Skip to content

Batu nisan pusara P Ramlee dicuri

14 June, 2009

Tersimpan di Balai polis selama 25 tahun sebelum diserah kepada Arkib Negara

GENAP 36 tahun Allahyarham Tan Sri P Ramlee meninggal dunia. Allahyarham meninggal dunia pada awal pagi 29 Mei 1973 kerana diserang penyakit jantung. Biarpun sudah lama arwah pulang ke rahmatullah, beliau meninggalkan khazanah seni yang cukup bernilai dan dikenang hingga ke hari ini.


Jenazah Allahyarham P Ramlee diusung ke pusara pada petang 29 Mei 1973.

Namun, apabila bercerita mengenai tokoh muzik dan filem negara itu, mungkin ramai yang tidak tahu batu nisan pusaranya di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur pernah dicuri, dengan kejadian itu dipercayai berlaku tidak lama selepas jenazahnya dikebumikan.

Bagaimanapun, batu nisan itu berjaya ditemui semula dan tersimpan sebagai barang kes di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur selama 25 tahun sejak 1973 sehinggalah ia diserahkan kepada Arkib Negara pada 30 Mei 2002.

Berita Harian yang membuat liputan majlis berkenaan melaporkan batu nisan itu diserahkan wakil Balai Polis Dang Wangi, Sarjan Nasir Harun kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir (kini Tan Sri) di Pustaka Peringatan P Ramlee, Setapak sebaik selesai majlis tahlil untuknya diadakan.

Batu nisan itu yang tertera nama asal P Ramlee, Teuku Zakaria Teuku Nyak Putih dalam bahasa Jawi turut disertakan tarikh kelahiran dan kematian seniman agung itu, masing-masing dengan catatan 22-3-1929 dan 29-5-1973.

Walaupun hanya batu nisan biasa tetapi ia mempunyai nilai yang tinggi dari segi sejarah kerana ia adalah milik P Ramlee sebagai batu nisan asal yang diletakkan di pusaranya.

Difahamkan, penyerahan batu nisan itu dibuat kepada Arkib Negara selepas keluarga Allahyarham dikatakan tidak berminat untuk mengambilnya di balai polis berkenaan. Malah, pihak berkuasa juga pernah menyerahkannya kepada ahli keluarga tokoh seni itu tetapi pihak terbabit enggan menerimanya.

Anak Allahyarham, Dian P Ramlee, ketika itu dipetik sebagai berkata, adalah lebih sesuai batu nisan itu diletakkan di Pustaka Peringatan P Ramlee bagi memberi peluang kepada orang ramai, terutama peminat melihatnya.

Isu batu nisan itu timbul berikutan pendedahan mengenai sebiji batu nisan P Ramlee yang tersimpan sejak lebih dua dekad di Balai Polis Dang Wangi tidak dituntut biarpun kes mengenainya sudah selesai. Ia diperoleh polis selepas dipercayai dicuri pihak tertentu untuk tujuan khurafat dan pemujaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ketika itu, Asisten Komisioner Mohd Bakri Zinin (kini bergelar Datuk Seri dan berjawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman) berkata, polis tidak melupuskan batu nisan itu selepas kes selesai kerana beranggapan ia akan menjadi khazanah negara satu hari nanti.

Batu nisan itu tidak lagi diletakkan di pusara P Ramlee kerana sudah digantikan dengan batu nisan lain selepas kehilangannya dulu.

Sementara itu, Arkib Negara tidak akan menyerahkan batu nisan P Ramlee kepada mana-mana pihak tanpa mendapat kebenaran waris terdekatnya.

Ketua Pengarahnya ketika itu, Datuk Habibah Zon, berkata batu nisan itu tetap disimpan pihaknya iaitu di Pustaka Peringatan P Ramlee di Setapak, Kuala Lumpur selepas diserahkan kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan ketika majlis tahlil arwah sebelum itu.

“Waris P Ramlee turut memberi kebenaran Arkib Negara untuk menyimpan batu nisan itu. Bagi kami, waris terdekat ialah Nasir P Ramlee. Maka sebarang permintaan untuk menuntut batu nisan itu tidak akan dibenarkan. Maka, eloklah batu nisan itu kekal dalam simpanan kami Arkib Negara,” katanya.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: