Skip to content

Sheeda ibu paling gembira

13 June, 2009

Sekalipun dibesarkan daripada keluarga yang tidak sempurna (bercerai), Bienda mengakui kasih sayangnya kepada keluarga terutama ibu dan adik beradik lain tidak pernah luntur.

KELUARGA memang menjadi keutamaan penyanyi Bienda sejak dulu.
Kata Bienda atau nama sebenarnya, Nor Razlinda Razli, 24, dia sudah dididik oleh ibunya, penyanyi dangdut, Rashidah Hamid (Sheeda), 45, untuk mengutamakan keluarga dalam segala hal.

“Sebenarnya, usia saya baru dua tahun apabila ibu bapa bercerai. Saya dan abang, Mohd Hafizul, 25, terpaksa menerima kehadiran bapa tiri apabila mama berkahwin lagi dengan Ahmad Fazli Mohamad, 38.

“Mereka dikurniakan seorang anak, Nur Fazlinda, 9. Bagaimanapun, usia perkahwisnan mama itu tidak panjang apabila dia bercerai sekali lagi.

“Kini, mama berkahwin buat kali ketiga dengan Shukri Hashim dan kami tetap menerima kehadiran bapa tiri yang baru dengan tangan terbuka.

“Anggota keluarga kami kini bertambah dengan kehadiran adik tiri, Mohd Aiman, 5, bulan hasil perkongsian mama dengan suami barunya itu.

“Sampai sekarang, hubungan kami dengan bapa kandung, Razli Husin tetap baik sekalipun dia sudah berkahwin dan mempunyai anak yang lain.

“Bapa juga menziarahi saya ketika menjalani pembedahan jantung berlubang di hospital pada Januari tahun lalu,” katanya.

Tambah Bienda lagi, sepanjang terlantar di hospital kerana menjalani pembedahan dulu, keluarga terutama ibunya yang menjadi sumber kekuatannya untuk berhadapan dengan kesakitan itu.

“Saya masih ingat lagi, mama dan anggota keluarga yang lain tidak tidur malam kerana menjaga saya sepanjang dirawat di hospital.

“Kalau tidak kerana mama dan anggota keluarga yang lain mungkin saya tidak setabah berhadapan dengan ujian getir bertarung dengan maut ketika itu.

“Mama dan adik beradik lain adalah segalanya dalam hidup saya sekarang. Apapun, saya percaya, apa yang berlaku itu ada hikmahnya, sekali gus memberikan kebaikan kepada diri sendiri.

“Apa yang penting, sepanjang saya sakit dan terlantar di hospital, seluruh anggota keluarga jauh dan dekat berkumpul untuk sama-sama memberi sokongan supaya kami sekeluarga tabah berhadapan dengan ujian Tuhan itu.

“Kini, bukan setakat kesihatan saya beransur pulih, rezeki dalam bidang seni terutama tawaran berlakon semakin mencurah termasuk menjadi jurucakap produk keluaran Dunia Herbs,” katanya.

Bienda ditemui ketika majlis pelancaran albumnya, Kenaliku dan pelantikannya sebagai duta produk kosmetik keluaran Dunia Herbs Sales & Marketing, baru-baru ini.

Hadir sama, ibunya Sheeda, bekas bapa tirinya, Ahmad Fazli Mohamad dan adik tiri, Nor Fazlinda.

Sebagai ibu kandung, Sheeda mengakui hubungannya dengan Bienda cukup akrab sejak kecil.

“Mungkin saya berkahwin sebanyak tiga kali, tetapi ia tidak sedikitpun menjejaskan kasih sayang saya kepada Bienda dari dulu sampai sekarang. Bienda juga lebih manja dengan saya berbanding anak yang lain.

“Saya bukan sekadar ibu dan pengurus kerjaya seninya, malah sahabat karib, sekali gus pendengar setianya sejak dulu. Terus terang, saya sentiasa berada di sisinya ketika susah dan senang.

“Ketika Bienda sakit dulu, sayalah yang paling susah hati sehingga tubuh menjadi kurus kering memikirkan kesihatannya ketika itu.

“Sebagai ibu, saya terpaksa berlakon nampak tabah di hadapannya seolah-olah tiada apa yang berlaku, semata-mata untuk memberi Bienda kekuatan berhadapan saat sukarnya ketika itu.

“Justeru, apabila melihat Bienda kembali ceria dan beransur pulih sekarang dan pada masa sama, rezekinya juga tidak pernah putus dalam bidang seni, sayalah orang yang paling gembira hari ini.

“Bagaimanapun, saya tetap mengawasi tahap kesihatan Bienda dari semasa ke semasa termasuk soal pemakanannya sehinggalah dia benar-benar pulih dan tidak memerlukan sebarang pemeriksaan doktor lagi,” katanya.

Sebagai ibu, Sheeda berkata, dia sentiasa memberi sokongan kepada anak kesayangannya itu dari belakang.

“Saya juga sentiasa memberi dorongan buat Bienda mencuba pelbagai cabang seni seperti berlakon dan mengacara kerana saya yakin dia mempunyai bakat dalam bidang berkenaan.

“Pada pandangan saya, seseorang artis itu rugi jika tidak memanfaatkan bakat seni dianugerahkan Tuhan kepadanya,” katanya.

Mengenai bingkisan album solo terbarunya berjudul Kenaliku yang diterbitkan menerusi syarikatnya sendiri, Impiana Entertainment pula, kata Bienda ia cukup bermakna buat dirinya.

“Saya menunggu selama enam tahun untuk muncul dengan album ini. Saya juga buat album ini dengan duit hasil titik peluh dalam bidang seni yang dikumpul selepas setahun saya menjalani pembedahan dulu.

“Saya juga menampung sebahagian daripada kos sebanyak RM40,000 untuk pembikinan album ini menerusi duit yang diperoleh selaku jurucakap produk.

“Apa yang istimewa, saya turut menyelitkan satu lagu duet bersama mama buat peminat. Mungkin, saya dan mama tampil dengan genre muzik berbeza iaitu muzik sejagat dan mama pula dangdut, tapi ia bukan penghalang buat kami tampil dengan lagu duet berjudul Usah Kau Tanya (ciptaan Yasin Sulaiman/lirik komposer dari Timur Tengah, Sal) dimuatkan dalam album ini,” katanya.

Tidak ketinggalan, Bienda turut menyemarakkan gerai Harian Metro/Metro Ahad sempena Jom Heboh TV3 di Teluk Danga, Johor Bahru, baru-baru ini.

Dari segi perkembangan kerjaya lakonan pula, Bienda berkata, selepas drama sebanyak 26 episod lakonannya, Uda dan Dara, dia juga terbabit dengan penggambaran telefilem Di Bawah Teduh Lazuardi yang menggandingkannya dengan idolanya, Vanidah Imran buat kali pertama.

Terbaru, Bienda juga mula berkampung di lokasi penggambaran filem 4 Madu arahan Profesotr Madya, A Razak Mohaideen.

Filem ini menampilkan lapan pelakon utama seperti Rozita Che Wan, Ayu Raudah, Almy Nadia, Rosnah Mat Aris, Saiful Apek, Sazzy Falak, Fasha Sandha dan Marsha Milan Londoh.

Profil Bienda

NAMA SEBENAR: Nor Razlinda Razli

TARIKH LAHIR: 22 November 1985

TEMPAT LAHIR: Kota Bharu, Kelantan

PENDIDIKAN: SPM

STATUS: Bujang

PROFESION: Penyanyi, pelakon, model

ALBUM: Bersama Solehah – 25 Nabi (1997), Nikmat Allah (1998), Solehah Alaf Baru

(2000), Nikmat Allah 2 (2001), The Best Of Solehah (2002) Solo – Bienda ‘Unik’ (2003) dan Kenaliku

FILEM: Kayangan, Budak Kelantan dan 4 Madu

DRAMA: Drama bersiri Uda dan Dara, telefilem Di bawah Teduh Lazuardi

PRODUK: Produk kosmetik, Dunia Herbs

Profil Sheeda

NAMA SEBENAR: Rashidah Hamid

PANGGILAN: Sheeda

UMUR: Awal 40-an

ASAL: Kota Bharu, Kelantan

STATUS: Berkahwin

SUAMI: Shukri Hashim

PROFESION: Penyanyi, pelakon dan pengacara majlis

ALBUM: Angkat Kaki (1995), Puteri Dangdut (1999), Dang Dang Dut 1, Ronggeng (1998), The Boom Dangdut (2000)

LAGU POPULAR: Angkat Kaki

DRAMA: Telefilem Otai

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: