Skip to content

Menangis tak dapat solat-Isteri Shukery

13 June, 2009

SUKAR menidakkan penampilan dramatis terkenal, Shukery Hashim, 55, dalam dunia seni tanah air. Kemampuannya membawa pelbagai watak seperti ahli korporat, komedi, bapa dan warak membuatkan Shukery atau nama sebenarnya Mohamad Shukery Hashim dilabel antara pelakon berbakat tanah air.



Begitupun dunia seni tanah air meratapi kehilangan seorang lagi bintang seni yang tiada galang gantinya. Dia disahkan meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras jam 1.45 tengah hari kelmarin akibat barah pankreas tahap empat yang dideritai sejak tiga bulan lalu.

Mencipta nama menerusi filem, Rahsia dan beberapa drama popular seperti Airmata Maria dan A.D.A.M, Shukery boleh dikategorikan antara pelakon versatil dan kerap muncul di TV dan filem.

Ia diakui rakan seangkatannya yang juga penerbit dan pelakon terkenal, Rosyam Nor yang ditemui selepas menziarah jenazah di kediaman keluarga arwah di Taman Fairoza, Ampang petang kelmarin.

Menurut Rosyam kali terakhir mereka bertemu selepas seminggu Shukery menjalani rawatan di Hospital Selayang Mac lalu. Dia bersama isteri datang ke rumah itu untuk melihat keadaan Shukery.

“Ketika bertemu dengannya saya lihat dalam dalam keadaan menahan kesakitan. Dia pesan kepada saya apabila sakit kita rasa makan dan tidur itu cukup nikmat.

“Setiap saat yang Tuhan bagi kita adalah nikmat. Sejak pertemuan itu saya sering kali berhubung dan bertanya khabar melalui telefon dengannya. Saya mengenalinya ketika berusia 18 tahun lagi.

“Ketika itu dia bekerja di Filem Negara. Sejak itu saya mula rapat dengannya. Kita hilang seorang lagi pelakon yang versatil. Malah saya menganggap dia sebagai seorang kawan dan abang. Selain seorang penasihat mengenai kehidupan dan ekonomi saya.

“Saya masih ingat lagi pesan arwah supaya menyimpan duit dan jangan boros. Dia juga bersama-sama saya menyaksikan pembukaan syarikat saya yang bermula daripada syarikat kecil yang mempunyai dua kerusi dan meja sehingga semakin berkembang pada hari ini.

“Arwah banyak kali berlakon dan membawakan watak bapa dalam drama saya. Dia ada memaklumkan syukur kerana dengan duit hasil titik peluh berlakon dia dapat membesarkan anak dan membuat rumah. Dia juga memaklumkan tidak mahu anaknya terbabit dalam dunia lakonan,” katanya.

Bagi pengarah Rashid Sibir yang mendapat tahu berita mengenai kematian Shukery melalui SMS daripada rakan. Rashid bersama krunya sedang menyiapkan penggambaran drama, Kasih Tercipta di sekitar Kuang, Selangor turut menziarah jenazah.

Menurut Rashid, Shukery seorang pelakon yang berkaliber dan tidak banyak kerenah ketika menjalani penggambaran. Malah kebanyakan kru dan pengarah senang bekerja dengannya.

“Dia seorang sederhana dan merendah diri. Sebagai antara individu yang berpengalaman dalam dunia seni dia juga dikenali kerana kerap memberi nasihat kepada golongan muda.

“Dia sentiasa tidak mahu menunjukkan kesakitannya. Bagi mereka yang tidak tahu dia sakit pasti tidak menyangka keadaannya sedemikian.

“Saya bertemu dengannya ketika menerima rawatan di Hospital Selayang tiga bulan lalu. Apabila dimasukkan ke HUKM baru-baru ini saya tidak tahu.

“Cuma pagi tadi (kelmarin) saya terima SMS daripada rakan memaklumkan keadaannya yang tenat begitupun selepas beberapa jam saya menerima SMS memaklumkan dia sudah tiada lagi,” katanya.

Rashid juga memaklumkan kerap bekerjasama menjayakan drama dan filem bersama Shukery. Kali terakhir menerusi drama Keliwon untuk episod Hantu Kopek.

Pelakon veteran, Kuswadinata menganggap arwah Shukery seorang kawan rapat malah hubungan mereka bagaikan adik-beradik. Kali terakhir dia bertemu dengan Shukery ketika terbabit dalam penggambaran drama bersiri di Kundasan, Sabah pada Ogos lalu.

“Memang saya mengenalinya sejak sama-sama terbabit dalam dunia seni ketika zaman HVD dulu. Dia menghormati saya sebagai seorang abang. Sifatnya yang suka bergurau disenangi ramai,” katanya.

Rakan artis seperti Din Maidin dan Didie Alias juga mempunyai pandangan yang sama. Malah masing-masing mengagumi sikap dan peribadi Shukery.

Menurut Didie, arwah Shukery seorang yang suka bergurau. Kali terakhir dia terbabit dalam penggambaran bersama menerusi drama bersiri A.D.A.M untuk musim keempat.

“Ketika bertemu dengannya untuk meneruskan penggambaran drama itu untuk musim kelima dia memaklumkan hasrat untuk berehat dan tidak mahu menerima watak berkenaan. Menurutnya dia sudah tidak larat untuk berlakon. Walaupun dalam keadaan sakit namun dia tidak pernah tunjuk. Dia sentiasa dengan perangainya yang suka buat lawak dan selamba,” katanya.

Din yang menetap di kawasan berhampiran Ampang turut mengakui arwah Shukery seorang yang disenangi ramai dan tidak pernah bermusuhan dengan mana-mana pihak.

Sementara itu isteri arwah, Faridah Mat Desa, 51, berkata sebelum suami meninggal dunia dia meluahkan perasaan bertuah kerana mempunyai isteri sepertinya malah sebelum meninggal dunia dia sempat berpesan akan menanti isterinya di syurga. Malah Faridah seakan tidak percaya bahawa suami sudah tiada lagi.

“Selalunya dia (Shukery) memang rajin solat dan kerap berdoa. Begitupun sejak sakitnya mula serius dan dimasukkan ke hospital pada Jumaat lalu dia tidak berupaya untuk bergerak.

“Dia menangis kerana tidak dapat menunaikan solat. Dia pergi dalam keadaan tenang ketika semua ahli keluarga berada di tepi katil hospital.

“Dia berpesan kepada anak-anak supaya belajar rajin-rajin. Terutama anak bongsu (Amirul) yang masih sekolah dan bakal menduduki PMR tahun depan. Arwah tidak pernah menggalakkan anaknya terbabit dalam bidang seni. Namun dia pernah membawa anak ketiga, Firdza ke lokasi penggambaran,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat, selepas solat Asar. Arwah meninggalkan seorang balu dan lima anak antaranya Norshikin, 28, Norizety, 26, Mohd Firdza, 25, Mohd Aidil, 22 dan Mohd Amirul, 14. Selain tiga cucu berusia dua tahun hingga dua bulan.

One Comment leave one →
  1. puteriaquarius81 permalink
    15 June, 2009 am

    lumrah khidupan, yg pergi tetap akan pergi apabila tiba msnya… takziah wat kuarga Allahyarham. Sy jg penah merasai. Redha pemergian Abah.. mdh2 an roh mereka ditempatkan di kalangan org2 beriman.. amiin

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: