Skip to content

Ashraf Muslim, Sherry Ibrahim putus cinta?

14 June, 2009

Aktor dan aktres popular dikatakan terlerai kasih kira-kira sebulan lalu

MINGGU lalu Zubir bercerita mengenai percintaan dua pelakon yang sedang meningkat popular, Fizz Fairuz dan Almy Nadia yang dikatakan terhenti di pertengahan jalan selepas sekian lama menyemai benih asmara. Zubir tidak terkejut andai mereka menafikan gosip berkenaan dan memberi kenyataan sebaliknya kerana bagi Zubir, pokok tak akan bergoyang jika tiada angin yang bertiup! Jadi, renung-renungkanlah dan tunggu kesudahannya.


Ashraf dan Sherry bijak menyembunyikan kisah sedih mereka.

Kali ini Zubir mendapat perkhabaran yang hampir serupa. Kononnya aktor dan aktres yang sedang ligat di pentas lakonan, Ashraf Muslim dan kekasihnya, Sherry Ibrahim, kini berdepan masalah dalam perhubungan apabila ada desas-desus yang menyebut, antara mereka tiada lagi rasa cinta, kasih dan sayang yang dibenih sejak sekian lama, akhirnya lalang yang tumbuh melata.

Baru-baru ini juga Sherry ada membuat kenyataan, dia rasa bertuah apabila dipertemukan dengan Ashraf kerana pelakon kacak itu banyak membimbingnya sepanjang mereka menjalin hubungan cinta.

“Dalam hubungan percintaan kami, orang mungkin nampak Ashraf ini lembut dan tidak banyak cakap. Sementara saya pula dilihat lebih mendominasi. Padahal, apa yang berlaku sebaliknya. Ashraf sangat tegas dan tahu apa yang dia mahukan.

“Kadang-kadang apabila ada masalah timbul dia akan bercakap sekali saja, tetapi sudah cukup untuk membuatkan saya faham, sekali gus mengelak perselisihan faham yang timbul berpanjangan,” kata Sherry kepada Harian Metro, 2 Jun lalu.

Itu temu bual yang dibuat bersama Sherry ketika dia menyertai rombongan Karnival Jomheboh TV3 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak, baru-baru ini. Pun begitu, ketika Zubir bersama beberapa teman sedang melepak di sebuah pusat karaoke baru-baru ini, Zubir dibisikkan dengan perkhabaran sebaliknya. Seorang sumber memberitahu, Ashraf dan Sherry baru saja putus cinta kira-kira sebulan lalu!

Zubir tak pasti apa punca keretakan hubungan cinta itu, namun menurut sumber, api cemburu dikatakan antara faktor perbalahan antara mereka apabila ada insan ketiga yang wujud di celah kebahagiaan yang sedang dibina. Sejauh mana kesahihannya, hanya mereka berdua saja yang tahu!

Tambah sumber yang sama, barubaru ini Ashraf ada meminta cuti dari produksi drama bersiri yang sedang dibintanginya.

“Ashraf minta cuti berlakon, rasanya seminggu. Khabarnya dia nak balik kampung memberitahu orang tuanya mengenai status dirinya dan Sherry yang kini hanya tinggal kenangan cinta luka. Maklum sajalah, selama ini percintaan mereka direstui keluarga kedua-dua belah pihak.

“Jadi, mungkin Ashraf rasa bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada keluarganya, antara dia dan Sherry kini sudah tidak ada apa-apa lagi hubungan,” kata sumber yang sama.

Zubir dimaklumkan, adalah dalam dua, tiga minggu yang lalu, Ashraf meminta cuti berkenaan. Justeru, memang baru jugalah seandainya benar Ashraf dan Sherry sah putus cinta! Pun begitu, segala kepastian dan kemungkinan, hanya Ashraf dan Sherry mempunyai jawapan mutlak.

Namun, sekiranya mereka berdolak dalik menafikan gosip berkenaan, sekali lagi Zubir ingin tekankan, pokok tak akan bergoyang jika tiada angin yang bertiup!

Pada masa sama, Zubir turut mendengar berita yang tak berapa menarik mengenai Ashraf di lokasi penggambarannya. Entah betul atau tidak, Zubir diberitahu, Ashraf menerusi pengurus peribadinya, memberi syarat kepada sebuah produksi drama jika berminat untuk mengambilnya berlakon, Ashraf tidak boleh diganggu pada hari dan waktu tertentu kerana dia akan terbabit dengan aktiviti bola keranjang. Wah! Tahap Brad Pitt ke kau! Atau mungkin sang manager yang lebih sudu daripada kuah!

Seandainya perkhabaran yang Zubir dengar ini satu kesahihan yang benar belaka, Zubir harap Ashraf janganlah mengamalkan sikap begitu. Kalau syarat itu daripada manager, perbetulkan dia. Jangan kerana perangai geli, orang buat muka panjang dengan kita, renung-renungkanlah…

ZUBIR: Sering bertemu dengan pe ngurus artis yang bersikap gila kuasa, kadang-kadang permintaan yang dibuat untuk kepentingan peribadi!

One Comment leave one →
  1. puteriaquarius81 permalink
    15 June, 2009 am

    apa2 ajer la artis ni…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: