokong saya,” katanya.

Bienda turut merakamkan lagu bersama Amy Search menerusi Syurga Neraka, Youm Wara Youm (Akbar) dan Jiwa Sengsara (Yasin).

Sambung anak jati Kelantan itu, album miliknya bagaimanapun masih belum berada di pasaran. Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan album tersebut, mereka boleh menghantar e-mel kepada Bienda di alamat bienda_85@yahoo.com.

Mohon sinar cerah

Setelah menjalani pembedahan tahun lalu, Bienda kini semakin bersemangat untuk merencanakan karier seninya. Sudah pastilah Bienda mengharapkan sinar yang lebih terang menerusi kemunculan album ini sekali gus mencapai kejayaan dalam kariernya.

“Memanglah saya mahu bekerja sebaik saja selepas terlibat dengan pembedahan. Cuma pergerakan saya sedikit terbatas kerana kalau terlalu lasak ia boleh memudaratkan kesihatan.

“Selepas disahkan sihat sepenuhnya, saya sudah kembali berlakon dan memenuhi undangan nyanyian bermula Januari lalu.

“Tanpa ada keraguan, saya sudah boleh memberikan tumpuan 100 peratus kepada proses rakaman album ini dan aktiviti penggambaran.

“Sebenarnya proses pembikinan album ini sepatutnya siap tahun lepas. Namun disebabkan keadaan kesihatan yang memberi sedikit kesan kepada suara lalu saya dan produser album ini, Yasin bersepakat untuk menangguhkan sementara.

“Lagipun keseluruhan kos album ini ditanggung sepenuhnya oleh saya. Daripada tergesa-gesa menyiapkan album ini, biarlah ia memakan masa sedikit supaya ia muncul dengan kualitinya yang tersendiri.

“Enam tahun tanpa album baru, kini saya cukup berpuas hati dengan hasil album yang dikeluarkan syarikat saya, Impiana Entertainment. Alhamdulillah, sekarang saya mampu menarik nafas lega,” ujarnya sambil tersenyum manis.

Dalam pada itu, rezeki terus berpihak kepada Bienda apabila dia dilantik sebagai duta Dunia Herbs pada 1 April lalu. Sebagai duta, tanggungjawab Bienda adalah untuk mempromosikan rangkaian produk yang dikhususkan buat remaja seperti set penjagaan kulit.

One Comment leave one →
  1. trAnForMers permalink
    12 June, 2009 pm

    semuga sucess slalu……..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: